Bab 5

191 13 6
                                    

"DINA?" Puan Hayati muncul dari luar bilik sebaik saja terdengar suara Irdina meracau-racau dalam tidurnya.

"Dina, bangun Dina." telapak tangan Puan Hayati menepuk bahu Irdina sebelum Irdina terpisat-pisat mencelikkan kedua kelopak matanya.

Lantas Irdina mengangkat tubuhnya bangkit dari perbaringan. Kedua belah tangan meraup wajahnya berkali-kali agar lenyap sisa mengantuknya.

"Kenapa mak?" tanya Irdina kehairanan. Mata bundarnya menatap raut wajah bening Puan Hayati yang dibaluti dengan telekung putih itu.

"Dina mimpi apa sampai mengigau masa tidur? Badan tu sakit lagi tak?"

Selimut nipis bercorak bunga besar yang melorot jatuh dari tubuh gadis itu, Puan Hayati ambil dan dilipat dengan kemas.

Irdina tidak menjawab. Dia sendiri tidak pasti perkara apa yang dia mimpikan. Tangan Irdina spontan bergerak meraba seluruh tubuhnya yang terasa sengal dan sakit. Entah bagaimana dia boleh terlelap hingga tidak sedarkan diri.

"Dina..." Puan Hayati menyentuh lembut pipi gadis itu. Berkerut halus kening Irdina menanti tutur kata Puan Hayati.

"Sementara ayah belum balik rumah lagi, Dina pergilah mana-mana tempat yang jauh dari sini. Selamatkan diri Dina dari Azad. Mak tak nak Dina rasa hidup yang sama macam mak lalui selama ni." ujar Puan Hayati dengan suara rendah. Matanya merenung sayu ke arah Irdina.

"Apa mak cakap ni? Kalau Dina keluar dari sini, mak pun kena ikut Dina sekali." tegas Irdina, agak terkejut dengan kenyataan wanita itu.

"Mak ni dah tua, sini aje tempat mak. Tak ada apa yang mak harapkan selain dapat tengok Dina berjaya menghambat cita-cita Dina. Itu kebahagiaan sebenar untuk mak."

Irdina telah banyak bertarung dugaan demi dugaan semenjak di usia muda. Puan Hayati tidak sanggup lagi melihat gadis itu terhumban ke dalam lembah hidup yang penuh onak dan duri jika dia berkahwin dengan Azad.

"Tapi nan..."

"Sudah, tak payah fikir pasal benda lain. Utamakan diri Dina dulu. Satu hari nanti Dina akan faham kenapa mak buat semua ni." Puan Hayati mencantas. Dia juga berat hati untuk membiarkan Irdina pergi jauh tetapi dia melakukan semua ini demi kebaikan gadis itu.

"Terima kasih mak..." ucap Irdina. Tiba-tiba dadanya diselubungi sebak.

"Dina janji dengan mak, walau apa pun yang jadi nanti jangan balik sini ya." Suara Puan Hayati kedengaran sekali lagi. Cecair hangat mula sarat bertakung di kelopak matanya.

"Kenapa Dina tak boleh balik? Macam mana kalau Dina rindu mak?" bergetar suara Irdina menyoal. Cepat benar perasaan sedih itu singgah di dalam dirinya.

"Doa. Setiap doa Dina, titipkan nama mak dan ayah selalu. Jaga diri Dina di tempat orang. Nurin Irdina cinta hati mak..."

Tertunduk wajah Irdina merenung hujung t-shirt biru miliknya. Tanpa sebab yang dia tidak pasti, kata-kata Puan Hayati itu bagaikan sembilu yang menghiris hati Irdina.

"Mak pun jaga diri tau. Dina sayangkan mak... terima kasih mak sebab sudi jaga Dina dari kecil, sayangkan Dina lebih dari selayaknya."

"Pergi bersiap cepat sebelum ayah balik sini." Puan Hayati memberi arahan.

Dia tidak mahu gadis itu berterusan larut dalam kesedihan. Irdina segera berdiri sebelum menghilang ke bilik air yang berada di belakang rumah.

Irdina sekadar membersihkan diri secara ala kadar, dia cepat-cepat masuk semula ke dalam rumah untuk menunaikan solat subuh yang kian berada di penghujung waktu.

"Mak?" seru Irdina dari jenang pintu bilik tidurnya.

"Ya sayang?" Puan Hayati mengangkat wajahnya lalu menggamit ke arah Irdina. Dia berjalan mendapatkan Puan Hayati di ruang tamu.

𝐋𝐨𝐯𝐞'𝐬 𝐂𝐡𝐚𝐧𝐜𝐞 [𝐎𝐆]Where stories live. Discover now