Bab 3

173 14 7
                                    

SEMENJAK pulang dari membeli cincin pertunangan bersama Azad petang tadi, Puan Hayati perasan akan perubahan mendadak pada diri Irdina.

Gadis itu berkurung sepanjang hari di dalam bilik, tidak banyak berceloteh seperti selalu. Dalam masa yang sama, dia risau memikirkan jika Azad ada melakukan perkara-perkara yang tidak sepatutnya terhadap Irdina.

"Haya..." panggil Encik Zaini sebaik saja dia masuk ke dalam rumah. Kedua belah tangannya menjinjit beg plastik berisi barang-barang keperluan dapur.

"Haya ada kat dapur ni." jawab Puan Hayati yang sedang memasak untuk makan malam. Berkerut dahinya melihat bungkusan plastik di atas meja makan itu.

"Banyaknya barang abang beli. Abang beli guna duit hasil berjudi ke?" Puan Hayati bertanya tegak tanpa berselindung.

"Ish, kamu ni... suka beno menuduh abang. Ini duit bakal menantu kita bagi. Abang beli siap-siap barang untuk majlis tunang Dina nanti." jawab Encik Zaini.

Irdina terus keluar dari biliknya menuju ke arah dapur setelah mendengar suara garau Encik Zaini menerpa pendengaran telinganya.

"Ayah kejam! Sanggup ayah jual anak sendiri semata-mata demi duit." kata Irdina dengan suara tertahan-tahan.

Serentak kedua pasangan itu menoleh melihat ke arah anak gadis mereka yang berdiri di atas tangga dapur.

"Cakaplah apa yang kamu nak cakap Dina. Apa yang ayah tahu, ayah dah tak payah susah-susah fikir pasal kerja sekarang ni." balas Encik Zaini selamba, lebar senyuman menghiasi wajahnya.

"Apa maksud Dina? Abang paksa Dina kahwin dengan Azad sebab duit ke?" tanya Puan Hayati, terasa pelik dengan butir bicara Irdina.

"Abang buat pun bersebab, Haya. Semua ni untuk keselesaan hidup kita juga." Encik Zaini memberi alasan.

"Bukan kita! Tapi untuk keselesaan ayah seorang je. Dina tak nak kahwin dengan Azad. Ayah faham tak?!" Irdina naik geram.

"Cukup Dina! Keputusan ayah muktamad. Kau kena kahwin juga dengan Azad." Encik Zaini memintas.

Laju Irdina menuruni anak tangga, sebilah pisau di atas rak pinggan dicapai. Puan Hayati dan Encik Zaini terpaku sejenak namun Encik Zaini cuba untuk berlagak selamba. Dia menghenyak punggung di atas kerusi.

"Dina bagi ayah dua pilihan sekarang ni. Sama ada ayah tolak pinangan Azad dan Dina terus hidup atau ayah terima pinangan dia dan ayah akan hilang anak perempuan ayah untuk selama-lamanya. Ayah buat pilihan sekarang." ugut Irdina, dengan tangan yang menggigil dia meletakkan mata pisau itu di leher sendiri.

"Jangan buat macam ni Dina. Masih ada jalan peyelesaian lain tapi bukan dengan cara bunuh diri. Berdosa Dina, istighfar banyak-banyak." Puan Hayati memujuk.

"Mak... mak rasa ayah nak dengar ke apa yang kita berdua cakap? Dia cuma fikir pasal diri dia aje mak. Ayah berhutang dengan Azad seratus ribu ringgit dan dia jadikan Dina sebagai cagaran pada Azad. Setakat itu saja ke maruah dan harga diri Dina?" Irdina menyoal dengan suara sebak.

"Tapi ayah dah janji dengan Azad, ayah tak boleh nak patah balik. Nak tak nak kamu kena kahwin juga dengan dia. Tolonglah Dina, kali ni je kamu tolong ayah. Ayah janji lepas kamu kahwin, ayah tak akan ganggu hidup kamu lagi." ujar Encik Zaini separuh merayu.

