BICARA CANTIK

1 0 0
                                    

BICARA CANTIK YANG TIDAK BERKESUDAHAN.

Berapa ramai agaknya manusia terpuruk, rendah diri, resah gelisah dan tidak yakin ketika CANTIK menjadi syarat?

"Amboi..., dia dok buat macam dia tu cantik cantik gitu...," getus hati beramarah.

Dalam lagu JANGAN PILIH YANG CANTIK lantunan Allahyarhamah Salmah Ismail @ Saloma dan dirakam semula oleh Rosemaria Abdul Hamid sebaik tamat menjuarai Bintang RTM 1977, mempamirkan keluhan yang berlansung hingga kini. Ya, rintihan untuk didambakan meskipun dalam irama yang sedikit rancak berlucu lucuan. Ia membawa harapan besar sebelum tiba di garis kematangan sebenarnya.

"Abang tunggu pasangan yang putih kuning, abang tunggu tunangan, pinggangnya yang ramping aduh!!! Bang jangan pilih yang cantik, pilihlah saya, badannya kecil dan molek pandai bergaya..."

Ceritera cantik tidak lain tidak bukan diaruh oleh sikap memuja muji sesama manusia, menjadi perhatian atas sebab yang satu yakni 'CANTIK'. Kalau tidak rupa paras, dicari jalan memuji busana, tas atau kasut yang dikenakan. Selalunya saat membandingkan siapa lebih itu dan ini termasuklah paras rupa ditentukan oleh kesurupan dunia pop terkinI.

"Cantiknya dia persis Fazura, sikit lagi bak Erra Fazira..."

Menjadi cantik akhirnya tanpa disedari merusuh ke ruang komersil melalui tawaran yang macam macam dari pil kurus, suntikan & rawatan estetik, pembedahan ikat usus dan macam macam bagi kita yang waras merasakan tidak masuk akal. Khabarnya melalu sains dan teknologi, genetik kulit, saiz dan waima warna mata mampu dirubah. Ya benar, ada orang mendedikasikan hidupnya tentang hal hal cantik seumur hidup (ini lain pula ceritanya). Ternganga sambil memohon validasi dari sekeliling: "Sikit lagi berat turun, aku jadi Angelina Jolie la..."

Cantik dan menarik perspektifnya berubah dari masa ke masa. Sama seperti kanak kanak dan permainan.

"Beauty is on the eyes of the beholder...," dituduh pula bahawa ia ungkapan penyedap dan tidak membawa makna sedangkan Anne Hatheway bersenang senang dengan kecantikannya.

Budaya cantik merujuk pada piawaian yang berleluasa akan tahap 'Menariknya Fizikal' yang ditentukan oleh suara ramai. Ia selalunya berfokus pada bahagian bahagian badan tertentu, wajah simetri, warna kulit dan berat badan yang tidak berlebihan. Menjadikan manusia tidak keruan tercari cari hingga terlupa akan evolusi biologis masing masing.

Sewaktu remaja, perasaan tidak matang bagaikan memarahi Tuhan. "Kenapalah aku dilahirkan gelap, hidung buah jambu, kemetot, gemok? Patutlah aku kesepian..." Selalunya menelan liur melihat idola idola baharu atau menyaksikan pujian jatuh pada orang terdekat yang difikirkan bertuah.

"Kau kalau dalam kelompok Orang Asal, kaulah yang paling cantik!" sampai begitu sekali perumpamaan.

Apa betul mereka bertuah? Lantas menjadi jauh terpuruk apabila ada kajian sains dan psikologi yang beria ia mengatakan bahawa wajah dan badan membawa impak penting dalam kehidupan sosial manusia. Orang cantik secara berbanding menurut kajian akan jauh lebih berjaya dalam kehidupan profesional dan personal, kecantikan dihubung kait pula pada kesejahteraan hidup.

Bagaimana pula dengan kita yang berparas biasa biasa?

Melangkahlah masuk kisah kisah cantik piawai yang kita dengar di Asia: Ikat kaki biar kecil, berbedak sejuk agar putih, jangan makan kicap, usah korek jerawat dan macam macam lagi demi tumbuh cantik. Mandi bunga dan susuk dalam kategori kepercayaan dan tradisi sama naik mempengaruhi tanpa sedar untuk mendapatkan tampilan memikat, berkulit putih cerah, berwajah bujur sirih, kelopak mata bundar, ramping dan rambut panjang lurus.

