"BOS, moh ler kita sarapan. Termenung lama-lama kat luar ni bukannya kenyang pun." suara garau Lut memecah lamunan Niaz.
Seawal pukul 6 pagi Lut perasan lelaki itu duduk di luar rumah. Sekarang ini jam sudah melepasi ke angka 8 pagi. Mungkin majikannya itu masih mengenangkan hal malam tadi.
"Pergilah dulu. Nanti aku datang." Niaz membalas ringkas.
Sesekali kedengaran keluhan halus yang terbit dari bibir lelaki itu. Tak mahu turut terjerat dalam masalah Niaz, Lut segera membuka langkah panjangnya. Lebih baik dia mengisi perut yang mula berkeroncong.
"Mak oh mak..." suara Lut kuat bila tiada respons yang diberikan.
"Apa benda kamu ni?" marah Puan Salmiah. Terganggu fokusnya dek jeritan lantang Lut yang memenuhi ruang.
"Tak ada-apa, saja nak panggil mak. Nanti angah rindu." Lut mencebik.
"Eeeiii... getik beno nengoknye!" Puan Salmiah membalas.
Lut terkekeh-kekeh ketawa. Geli hatinya dengan reaksi Puan Salmiah yang berlebihan.
"Abah dah pergi kebun ke?" tanya Lut seraya menarik kerusi di kepala meja makan.
"Biasalah abah tu... lepas subuh terus keluar." jawab Puan Salmiah.
Tidak lama kemudian, terjengul kelibat Niaz di dapur. Tanpa dipelawa, dia mengambil tempat kosong di sebelah Lut.
"Jemput makan, Niaz. Mak cik masak nasi goreng ikan kembung aje pagi ni. Kamu boleh makan tak?" soal Puan Salmiah sambil tangannya ligat mengasingkan nasi goreng itu.
Satu mangkuk kaca sederhana besar diletakkan di atas meja makan. Manakala, nasi goreng yang selebihnya dimasukkan ke dalam bekas bertutup. Sebentar lagi Puan Salmiah akan pergi menghantar makanan itu pada Encik Razali yang berada di kebun miliknya.
"Boleh aje mak cik. Saya ni tetamu, takkanlah nak minta yang pelik-pelik pula dengan tuan rumah. Risau nanti mak cik halau saya dengan penyapu je." seloroh Niaz.
Puan Salmiah tertawa halus saat kata-kata Niaz melepasi corong telinganya. Dia sangat suka dengan keperibadian lelaki muda itu. Bukan hanya pandai membawa diri di tempat orang malah Niaz sangat menghormati orang tua.
"Alah! Secoet je mak letak kat angah. Ini macam nak jamu kucing makan je mak. Kenapa nasi goreng dalam pinggan tuan lagi banyak?" tanya Lut dengan nada suara tidak puas hati. Bersilih ganti dia memandang isi di dalam pinggannya dan pinggan Niaz.
"Nampaknya kasih sayang mak cik dah beralih arah pada saya." ujar Niaz.
"Itulah, tapi mak cik tak ada anak perempuan pula nak kahwinkan dengan kamu." balas Puan Salmiah bersulam senyuman tipis.
"Siapa cakap mak tak ada anak perempuan? Mak lupalah tu..."
Puan Salmiah mengerutkan kening. Otaknya tidak dapat memproses ucapan itu. Setahunya dia cuma mempunyai dua orang anak saja iaitu Lufya dan Lut.
"Assalamualaikum..."
Serentak mereka bertiga menjawab salam itu. Kini, pandangan tiga pasang mata berpusat pada Irdina yang sedang berdiri di luar pintu dapur.
"Ha... tu anak bongsu mak dah sampai. Panjang umur, pendek akal dia."
"Ish! Kamu ni, angah! Mak cili mulut tu kang." Puan Salmiah menegur dalam ton suara yang rendah.
Lut tayang sengih tatkala renungan tajam si ibu menikam tepat pada matanya.
"Masuklah Dina, meh sarapan sekali dengan kami." lembut pelawaan Puan Salmiah.
YOU ARE READING
𝐋𝐨𝐯𝐞'𝐬 𝐂𝐡𝐚𝐧𝐜𝐞 [𝐎𝐆]
Romance(3rd Series of Love's) SPIN-OFF : Love's Regret. Nurin Irdina seorang gadis kecil molek tetapi mempunyai jiwa setinggi awan di langit. Biarpun hidup serba kekurangan, namun ianya tidak pernah melunturkan semangat Irdina untuk berjaya dalam pelajaran...