Bab 22

207 19 6
                                    

SEMENJAK Irdina bersetuju untuk mengahwini Niaz, hampir tiga minggu Irdina dan Niaz berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Taiping demi menguruskan urusan akad nikah mereka.

Memandangkan status Irdina sebagai anak tidak sah taraf dan hanya mempunyai nasab pada bahagian ibu kandungnya sahaja, jadi dia perlu membuat permohonan wali hakim.

Mujur ada Encik Hussin dan Haji Jalil yang sudi menemani Irdina dengan menjadi saksi di Mahkamah Rendah Syariah.

Sejurus mendapat keputusan dan segala urusan di pejabat agama turut berjalan dengan lancar, pagi ini mereka berdua telah dinikahkan di masjid negeri. Majlis pernikahan itu berjalan dengan sempurna.

Dengan sekali lafaz, Niaz Isaac selamat bergelar suami kepada Nurin Irdina. Sedari berjabat tangan dengan juru nikah sehingga selesai akad nikah, Niaz tidak dapat membendung rasa sebak di dadanya.

Sebelum meninggalkan ruangan dalam masjid, Niaz menjeling ke arah Irdina yang duduk di samping Hajah Saadiah dan Ayra. Gadis itu kelihatan tenang sahaja.

Tidak menunggu lama, Tuan Zayd segera mendekati anak bongsunya yang berdiri di luar masjid. Noah turut mengekori langkah si ayah dari belakang.

"Niaz..." seru Tuan Zayd.

Niaz pantas berpusing. Lantas, dia mendakap tubuh tegap Tuan Zayd. Di bahu lelaki tua itu, Niaz menangis semahu-mahunya.

"Daddy tak sangka pula kamu ni sebenarnya mudah terusik. Ingatkan tough sangat." Tuan Zayd mengusik sambil menggosok-gosok belakang badan anak lelakinya.

Noah yang memerhati ayah dan adiknya turut melepaskan tawa.

"Kau dah kenapa menangis aje dari tadi? Mengalahkan Dina pula." tutur Noah.

Dalam geram, Noah tetap mengusap bahu si adik. Menghulur sedikit ketenangan buat Niaz. Pasti lelaki itu sedih kerana ketiadaan Puan Amelia bagi menyaksikan majlis pernikahan Niaz.

Ibu mereka lebih memilih untuk menetap di inap desa. Bersungguh-sungguh Puan Amelia menyatakan bahawa dia tidak akan pernah merestui pernikahan Niaz dan Irdina.

"Hanya dia aje tahu betapa peritnya perjuangan yang dia dah lalui untuk jadikan hubungan ni sebuah kenyataan." jawab Tuan Zayd. Dia faham keadaan Niaz yang sedang melahirkan kelelahannya.

"Macamlah kau tu tak pernah menangis. Kau lupa ke kau dulu lagi teruk dari aku. Macam mayat hidup!" bidas Niaz bersama sisa air matanya.

Noah mengetap gigi. Dalam pada sedih, boleh pula lelaki ini mengungkit kisah lamanya. Tak guna punya adik!

"Ha, dah mulalah tu nak cari pasal." Tuan Zayd menolak bahu Niaz hingga terlerai pelukan anaknya. Air mata Niaz dikesat menggunakan hujung lengan baju melayunya.

Kedua lelaki itu tersenyum menyeringai dengan teguran si ayah.

"Daddy... berdosa tak Niaz sebab kahwin dengan Dina tanpa restu mummy?" tanya Niaz.

"Ada restu ibu bapa belum tentu menjamin sebuah perkahwinan tu bahagia, Niaz. Salah satu syarat nikah ada nyatakan ke kena ada restu baru boleh menikah?" soalan dibalas soalan.

Serentak kepala kedua-dua anak lelakinya menggeleng.

"Bagi mummy masa dan ruang. Lambat-laun dia kena terima kenyataan kamu dan Dina dah berkahwin. Tanggungjawab kamu makin besar lepas ni. Kamu anak lelaki dan kamu juga seorang suami. Dalam apa jua keadaan, utamakan isteri kamu dulu. Tapi tu bukan tiket untuk kamu belakangkan mummy dan daddy." Panjang ulasan Tuan Zayd.

"Ingat lagi tak pesan daddy pada kamu dulu, Noah?"

Tersentak Noah tatkala namanya tiba-tiba dipetik. Lambat-lambat dia mengangguk. Mana boleh dia lupa akan pesanan keramat itu.

𝐋𝐨𝐯𝐞'𝐬 𝐂𝐡𝐚𝐧𝐜𝐞 [𝐎𝐆]Where stories live. Discover now