Hari ini piawai kecantikan agak terbuka selaras dengan kemajuan hidup, deskripsi cantik lebih mengalir, pelbagai dan inklusif. Idea idea lama tentangnya hilang ditelan waktu, meskipun masih ada kelompok manusia yang melihat cantik selaras dengan apa yang terbiasa di sekeliling mereka (Orang korea selatan yang taksub pembedahan serta melihat kita sebagai hodoh) begitu juga para pencinta pertandingan ratu ratuan. Peningkatan kematangan sudah memperlihatkan pelbagai bentuk, saiz, warna kulit dan identiti (gender dan orientasi)

Cantik secara amnya dikatakan tampilan subjek/objek yang menjadikan ia indah dilihat. Sama seperti kita menikmati pemandangan indah, manusia dan kerja kerja seni yang terhasil. Dilihat secara matang, juga menjadi subjektif membawa hal hal penghargaan estetik dan falsafah. Alasan untuk memuja muji juga ikut berubah dan kita sudah mampu untuk meraikan perbezaan 'Tampilan Cantik'.

Apa agaknya usaha cantik yang sering diketawakan?

1. Hempas pulas berbahaya untuk berkulit putih

2. Pil kurus yang memudaratkan

3. Solekan tebal bercapuk capuk saat berusaha

4. Ukuran baju yang bukan di badan sendiri

5. Suntikan filler yang akhirnya jadi bulldog.

6. Pembedahan pembedahan plastik yang gagal

7. Kasut penari tiang (ikan plotan)

8. Ternanti nanti pujian. Sebal bila hilang perhatian

9. Membeli secara membabi buta akibat iklan palsu

10. Imej baharu dan pujian palsu setelah berhempas pulas.

Jelasnya cerita cantik dan kekaguman berubah setelah manusia tiba di titik KESEDARAN. Bagaimana didakap soal kesyukuran dan kesihatan yang berada di tingkat tertinggi? Menghapuskan rasa rendah diri dan timbaan ilmu demi membina keyakinan dengan apa sahaja yang dikurniakan: wajah, badan, akal, ruang hidup, kerjaya, ahli keluarga dan teman teman positif seadanya mampu menyumbang.

Benar, dengan dana berlebihan kecantikan cara kamu mampu diperolehi. Sama seperti pujian cantik pada tas tangan berjenama mahal, ia akan berlansung seketika sahaja, setelah itu kita mempunyai agenda hidup yang jauh lebih penting.

USAHA TERHADAP KECANTIKAN TIDAK PERNAH SALAH!!!

NOTA:

"Maafkan aku Tuhan kerana bersalah sangka denganmu sewaktu resah gelisah tidak waras mahu menyertai rentak kehidupan..."

Penulis antara remaja yang sering merasa tidak bertuah. Jengkel memarahi Pencipta kenapa dan mengapa. Giat membanding diri dengan orang lain yang begitu berbahaya terhenti awal sebenarnya, setelah berpeluang mendekati manusia manusia cantik yang selalunya tersorok pelbagai lapisan kekurangan (falasafah hidup, pemikiran, sikap dan kemampuan fizikal & akademik).

Pernah melihat usaha pembedahan yang gagal teruk, melihat proses & usaha teman teman terdekat, kecantikan yang ditelan masa serta gentik asal usul (dulu angkuh) dan sering memekakkan telinga bila ada bicara tentang kecantikan yang tidak matang. Gemar memuji bila perlu (selalunya bukan soal rupa paras) dan berkongsi falsafah cantik sepintas lalu pada yang memerlukan keyakinan diri.

Memasuki alaf baharu, terlalu ramai personaliti tidak cantik secara piawai telah membuktikan kejayaan (no name shall be mentioned – untuk elak tuduhan mengatakan mereka tidak cantik secara fizikal dan berparas buruk).

Jadi apakah cantik pada saya?

- Tubuh badan terjaga

- Ruang hidup selesa

- Kata kata yang memberansangkan terkawal

- Sifat, niat dan pekerti mempercantikkan manusia

- Gerak langkah terkawal bijaksana

- Padanan busana menyeluruh (elok sederhana)

- Pokoknya senyuman manis dan sifat hangat terbuka.

Mereka pemilik cantik konvesional sudah pasti akan tetap dipuji.

Mereka pemilik cantik konvesional sudah pasti akan tetap dipuji

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
NONENWhere stories live. Discover now