AIDAR 17

3.4K 158 0
                                    

SELURUH TUBUHNYA seolah lumpuh tak mampu bergerak. Peluh dingin merinik di dahi. Ruas dahinya berkerut-kerut berusaha untuk menyedarkan diri daripada terus dihantui memori yang meninggalkan bekas. Nafas Aidar menjadi tak teratur.

"Aidar tunggu sini. Mama belikan gula-gula kapas, okay? Dengar cakap mama dan jangan pergi mana-mana. Tunggu je sini."

Suara yang sama berlegar di ruang fikiran. Tangan Aidar merentap selimut yang menyelimuti diri. Dicengkam erat sehingga kekura jarinya bertukar tona. Dada terasa sungguh sempit dan agak sukar untuknya menarik nafas sehinggalah dia terbangun sendiri.

Tercungap-cungap Aidar mencari nafas. Siling bilik kini menjadi santapan mata. Wajahnya diraup lemah. Mimpi itu ialah mimpi yang berulang pada hari yang sama dan tepat pada pukul empat pagi.

Setiap tahun, mimpi itu datang seperti memberi peringatan yang dia tak akan terlepas daripada masa silam. Aidar perlahan menyelak selimut kemudian duduk di atas katil. Pahanya ditumbuk. Kenapa perempuan yang pernah bergelar ibunya tak lenyap dari fikiran?

Pada tanggal 2 Mac, Aidar yang berumur empat tahun ditinggalkan oleh ibunya di sebuah pesta ria. Awalnya Aidar teruja nak keluar bersama ibunya. Ibunya yang sangat dia percayai tika itu namun setelah itu meninggalkan dia tanpa sebarang penjelasan.

Orang bertanya ke mana ibunya pergi tapi si kecil Aidar patuh akan nasihat ibunya. Jangan berbual dengan orang yang tak kenal jadi dia tak endahkan pertanyaan orang ramai yang sekadar mahu menolong.

Si kecil Aidar menunggu di tempat yang sama sehingga malam terlalu lewat. Dia masih teruja ingin makan gula-gula kapas. Sekuriti di pesta ria itu terpaksa menggunakan helah bahawa ibunya sedang menunggu di balai polis tapi sebenarnya, ibunya tak ada di sana.

Ibunya telah pergi meninggalkan dia dan Aidar diserahkan ke rumah kebajikan. Bermula dari situ hidup seorang Aidar Gael berubah seratus peratus. Dia berdikari supaya dewasa kelak, dia boleh hidup seorang diri. Hadir ke sekolah, dia akan fokus dengan pelajaran.

Apabila ditanya apa cita-citanya, Aidar memilih tentera. Alasannya cukup merisaukan cikgu di sekolah itu. Aidar kata jika dia mati suatu hari nanti, tidaklah menyusahkan orang untuk kuburkan dia. Biarkan saja jasadnya kekal di medan pertempuran andai dia terkorban.

Namun pertemuan di antaranya dan Ruby mengubah segala. Mereka tak ubah seperti anjing dan kucing yang kerap bertengkar ketika di bangku sekolah menengah. Aidar setahun lagi tua daripada Ruby jadi ringkas dikatakan, dia sombong. Ramai pelajar perempuan yang meminatinya tapi langsung tak dipandang. Tipikal budak lelaki.

Hari berganti hari, Aidar sedar nama Ruby mulai bertakhta di dalam hatinya dan nasiblah dia tak terlambat untuk meluahkan apa yang dipendam sebelum tamat persekolahan. Aidar turut berjanji yang dia akan membawa hubungan mereka sehingga alam perkahwinan.

"Jadi?! Siapa perempuan tu?! Awak cakap dengan saya, Aidar. Tengok mata saya dan bagitau saya yang awak tak curang belakang saya!" Tempelak Ruby bersama hembusan nafas yang berat.

Saat ikatan perkahwinan mereka menginjak enam bulan, muncul masalah yang menggugat kepercayaan Ruby terhadapnya. Aidar akui. Dia cuai. Dia tak terfikir tentang perasaan isterinya terlebih dahulu sebelum menerima misi rahsia di mana dia perlu berpura-pura menjadi kekasih seorang perempuan.

"Saya tak curang, Ruby. Tolonglah."

"Macam mana saya nak percayakan awak?! Mata saya ni tak rabun dan tak buta lagi! Saya nampak sendiri awak pegang tangan dia. Awak siap gelak dengan dia! Awak mainkan saya, Aidar."

Tubir mata Ruby menjernih. Bila-bila masa tangisannya akan pecah. Di mana janji Aidar yang pernah menjamin kebahagiaan mereka? Adakah selama ini Aidar berkata palsu kerana ingin menipunya?

AIDARWhere stories live. Discover now