Bab 31

168 20 1
                                    

PUAN AMELIA merenung kosong ke arah tanaman hiasan miliknya. Bunga mawar Perancis 'Soeur Emmanuelle' yang baru saja mekar kelopaknya dipandang sepi. Bunyi deruan air yang mengalir tenang dari kolam ikan langsung tidak mampu memberi kedamaian pada jiwa gundahnya.

Sesungguhnya dia masih berkecil hati dengan anak-anaknya. Tergesa-gesa balik ke rumah masing-masing. Niaz terus menghilang setelah perbalahan mereka malam tadi. Manakala Noah pula beri alasan ingin ke rumah mentuanya selepas makan tengah hari.

Untuk kesekian kali, Puan Amelia melepaskan keluhan. Masih segar dalam ingatan akan raut wajah Niaz yang nyata kecewa dengan permintaannya. Tidak pernah seumur hidup dia melihat anak lelakinya sekecewa itu.

Tuan Zayd menapak mendekati isterinya yang sedang duduk bersendirian di taman mini di belakang rumah mereka. Tanpa wanita itu sedar, hampir 30 minit juga dia memerhati isterinya dari dalam rumah.

"Masinnya air laut tak mampu menyerap ke dalam isi ikan yang masih hidup. Tapi bila ikan dah mati, secubit garam pun sudah cukup untuk memasinkannya. Sama juga macam hati manusia. Hati manusia yang masih hidup, sukar untuk dinodai. Tapi bila hati kita dah mati, memang mudah dipengaruhi." Suara Tuan Zayd menyentap lamunan Puan Amelia. Anak matanya dilarikan ke arah lain. Terkebil-kebil dia merenung jendela kaca rumah hijau yang dicat dengan warna putih itu.

"Sejujurnya I tak faham apa yang you benci sangat dengan Irdina. Padahal ada banyak kebaikan dan kelebihan yang you boleh cari dalam diri dia." tambah Tuan Zayd lagi. Kerusi bertentangan isterinya ditarik dan punggung dihempas perlahan.

"Kan I dah cakap sampai bila-bila pun I tak boleh nak terima dia. Perempuan tu tak ada asal-usul. Dia sendiri tak pernah kenal siapa mak dan ayah kandung dia. Lepas tu, malam tadi I dapat tahu dia sakit. Lagilah I tak boleh nak terima. Hancur masa depan Niaz kalau terus stay dengan dia." Puan Amelia memberi alasan.

Tuan Zayd tersenyum senget. Ini adalah masa yang sesuai untuk dia gunakan kuasanya sebagai seorang ketua keluarga.

"I nak tanya you, berdosa ke dia dilahirkan macam tu? Yang salah tu mak ayah dia bukan Dina. Alhamdulillah, baik aje budak tu I tengok. Sopan, hormat orang tua. Apa lagi yang you nak?"

"Sebagai seorang wanita, seorang ibu dan juga seorang menantu, sepatutnya you lebih faham keadaan Dina. Budak tu terkontang-kanting sendirian tak ada mak ayah nak bergantung. Kenapa nak tambah beban yang dia tengah tanggung?" Tuan Zayd mula berhujah.

"You tak faham apa yang I rasa... Mudahlah untuk you bercakap. I ni mummy Niaz, mestilah I nak yang terbaik untuk anak I." balas Puan Amelia dengan nada mendatar.

"Sampai paksa Niaz ceraikan isteri dia sendiri tu keputusan yang paling baiklah bagi you, Puan Amelia? You tahu tak berdosa cuba runtuhkan masjid anak menantu sendiri. You sedar tak apa yang you buat ni?" soal Tuan Zayd. Disandarkan belakang badannya ke kerusi. Kedua belah tangan disilangkan ke dada. Menanti jawapan si isteri.

"Dia ada masalah mental, darling! You faham tak? Dia tu sakit mental bukannya sakit fizikal. I tak nak Niaz hidup merana. Lebih baik kita cegah awal sebelum dia orang ada anak." Puan Amelia merengus tidak puas hati. Ada masa dia rasa tindakannya itu salah. Tetapi dia rasa sebagai seorang ibu, dia berhak untuk buat keputusan bagi pihak anaknya.

Istighfar panjang Tuan Zayd. Terkedu dia mendengar alasan wanita itu. Langsung tidak terpamer rasa bersalah pada riak wajah isterinya. Nafas dihela dalam-dalam sebelum dia kembali bersuara.

"Sekarang ni kan, I rasa you yang memilih untuk tak nak faham keadaan dia. Sedangkan you sendiri dah tahu sebab apa dia jadi macam tu. Boleh tak you duduk dengan tenang, ambil sikit masa berfikir dan bayangkan diri you berada dalam situasi Dina? Jaga kata-kata you bila bercakap dengan dia. Kita tak tahu apa yang dia tengah rasa. Dalam diri you ni... dah tak ada sifat empati langsung ke, Amelia?" Jari telunjuk Tuan Zayd menyentuh tangan isterinya yang berada atas meja.

𝐋𝐨𝐯𝐞'𝐬 𝐂𝐡𝐚𝐧𝐜𝐞 [𝐎𝐆]Where stories live. Discover now