MENGAPA MENULIS DALAM BAHASA MELAYU?
Bahasa Malaysia sebenarnya. Persoalan ini sering terjadi, hadir dari mereka yang menjadi senarai teman baharu lewat medsos. Bahasa Inggeris saya tidak sebaik mana, lagi pula sasaran pembaca hadir dari latar belakang berbahasa tersebut.
Namun, tujuan yang lebih kental adalah mendapatkan pemahaman penuh dalam bahasa apa sekalipun yang digunakan. Saya hadir dari latar yang agak bercampur aduk. Menggunakan Bahasa Inggeris untuk tidak diperlekehkan, beraksen Indonesia kerana didikan asas dari seberang, dialek dialek lokasi di Malaysia yang saya tekuni (kecuali lenggok dan diftong dari Sarawak). Sesekali menerangkan tentang lenggok Pulau Pinang, Kedah dan Perlis – meskipun berbunyi mirip.
Tidak mahu memegang kepercayaan bahawa Bahasa Inggeris itu akan melonjak jumlah pembaca membawa tampilan bergaya dihormati. Tidak sama sekali, meskipun perlu diakui bahawa info semasa jauh lebih tepat dalam bahasa tersebut. Tidak ada kena mengena soal dijajah atau pernah dijajah – tidak berminat pula mahu difikirkan. Ada sejenis perasaan bertandang bila saban tahun muncul rungutan: "Negara Merdeka sudah lama, bahasa kebangsaan tetaplah gagap" – memang betul, ramai rakyat Malaysia yang begitu, saya bergumam sampai bosan!
Bunyi bahasa dan dialek asing akan dieja secara roman dalam kerja kerja fiksyen untuk gambaran watak agar lebih realistik. Sesekali dibunyikan secara lucu dan dicari ejaan tepat untuk memudahkan sebutannya oleh pembaca. Watak watak fiksyen yang ciwi akibat perpindahan (lokasi, lawatan, pangkat, status atau janggak bahasa) tetap akan dipamirkan (terjadinya perpindahan penemuan ke halaman bacaan).
Sesekali saya akan terkedu mendengar teknik bicara anak anak tempatan yang begitu Amerikana sekali bunyinya – mahu ketawa pun ada, bunyi dan nahu silap soal ke 2. TETAPI itu pilihan mereka. Diperhatikan dalam diam tanpa penghakiman, meskipun jika ikut hati, mahu ditemplak saat itu juga. Bukan salah mereka, itu akibat godaan dari apa yang mereka tonton dan kagumi (terutamanya adik adik LGT yang berjuang berat tanpa sedar dalam kehidupan). Para artis pop juga tidak kurang berlidah pelat sehinggalah mereka menemui pentingnya menjunjung bahasa dalam bicara.
Berada di dunia penulisan, tidak dapat tidak Bahasa Inggeris digunakan dalam sidang sidang rasmi dan kasual. Saya fikir cukuplah sekadar mampu untuk segagan berdiri dan duduk dalam suasana tersebut. Kesedaran bahawa maklumat penting dalam bidang: Perubatan, Kejuruteraan, Linguistik, Guaman dan lain lain sememangnya lebih padu dalam Bahasa Inggeris, saya menjadi lebih akur bahawa bahasa kebangsaan perlu terus diperkasakan.
Bahasa dinikmati sebaiknya. Dicari makna, menjadi jambatan penerangan agar semuanya jelas, padu dan bulat.
NOTA: Ini kisah lapuk sebenarnya. Tinggal di pulau yang rata rata mendewakan bahasa asing membawa fikir. Kerja kerja panggung yang dilakukan selama 20 tahun lalu untuk majlis majlis koporat sudah menyaksikan gunaan Bahasa Inggeris dan perlu diakui bahawa tanpa kefasihan mustahil untuk diteruskan. Mendamaikan jiwa, fikiran dialih mengatakan: Bahasa adalah untuk dinikmati dan difahami – ada usaha usaha yang dituntut dalam menggunakan sebarang bahasa.
BAHASA INGGERISApalah pilihan yang kita ada?Memang benar ia bukan bahasa untuk diagung banggakan, tetapi (ada banyak tapi...) jika mampu dan berpeluang kenapa tidak dipulun untuk menulis dan berbicara dengan baik dalam bahasa tersebut?
Ada laba menanti jika kamu fasih berbicara dan menulis dengan baik bahasa tersebut. Jangan dinafikan.
Ia bukanlah senjata untuk berangkuh-angkuh mengukur taraf cendiakawan seseorang. Ada yang bicaranya berhabuk penuh jargon-jargon barat tetapi tidak membawa sebarang isi. Ada... (Kita orang kampung dulu dulu kagum ternganga bila bertemu penutur Inggeris yang bukan natif berbicara - kagum sebab kita tidak tahu hujung pangkal).
Harus ingat, ia bahasa ke 2 yang membantu. Di negara yang mengambil Bahasa Inggeris sebagai jalan tengah untuk kelancaran kerja dan penerangan bilamana kefasihan Bahasa Malaysia berada di tahap miskin bila berhubung sesama.
Jadi bila ada peluang untuk belajar memperbaiki tulisan, sebutan dan tata bahasa rebutlah tanpa ralat. Tidaklah molek bila bahasa kemudahan dunia (walaupun tidak kita setuju atau selesa) kita palit dengan kesumat bangsa, kelas, sejarah jajah, agama dan lain lain konotasi negatif. Orang ajar, kita belajar.
Apa yang mahu dimalu? Ini bukan bahasa ibunda kita, jika mahu boleh digilap atau jika sudah puas hati bolehlah digunakan sebagai jambantan komunikasi yang berkesan (biar diri tidak dilekeh hina). Tidak perlulah memberi contoh negara negara lain yang maju tanpa Bahasa Inggeris. (Merekapun dalam diam memaksa generasi muda untuk PULUN berbahasa Inggeris dengan baik atas dasar peluang tempatan dan perkembangan globalisasi).
Buanglah sifat ego bila ditunjuk ajar. Penguasaan Bahasa Inggeris tidak akan membawa kamu berdiri di tangga gereja, makan bersudu garpu, berbaju senteng dan terlupa asal usul. Eja, sebut dan tuturlah dengan molek biarpun berbunyi kam kam.. tidak ada masalah. Pasang niat mahu yang betul. Kalau 11 tahun di persekolahan Malaysia kamu main main, inilah masanya dikarau semula kemahiran tersebut - lebih mudah belajar di usia tua jika masuk bab bahasa.
Janganlah sampai kamu mula berkata: "My Malay is not so good lah... i prefer Inglis...." Penyapu bersalut tahi mama berikan untukmu.
Regina Ibrahim160221
YOU ARE READING
NONEN
Non-FictionChallenges of a Transwoman. Self introduction. This is not a workshop to sell values and lifestyle. Just to nurture some understandings about ts living and working in Malaysia. Not to represent any NGO or to glamorize transsexuals life style...