"Kenapa ayah tak tanya Dina dulu sebelum nak buat apa-apa janji dengan Azad? Dina bukan bola yang ayah boleh tendang sesuka hati. Dina pun nak merayu pada ayah supaya kesiankan Dina... Dina dah penat ayah. Dari kecil Dina hadap caci maki orang kampung, kawan-kawan sekolah semua pulaukan Dina, ejek Dina sebab ayah selalu buat kerja haram, cikgu-cikgu tak pernah peduli pada Dina bila Dina mengadu kena buli. Bila ayah nak berubah? Kenapa ayah perlu toreh lagi parut dekat hati Dina yang dah sedia hancur ni?" Irdina menambah panjang lebar, dia meneguk air liurnya sendiri dengan hati terkilan.

"Itu semua cerita masa kamu kecil. Tengok sekarang ni kamu dah berjaya pun belajar sampai ke universiti. Kalau kamu kahwin dengan Azad, hidup kamu akan mewah. Apa yang kamu teringin dari kecil semua kamu akan dapat Dina. Percayalah cakap ayah." bicara Encik Zaini tenang sambil mencicip air kopi di dalam cawan.

Sepasang mata Irdina merenung tajam wajah si ayah, seperti tiada rasa bersalah dalam diri lelaki itu. Mudahnya tutur kata Encik Zaini.

Sedangkan untuk Irdina, emosinya terganggu, bahkan tidur malamnya tidak pernah lena dan dia mempunyai masalah untuk mempercayai orang lain disebabkan pengalaman yang menyakitkan dan menyedihkan itu berlaku dalam hidupnya.

"Ayah tahu tak kenapa Dina masih hidup sampai sekarang? sebab Dina tak ada pilihan lain selain meneruskan hidup walaupun kadang-kadang Dina rasa ada baiknya Dina mati je macam arwah ibu." lirih Irdina. Dia tidak mampu membendung lagi rasa kecewa yang meluap-luap di lubuk hatinya.

"Kau jangan sebut pasal perempuan tu depan ayah, Dina! Bersyukur sikit aku dan mak kau bela kau dari kecil sampai besar dari kau terbiar dekat rumah anak yatim!" jerkah Encik Zaini, terduduk Dina di atas lantai dapur. Lantas mata pisau itu terhiris pada kulit lehernya. Cecair hangat yang meluncur di pipi sama laju dengan darah pekat mengalir di sisi lehernya tanpa menghasilkan sebarang rasa sakit.

Sejurus itu, Encik Zaini bingkas bangun dari kerusi. Berombak kencang dadanya menahan amarah. Apatah lagi apabila Irdina hampir menyingkap kisah hitam itu.

"Ya Allah, Dina..." Puan Hayati menekan kesan luka itu menggunakan hujung lengan baju kurungnya agar pendarahan segera berhenti. Wajah pucat lesi Irdina yang lencun dengan air mata itu ditatap lama.

"Mak... Dina tak okay. Tolong Dina, mak. Hati Dina sakit sangat-sangat sampai Dina rasa macam nak mati. Dina dah penat nak menangis... harapan Dina dah hilang." Irdina merintih pilu. Tangannya naik menepuk dada sendiri sebelum dia menangis teresak-esak. Dia mula diburu luka-luka lama yang kembali berdarah.

Sudah lama rasanya Puan Hayati tidak melihat tingkah Irdina seperti ini semenjak gadis itu tamat persekolahan dulu. Jari jemari Puan Hayati mengesat air mata Irdina yang mengalir tanpa henti.

"Istighfar Dina. Tak baik cakap macam orang tak ada pegangan iman. Mak tak akan pernah tahu kesakitan yang Dina rasa dan Dina pun tak akan pernah tahu kesakitan yang mak tengah tanggung selama hari ini. Perkara tu tak mungkin terjadi sebab setiap situasi, setiap hati manusia dan setiap kesakitan itu unik. Dan yang paling faham setiap kesakitan kita itu cuma Allah, tuhan yang mencipta kesakitan yang kita sedang lalui." ujar Puan Hayati. Mendengarkan setiap kata-kata yang keluar dari mulut Puan Hayati, makin kuat tangisan Irdina.

"Menangislah sayang, lepaskan semuanya. Jangan tahan air mata tu sebab ianya akan membebankan diri kamu." Puan Hayati turut sama-sama menangis, kemudian dia menarik Irdina lalu memeluk tubuh gadis itu dengan erat.

𝐋𝐨𝐯𝐞'𝐬 𝐂𝐡𝐚𝐧𝐜𝐞 [𝐎𝐆]Where stories live. Discover now