BERFIKSYEN MELALUI MEDSOS
Melalui mukabuku yang diperkenalkan pada tahun 2004 kita menjalin perkenalan dengan ramai. Sesekali mereka muncul melalui 'rakan mutual' setelah membaca muatnaik kita yang mungkin mencuit rasa ingin berkenalan. Kitapun bersetuju selagi tambahan rakan tidak melebih 5000 orang.
Banyak udang banyaklah garam, banyak orang pelbagai ragam.
Fiksyen secara harfiah adalah "Literature in the form of prose that describes imaginary events and people. Something that is invented or untrue" yakni Susunan kata kata sedap dalam bentuk prosa yang membayangkan khayalan kejadian dan manusia. Sesuatu yang direka atau tidak benar.
Sebagai penulis sudah tentu saya berfiksyen melalui novel, cerpen dan certot, ini kisah tentang manusia berfiksyen yang satu lagi di dunia Medsos. Tidak kiralah di ruang mukabuku, twitter, Instagram atau halaman TikTok sejak akhir akhir ini.
Kejadian kejadian lewat medan medsos menambah yakin bahawa terlalu ramai manusia dibelenggu sepi ketika bernafas di dunia. Pentas internet menjadikan manusia alaf baharu menghela LEGA kerana mampu berekspresi, itu tidak dapat disangkal.
Meskipun sang sepi tidak aktif memuatnaik apa apa, ada yang berperan sebagai pemerhati nakal (rajin berkomentar, menilai dan mengutuk bila perlu). Selalunya berselindung di sebalik akaun akaun bodong. Kalau diam tidak aktif lain ceritanya.
Penuh pengertian bahawa cita cita, impian, sepi dan ledakan nafsu perlu dibelai oleh tiap manusia, berikut disenaraikan beberapa kejadian yang pernah didengar, lihat dan alami.
1. Bersandarkan nama fiktif untuk luahan tentang Politik, Sosial, Agama dan apa apa sahaja. Hilang dalam satu tempoh tertentu (setelah merasa bahang bahaya dihidu).
2. Menjual cinta menggunakan gambar gambar yang tidak mampu kamu duga. (beliau bijak menggunakan gambar gambar personaliti menarik – tetapi tidak gah, untuk kesan realistik) e.g: gambar gambar artis dari negara seberang yang kurang popular, dewi remaja yang tidak menang tetapi lengkap gambar pelbagai. Target mereka hanyalah jalinan kasih untuk tempoh tertentu (Behenti setelah pihak yang satu lagi mula naik tok syeh serius dan mahu bertemu).
3. Mencipta satu personaliti hebat yang diimpikan (anak Menteri, anak orang kenamaan, tinggal di luar negara, berdarah campur) dan penuh gaya menerjah dunia medsos dan cuba mencari nikmat nikmat tertentu (akan hilang setelah kejadian kejadian sensasi medsos).
4. Berpindah dari medsos dan berani berhubung secara komunikasi telefon pintar (ini kejadian yang banyak sekali). Fiksyen diteruskan sehinggalah mangsa ragu dan malu untuk diceritakan pada umum. (terjadi pada orang biasa sehingga para artis artis). Pelaku menikmati – 'thrilling' sebegini.
5. Begitu asyik mereka melayan khayalan di sesawang dalam tempoh tertentu sehingga terlupa bahawa alamat IP membantu siasatan. Hilang setelah dibongkar.
6. Kejadian termasuklah pemalsuan kematian atau jatuh sakit bagaikan dalam drama dan filem.
Menjual kata sehingga membawa ke tempat tidur itu cerita kuno, ia sudah terjadi sejak zaman MirC lagi. Begitu juga dengan paparan foto indah bertapis, salin lekat pemandangan dan latar lokasi– giat yang penuh kecekapan agar dipercayai. Kisah bila jumpa berwajah lain itu adalah kisah lapuk juga.
Kita sebenarnya membicarakan hal-hal mental tidak stabil di sini. Permainan mental alaf baharu dan ada ketikanya melibatkan hal hal kewangan dan gangguan rumahtangga. Terjadi pada semua jantina, tidak kira samada pelaku seorang yang di alam realiti itu lekeh atau hebat sekalipun.
Pelaku selalunya tidak mahukan imbuhan wang. Apa yang mereka peduli adalah tingkatan khayalan, ghairah dan resah mereka ditonton peduli yang penting mendapat respon. Cari penonton pastinya. Kamu bukan tidak pernah mengikuti kronologi yang sarat dengan ciri ciri yang membawa sekali urusan mental tidak sihat di medsos. Heboh di TikTok dikongsi pula di Mukabuku dan Twiter atau sebaliknya.
Zaman dimarahi oleh teman sendiri bila dinasihat agar berhati hati setelah beliau penuh ghairah berkisah akan kekasih dari Eropah, Arab dan Amerika juga kisah lapuk ya... ini kisah sosok sosok tempatan. Kisah Miss Wong hilang 15 ribu ringgit pada buah hati internet juga sudah mampu kita ketawakan kini.
Pelayar yang realistik seperti kamu dan saya sesekali ketawa serta tertanya tanya, apa agaknya? Dalam diam kita berdoa agar anak dan cucu tidak terjun ke kancah anih sebegini.
Berfiksyen pelik-pelik melalui Media Sosial perlu difikirkan. Mereka yang tampil kabur, halimunan, sengaja menjalin hubungan (tidak kiralah samada hubungan romantis atau siratulrahmi biasa). Paling tidak kegiatan tersebut membuah garis tanya dalam hati kita.
Saya fikir semua manusia memerlukan perhatian, ada baiknya berpada pada (Bukan tugasan saya untuk berkempen agar kamu menjadi realistik ceria).
Kamu pernah menyaksikan atau mengalami fenomena ini?
Nota:
Selain melalui sendiri dua tiga insan sejak zaman IRC yang gemar berfiksyen teruk, kisah kisah gempar dari rakan taulan juga banyak didengari.
Kalau tukang scam kita arif benar, mereka berfiksyen sakan untuk tujuan aniaya kewangan, ini fiksyen ala ala mencipta pesona yang tidak wujud demi untuk menutupi hidup asli yang sepi, bosan, status sebenar...
Saya bolehlah berkata: What a waste of time. TETAPI bagi mereka itu mungkin terapi. Sayangnya terapi tersebut melibatkan jiwa jiwa yang polos... Padan muka jugalah pada yang terpesona tak mau mau kan?
Teringat kisah wanita berniqab yang kaya raya dan gah, sehinggalah ada netizen yang nakal melampirkan bukti bahawa itu gambar dari google...dan beliau menepis nepis dengan luahan berbentuk ketuhanan dan keislaman. Melintas juga ingatan pada kenalan mukabuku yang cuba mempamirkan hidup kaya-kaya sedangkan realitinya diketahui oleh rakan rakan kampung.
YOU ARE READING
NONEN
Non-FictionChallenges of a Transwoman. Self introduction. This is not a workshop to sell values and lifestyle. Just to nurture some understandings about ts living and working in Malaysia. Not to represent any NGO or to glamorize transsexuals life style...