OTT (Over The Top)

2 0 0
                                    


OTTJika OTD membawa maksud 'Outfit of The Day' OTT pastilah "Over The Top' membawa makna mengenakan sesuatu yang berlebihan dan eksterim.


Akronim lucu ini ada ketikanya menjadikan sang OTT terpinga pinga tidak mengerti.Penilaian OTT sebenarnya terpulang pada suasana dan budaya setempat. Apa yang disarung di badan? Tampilan menyeluruh termasuk sikap yang ditikaikan. Bagi sesetengah orang tema majlis Bollywood Hidung Kembang pun dianggap sebagai OTT.


Busana sarat berjemeki? Bulu bulu ayam dan burung unta? Menyantuni malam Halloween? atau busana penuh glamer mencolok mata (tidak kiralah jika kagum atau meluat sekalipun). Seperti yang sering dikatakan, manusia tidak mampu lari dari fesyen. Keterampilan polos minimal juga adalah fesyen, tampil dengan balutan gah mewah yang bukan main memungkinkan kamu dituduh sebagai OTT.


Ada OTT yang disengajakan dan ada yang terjadi tanpa sedar. (Mungkin diperdajalkan oleh teman teman dan kamu yang tiada pilihan)


OTT mampu dilihat sebagai sihat jika ia melibatkan kesesuaian majlis gilang gemilang, pertandingan ratu cantik atau membuat persembahan. OTT boleh juga menjadi balutan seharian untuk sang flamboyan. Kamu suka tidak suka, itu belakang kira.


Terdapat beberapa individu yang sinonim dengan gelaran OTT. Siapalah M.Daud Kilau jika dia tampil berkemeja dan berseluar slack sahaja, bukan? Siapalah pula mendiang Kee Hua Chee sang arif fesyen Malaysia jika dia berbaju T dan jeans sahaja... Aina Abdul di panggung usah dipersoalkan lagi dia punya sebab kukuh. Ya, ada orang mengangkat OTT sebagai cara mereka wujud dalam industri masing masing, dibawa sekali sikap OTT yang menggerunkan juga, fikirkan sang pengasas berbibir tebal itu. Kita yang polos perlu dipastikan berganjak ke tepi dan belajar tidak menghakim dengan pertanyaan pertanyaan negatif (Dia tampil bagai badut, dia fikir dia siapa?, awat nampak pelik? dan sebagainya).


Pemerhatian terhadap 'Pop Kultur' selain dari mengasyikkan (baju apa akan dia pakai nanti?) jangan tidak tahu akan membuahkan rasa teringin di benak sesetengah orang (para LGBT baharu terutamanya), bagi yang mengangkat sang artis pop sebagai ikon untuk dilaram di sesebuah majlis. Atas dasar itu ramai yang berhempas pulas bila mahu menghadiri majlis tertentu, sang penganjur pula bijak mengumpan, "ada hadiah untuk best dress lelaki dan perempuan". Tersenyum riang dan lebar sang tukang jahit, penyewa baju dan para MUA.


Deria OTT seringnya bermunculan pada pereka muda dan mereka yang berkarya atas dorongan nafsu membuak tidak mampu diimbangkan, hasilnya antara dua – mengangumkan atau bergerun! Sekali lagi, perlu dilihat dari mana hadirnya mereka (asal usul – fizikal dan emosi), persaingan semasa dan kemahuan menyita peduli. Ada OTT tersasar (termasuk untuk perincian tradisional – sehingga terpaksa dinasihati agar jangan terlalu onen-onen saat berkarya – dipesan lembut bahawa ia bukan untuk sesi 'Natcos' miss universe).


OTT dibenarkan untuk mempelai di hari Istimewa. Berdandanlah semahunya asalkan jangan sampai album gambar terpaksa disorok di bawah katil (risau dilihat anak cucu). Begitu juga saat muda remaja dan menikmati kehidupan, apa salahnya bereksperimen? Individu dengan totalitas OTT seringnya menjadi penyeri majlis.


---------------Ada sejenis lagi OTT yang bermunculan dalam sistem teknologi manusia. Ia merupakan revolusi sewaktu menikmati hiburan dan informasi. Digelar sebagai OTT Streaming Services. OTT ini dipermudahkan selagi adanya kemudahan internet – Kamu pernah mendengar siaran Netflix, Amazon Prime, Hulu dan Disney plus yang kini sudah menjadi sebahagian dari hidup secara global.


Siaran OTT semakin mendapat tempat kerana ia mampu dimiliki, kelonggaran mencari siaran, sensorship longgar dan akses mudah. Dengan telefon genggam dan internet berkelajuan tinggi, warga dunia kini mampu menonton siaran siarang dan filem pilihan bila bila masa dan di mana sahaja tanpa tergantung pada siaran tradisional atau menanti kecekapan satelit. Perkhidmatan OTT nampaknya semakin berkembang (belum lagi siaran siaran secara haram)


Siaran OTT membawa sekali impak buruk tentunya bila manusia asyik menonton (Binge watching – Satu episode berdurasi 1 jam ditonton selama 10 jam akibat keterujaan) pastinya tanpa sedar menganggu cara hidup dan kesihatan jika tidak dipantau. Muncul pula ketagihan bila waktu bertumpu pada skrin mengakibatkan kemudaratkan produktiviti, interaksi sosial dan kesejahteraan mental. Pengurusan waktu menjadi lemah dan longgar bila segala hal penting termasuk tanggungjawab lain mula dianggap remeh. OTT yang asalnya tanpa iklan dengan mengenakan yuran minimal kini mula dilimpahi oleh para pengiklan yang menjadikan sang penagih siaran OTT terganggu dan kecewa.


Jadinya kini, kamu faham benar apa itu OTT berbusana dan OTT perkhidmatan siaran.

Jadinya kini, kamu faham benar apa itu OTT berbusana dan OTT perkhidmatan siaran

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
NONENWhere stories live. Discover now