KEESOKAN hari, Niaz dan Irdina keluar awal pagi. Hasil dari perbincangan bersama, mereka memilih untuk jelajah hutan di Pulau Pangkor.
Hutan hujan yang berusia kira-kira 2 juta tahun ini terdapat dua laluan. Dan sudah semestinya Niaz memilih laluan yang singkat merentasi perimeter utara.
Alhamdulillah, langit pagi kelihatan cerah dilengkapi dengan kepulan awan yang indah. Bau lembap yang melayang di udara selepas hujan terasa begitu menyegarkan.
Kelihatan Encik Din, jurupandu arah dan beberapa orang peserta sedang menunggu di laluan utama. Sejurus memperkenalkan diri, mereka mula mendaki.
Sepanjang berjalan kaki, mereka dihidangkan dengan pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan dan haiwan yang hidup dalam hutan ini. Encik Din juga tidak lokek berkongsi ilmu berkaitan ikhtiar hidup ketika berlaku detik cemas di dalam hutan.
"Ada yang tahu tak ni pokok apa?" Encik Din tiba-tiba menyoal. Lantas, masing-masing menggeleng kepala.
Jangan kata mereka yang berasal dari bandar saja tidak kenal pokok itu. Irdina yang memang lahir dan membesar di kampung juga tidak tahu nama tumbuhan itu.
"Ini namanya pokok senduduk. Biasanya pokok ni tumbuh liar kat sekitar rumah. Daun dia rasa kesat dan kasar bila sentuh." beritahu Encik Din. Beberapa orang peserta kelihatan teruja untuk menyentuh daun itu.
Niaz kemudian mencangkung di sebelah lelaki awal 40-an itu. Penuh fokus dia melihat Encik Din meramas beberapa helai daun senduduk sehingga lumat. Lalu, daun itu dilekapkan ke atas tangannya.
"Petua orang dulu-dulu banyak menggunakan tumbuhan herba untuk merawat luka. Salah satunya pokok senduduk ni. Orang sekarang akan tumbuk atau giling sampai lumat baru letak kat tempat luka. Tapi orang tua dulu, dia orang kunyah guna mulut aje. Nak try?" seloroh Encik Din sambil menyua daun itu pada Niaz.
Laju Niaz menggeleng. Memang tidaklah dia nak mengunyah daun itu. Melainkan jika terpaksa, baru dia akan fikirkan semula.
"Kenapa awak tak nak cuba? Malam tadi bukan main semangat lagi awak cakap nak explore benda-benda baru." Irdina tertawa kecil.
"Pandai eh sekarang nak kenakan saya pula." Niaz mengepit manja hidung si isteri. Makin galak tawa Irdina.
Niaz tanggal topi hitam atas kepalanya lalu diletakkan atas kepala Irdina. Kesian pula tengok isterinya terkebil-kebil menahan panahan cahaya matahari yang mula meninggi.
"Larat lagi tak nak berjalan?" soal Niaz. Sengaja dia melambatkan pergerakan agar mereka berdua berada di belakang sekali.
Irdina mengangguk kecil. Saling berpimpinan tangan, Irdina dan Niaz menyusuri laluan trek yang disediakan untuk kemudahan para pengunjung.
"Selain aktiviti macam ni, apa lagi hobi awak?" soal Irdina. Termengah-mengah dia menyusun nafas yang bagaikan tersangkut di kerongkong.
"Saya suka semua aktiviti yang berkaitan dengan kehidupan semula jadi. Jungle trekking, hiking, camping, memancing. Kalau nak relax sikit, saya main chess aje kat rumah."
Tercengang Irdina dibuatnya. Main catur relaks? Pelik suami dia ini. Tak semena-mena, Irdina ketawa lepas. Dia cuma tahu main dam haji dan dam ular saja.
"Apa beza hiking dengan jungle trekking? Saya nampak macam sama je."
"Tak sama, sayang. Perjalanan hiking pendek dan senang nak follow. Jalan pun dia orang dah siap sediakan untuk hikers. Kalau jungle trekking jalan dia berliku-liku dan penuh onak duri macam kisah cinta saya pada awak." ujar Niaz bersahaja.
YOU ARE READING
𝐋𝐨𝐯𝐞'𝐬 𝐂𝐡𝐚𝐧𝐜𝐞 [𝐎𝐆]
Romance(3rd Series of Love's) SPIN-OFF : Love's Regret. Nurin Irdina seorang gadis kecil molek tetapi mempunyai jiwa setinggi awan di langit. Biarpun hidup serba kekurangan, namun ianya tidak pernah melunturkan semangat Irdina untuk berjaya dalam pelajaran...