Bab 1

288 18 0
                                    

TEPAT jam enam empat puluh pagi, Irdina dan ibunya, Puan Hayati sampai di sebuah warung milik ketua kampung. Atas ihsan Haji Jalil dan Hajah Saadiah, hampir sepuluh tahun dia menumpang berjualan di tepi warung mereka tanpa dikenakan sebarang bayaran.

"Mak duduk sini, biar Dina yang susun semua bekas kuih." arah Irdina, dia memimpin tangan kanan Puan Hayati dan didudukkan di atas kerusi plastik.

Puan Hayati akur. Nafas dihela lega, rasa syukur kerana dianugerahkan anak sebaik Nurin Irdina. Tidak pernah anaknya itu merungut apatah lagi malu untuk membantu dia berniaga selama ini.

Walaupun Irdina sering diejek dan tidak mempunyai kawan tetapi itu tidak pernah mematahkan semangat gadis itu untuk berjaya dalam pelajaran. Kini dia telah melanjutkan pelajaran dalam jurusan pentadbiran perniagaan di Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Dari kejauhan Puan Zainab mendengus kasar sambil berliuk-liuk dia berjalan mendekati kedua beranak itu. Terjuih-juih bibirnya melihat ke arah Irdina dan Puan Hayati. Penutup bekas kuih di atas meja kecil itu ditolak menggunakan hujung kunci rumahnya. Lagak seperti menjijikkan saja.

"Mak Nab nak beli apa? Ada nasi lemak, mi goreng, kuih-kuih pun ada." tanya Irdina ramah. Segaris senyuman dihadiahkan untuk Puan Zainab yang merupakan jiran sekampung mereka.

"Huh! nak makan pun tak lalu. Aku tertanya-tanya tau Haya, mana kau dapat modal beli barang-barang nak meniaga ni?" soal Puan Zainab keras, menarik perhatian orang kampung yang berada di sekitar situ.

"Apa maksud Mak Nab, ya?" Irdina bertanya. Lantas, Puan Hayati menarik lembut pergelangan tangan anak gadisnya supaya mendiamkan diri.

"Kau diam, Dina. Kau tu budak lagi, tak payah nak menyampuk apa orang tua bercakap. Aku tanya mak kau, bukan engkau." tempelak Puan Zainab. Terjegil biji matanya memandang Irdina.

"Kalau Mak Nab tak nak beli, silalah balik. Mak Nab pusing seratus lapan puluh darjah dari kedudukan Mak Nab sekarang ni dan jalan terus ke depan sana. Tunggu apa lagi? Baliklah." tutur Irdina, lembut tapi sinis nadanya. Terpempan sesaat wanita itu.

"Entah-entah duit haram yang kau anak beranak guna buat beli barang semua ni, kan? Itu fasal jualan kau selalu tak laku aje. Jijik!" hambur Puan Zainab, kedua tangannya mengambil pasir di atas tanah lalu di tabur ke dalam bekas-bekas makanan di atas meja itu. Terkedu Irdina dan Puan Hayati.

"Astaghfirullahaladzim... apa kau buat ni Nab?" Bergetar suara Puan Hayati. Merembes air matanya membasahi lekuk pipi tatkala melihat makanan itu telah dicemari dengan pasir.

Pang! Melekap telapak tangan halus Irdina pada pipi kiri Puan Zainab. Terteleng ke tepi wajah wanita tua itu.

"Mak Nab anggaplah penampar saya ni sebagai ganti rugi sebab Mak Nab dah rosakkan jualan kami dan Mak Nab juga punca mak saya menangis." kata Irdina, menggigil kedua tangannya.

Puan Zainab mula naik hantu. Sudahlah tadi gadis itu menyindir dia, sekarang ini Irdina berani naik tangan pula. Belakang kepala Irdina dicengkam kuat hingga terkeluar anak rambut gadis itu. Kedua belah pipi Irdina, dia tampar sepenuh hati. Tidak cukup dengan itu, ditunjal-tunjal pula dahi Irdina.

Melihatkan anak tunggalnya diperlakukan sebegitu rupa, Puan Hayati menarik lengan Puan Zainab namun hampa, wanita bertubuh gempal itu tidak berganjak sedikit pun.

𝐋𝐨𝐯𝐞'𝐬 𝐂𝐡𝐚𝐧𝐜𝐞 [𝐎𝐆]Where stories live. Discover now