SATU SUDU bubur ayam disuap ke mulut Aidar. Demamnya sudah kebah tapi sisa tenaga hilang. Terpaksalah dia tebalkan muka dan minta Ruby menyuap bubur kepadanya. Seronok hidup ada isteri.
"Kenapa tak jemput Stefan masuk tadi?"
"Curfew. Ayah tak suka kalau dia balik lambat."
Timbul kerutan di wajah Aidar. Stefan dah dewasa. Tahu membuat keputusan sendiri. Sehingga tahap itu Tuan Will perlu mengatur hidup Stefan. Tuan Will begitu pentingkan kesempurnaan.
"Dia tak pernah bagitau ke nak pindah keluar?"
Sejenak Ruby diam. Setelah umur Stefan menginjak lapan belas tahun, adik angkatnya itu kerap mengikuti Tuan Will ke mana-mana saja. Bukan kerana kehendak sendiri tapi kerana arahan Tuan Will.
Tuan Will tak serik memberi nasihat kepada Stefan. Jaga batas di antaranya dengan Ruby. Meskipun Stefan anak angkat yang sah di dalam keluarga Harzen, mereka tiada pertalian darah. Orang luar boleh menganggap yang bukan-bukan jika hubungan adik-beradik angkat itu kelihatan terlalu rapat.
"Saya tak tahu. Stefan banyak pendam. Masalah sendiri, dia takkan bagitau orang lain. Mungkin ayah selalu nasihat dia supaya jangan tunjuk kelemahan. Kalau saya tanya, dia memang degil tak nak jawab apa-apa."
"Kau rasa kalau dia tiba-tiba nak kahwin nanti, ayah setuju tak?"
Tubuh Ruby mengeras. Wajah menunduk menekur riba sembari bibir dikemam. Jari-jemarinya diremas. Dia kesal melihat Stefan dilayan persis orang asing di dalam keluarganya. Adik angkatnya itu tak pernah rasa kasih sayang dari seorang ayah sejak kecil.
"Aku kalau boleh tak nak dia duduk lama-lama dengan ayah. Ya, aku tahu apa yang aku cakap ni mungkin jahat tapi ayah dah melampau. Ayah terlalu pentingkan diri sendiri sampai mengabai apa yang anak dia perlukan."
"Awak pun kena abai," gumam Ruby kecil.
"Aku dah cuba untuk buat ayah terima aku tapi usaha aku sia-sia. Bertahun aku cuba, precious. Tapi ayah tetap takkan terima aku sebagai menantu dia."
Aidar paut dagu Ruby ke atas. Mahukan tumpuan. Pandangan mata mereka bertemu. Saling bertaut. Aidar dah lama mengalah nak sejukkan hati Tuan Will. Ketika empat tahun Ruby menghilang, dia yang dipersalahkan. Dia yang tak henti-henti dituduh.
Tuan Will menyuruh Aidar untuk lepaskan Ruby tapi Aidar enggan. Dia tetap pertahankan ikatan perkahwinan mereka sebab dia tak berputus asa ingin membawa Ruby kembali ke sisinya.
"I am already content. Hanya kau seorang yang aku perlukan, precious. Aku dah tak kisah apa-apa selagi kau ada dengan aku."
Aidar menarik lengan Ruby. Mendadak tubuh Ruby jatuh ke dalam dakapannya. Dahi mereka bersatu. Deruan nafas Aidar menampar lembut pipi Ruby. Tak keruan Ruby kerana tindakan suaminya.
"Empat tahun aku tahan rasa rindu aku, Ruby."
Suara garau Aidar penuh mendayu. Menghantar getaran yang hebat ke dalam hati Ruby. Liur ditelan payah. Dia faham maksud Aidar. Empat tahun Ruby menghilang, dia lupa tanggungjawab sebagai seorang isteri. Wajah didongak. Tangan dilekap pada dada Aidar.
"Saya sayang awak, Aidar," luah Ruby tanpa bersembunyi.
"Aku pun sayang kau. Sangat."
Kali ini Ruby tak menjauh. Dia kumpul semangat lalu leher Aidar dipeluk. Dibiarkan bibir mereka bersentuhan. Hangat rasa membaluti jiwa. Aidar merangkul tubuh Ruby erat lalu ditolak lembut ke atas katil. Apa yang terjadi setelah itu hanya mereka yang tahu.
JAM LOCENG berdering nyaring. Tangan meraba-raba meja di tepi katil. Pap! Ditampar butang jam loceng dan bunyi deringan itu berhenti. Aidar menguap. Belakang lehernya yang tak gatal digaru.
YOU ARE READING
AIDAR
RomanceUnder SSR SERIES ⋆͛︎ #2 GREEDY LOVE Leftenan Muda Aidar Gael. Sempurna dari segi wajah dan badan. Ada masanya sengal, ada masanya dia tak boleh dicabar. Dia pernah menjalinkan hubungan dengan Ruby Harzen, gadis yang berasal dari keluarga berada. Hub...