AIDAR 7

4.5K 230 1
                                    

BAJU DILIPAT kemas. Seluar turut dilipat kemas. Usai semuanya selesai, Aidar masukkan ke dalam almari kemudian ditutup. Sudah menjadi rutin kebiasaan Aidar melipat pakaian biarpun Ruby awal-awal berkeras yang dia boleh lakukan tugas itu.

Tubuh direbahkan ke atas katil. Penat kerana malam tadi tidurnya tak cukup. Bukan sekali perkara ini berlaku tapi hampir setiap malam. Aidar ada insomnia. Penyakit gangguan tidur yang buat dia sukar untuk melelapkan mata. Sekejap dia tidur, sekejap terbangun.

Aidar akan berjaga sehingga pukul empat pagi dan setelah itu, barulah dia dapat tidur. Tapi tak lama. Dia kena bangun awal untuk bertugas. Dah diberi cadangan oleh doktor untuk mengambil ubat tidur namun Aidar menolak. Dia tak nak bergantung kepada ubat.

Bunyi kelentang-kelentung yang kedengaran dari dapur mengundang kerutan di wajah Aidar. Mata yang terasa berat terus segar. Postur tubuh ditegakkan dari pembaringan dan dia turun dari katil. Keluar dari bilik tidur, dia menuruni anak tangga satu persatu.

"Precious? Masak apa tu? Dari dalam bilik aku dengar bunyi ketuk-ketuk."

Bahu Ruby spontan terhinjut. Sudu jatuh dari pegangan tangan dan berlaga dengan mangkuk. Kebelakangan ni, mudah betul dia terkejut pabila Aidar menegur tiba-tiba. Setiap kali dia bersendirian, Aidar pasti muncul. Seakan-akan tahu dia sedang lakukan sesuatu.

Mangkuk yang berisi adunan kek lantas disorok di sebalik kotak susu. Tak nak Aidar tahu yang dia sebenarnya tengah mencuba bagaimana nak baking. Sia-sia saja usahanya, Aidar nampak dengan jelas tapi dia buat pura-pura tak nampak. Ruby berdehem.

"Aku kemas apa yang patut. Bersepah sikit."

Aidar sembunyi senyuman. Celah mana dapur itu nampak bersepah? Pinggan dan gelas tersusun rapi di dalam kabinet. Kuali sudah dicuci usai mereka habis makan malam bersama. Meja makan telah dilap.  Rasanya dapur itu dah cukup kemas melainkan mata dia rosak.

"Are you trying to bake, precious?"

Darah menyerbu naik ke muka. Ruby melarikan pandangan. Segan ingin berbalas renungan dengan Aidar. Dia seraya angguk. Pecah tembelangnya. Niat hendak buat kek berperisa red velvet kerana dia tahu itu ialah salah satu makanan kegemaran suaminya.

"Tapi macam ada yang kurang. Cuma aku tak tahu apa. Aku cuba ikut resipi dalam Internet ni. Kalau tak menjadi, aku buang je."

"Awal-awal dah fikir nak buang? Siap pun belum."

"Kalau tak menjadi nanti, bukannya boleh makan," bidas Ruby.

Aidar menjuih bibir. Bahan-bahan yang terletak di atas kaunter dapur dia lihat. Tiada apa yang pelik. Memang bahan yang digunakan untuk buat kek. Lainlah kalau Ruby plan nak main-mainkan dia.

"Sambunglah, aku temankan dari sini."

"Aku tak nak kau tengok."

"Okay, aku pejam mata tapi aku akan duduk sini sampai kau habis baking." Aidar mempelawa sendiri. Dia melabuhkan punggung ke atas sebuah bangku. Kelopak matanya dipejam.

Ruby hela nafas lega. Jujurnya dia malu jika Aidar menonton sebab ni pertama kali dia baking. Semoga hasilnya menjadi seperti apa yang dia harapkan. Adunan kek dituang ke dalam loyang bulat.

Sesekali dia melirik kepada Aidar. Suaminya masih berpegang dengan kata-katanya. Mata terpejam erat. Tangan bersilang di dada. Aidar langsung tak membuka matanya. Takut Ruby rasa tak selesa.

"Kau nampak mengantuk." Ruby buka bicara.

"Walaupun aku sedang pejam mata?"

Ruby mengiyakan. Setelah dia masukkan loyang bulat ke dalam ketuhar, dia berpaling. Seisi wajah kacak Aidar yang kelihatan sempurna menjadi tumpuan namun dia perasan ada lingkungan hitam di bawah mata Aidar. Tak ketara tapi tetap jelas baginya.

AIDARWhere stories live. Discover now