Bab 20

137 15 2
                                    

SESEKALI mata bundar Irdina membelingas ke arah jam dinding. Lagi 15 minit jarum akan melepasi angka 10.00 pagi.

Mata Irdina kembali tertancap pada pantulan dirinya di hadapan cermin. Sebelum ini, dia tidak pernah kisah dengan penampilannya. Tetapi, hari ini semuanya rasa serba tidak kena meskipun solekan tipis menghiasi wajahnya.

Nafas dihela panjang dan dilepaskan perlahan-lahan. Irdina segera melangkah keluar dari rumahnya.

Keluar saja dari perut lif, Irdina melihat kawasan sekeliling. Dia tercari-cari kereta Niaz. Semalam Irdina telah berjanji dengan lelaki itu bahawa dia akan menghadiri majlis hari jadi Nayden yang ke dua tahun.

Memandangkan sambutan itu hanya dilakukan antara keluarga Tuan Zayd sahaja, Irdina terus bersetuju tanpa berfikir panjang. Baru saja dia ingin berjalan ke arah pinggir jalan, sebuah Mazda 6 berhenti tidak jauh dari tempatnya berdiri.

Kelihatan Niaz yang baru keluar dari perut kereta sambil senyuman tipis. Segak! Perkataan itu tercetus di benaknya. Ketampanan lelaki itu tidak berkurangan walaupun hanya mengenakan baju t-shirt biru laut dan seluar jeans berwarna hitam.

"Dah lama ke awak tunggu?" sapa Niaz ramah.

"Taklah. Saya baru je turun."

"Jom." Niaz bersuara dan kemudian membukakan pintu untuk Irdina.

Naik malu Irdina apabila Niaz bersikap seperti itu. Namun, dia tetap menghampiri pintu di sebelah tempat duduk pemandu. Tiba-tiba Irdina berpaling.

Terangkat kening Niaz, memberi isyarat agar Irdina meneruskan bicara.

"Awak rasa pakaian saya okay tak?" tanya Irdina. Terus tubuhnya berpusing menghadap lelaki itu.

Niaz melirik sekilas ke arah Irdina yang tampak manis berbaju kurung kain kapas berwarna ungu cair berpadanan dengan tudung bawal menutup dada. Kerana penampilan gadis itu jugalah yang membuatnya semakin jatuh cinta.

"Okay aje, tak ada apa yang tak kena pun. Awak nampak cantik macam selalu." balas Niaz, jujur dan ikhlas.

"Ye ke? Tapi saya rasa macam tak sesuailah. Saya nak naik tukar baju sekejap, boleh tak?"

Niaz menggeleng. Sebelah tangannya pantas menyekat laluan gadis itu.

"Tak perlu ubah penampilan awak semata-mata nak puaskan hati orang lain, Dina. You're beautiful in your own ways." Niaz menekan kata-katanya.

"Saya takutlah, Niaz..." adu Irdina. Jantungnya berdegup kencang seperti bot laju.

Jika sebelum ini keluarga Tuan Zayd mengenalinya sebagai salah seorang pekerja tetapi hari ini semuanya telah berubah.

"Saya kan ada. Awak jangan risaulah, keluarga saya manusia biasa bukannya vampire." ujar Niaz dalam nada ingin bergurau. Ada segaris senyuman di bibirnya.

"Kita tak lama pun kat sana. Lepas makan saya terus hantar awak balik rumah, okay?" tambah Niaz.

Irdina terharu. Dapat dirasakan bagai ada ketenangan yang menyapa dirinya. Tanpa dia sedar, timbul bibit-bibit cinta teruntuk lelaki itu walaupun berulang kali dia cuba menangkis perasaan sendiri.

Ingin diluahkan, akal warasnya menghalang. Masih tersisa rasa malu dalam diri Irdina. Bila tiba masa yang sesuai baru dia akan beritahu perasaan sebenarnya.

Lebih kurang 20 minit kemudian, kenderaan Niaz tiba di destinasi yang dituju. Irdina sedikit tenang. Sepanjang perjalanan tadi, Niaz tidak henti-henti memberinya kata-kata semangat.

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
𝐋𝐨𝐯𝐞'𝐬 𝐂𝐡𝐚𝐧𝐜𝐞 [𝐎𝐆]Where stories live. Discover now