Bab 14

190 15 0
                                    

IRDINA membawa dirinya ke bawah kolong setelah puas dia mencari secebis ketenangan di dalam rumah. Malangnya, kenangan-kenangan lalu tetap datang menyerbu ruang fikirannya.

Punggungnya dilabuhkan di bangku kayu. Mata bundar Irdina tertumpu tepat pada basikal usang yang pernah menjadi kenderaan utama Puan Hayati suatu ketika dahulu.

Berhambur keluhan Irdina memikirkan hari-hari depan yang bakal dia tempuhi. Kini tiada lagi sosok seorang ibu untuk dia bercerita hal suka dan duka. Terasa berliku dan gelap jalan dihadapannya. Seolah-olah tiada lagi ruang untuk dia meneruskan hidup.

Ingatannya tiba-tiba kembali menjangkau sewaktu dia mengetahui tentang pemergian kedua ibu bapanya.

Setahun yang lalu...

Sebaik saja kapal terbang MH128 selamat mendarat di bumi Malaysia, Irdina segera melakukan panggilan untuk memaklumkan kepulangannya kepada Puan Hayati.

Entah kenapa sepanjang seminggu berada di Australia, rasa risau dan resah Irdina bertalu-talu melekat di pangkal fikiran.

"Dina." seru Lut antara tenggelam timbul suaranya. Irdina lantas menoleh ke arah lelaki itu.

"Ya, kenapa muka kau pucat macam baru nampak hantu?" Irdina bertanya dengan riak hairan.

"Ikut aku balik kampung. Aku dah minta tolong Puan Syikin mohonkan emergency leave untuk kita berdua." beritahu Lut lembut.

"Kenapa tiba-tiba aje nak balik kampung? Ada apa-apa masalah ke?"

Lut berdiri tegak dengan wajah tertunduk merenung permukaan lantai lapangan terbang itu. Tidak tahu bagaimana ingin memulakan frasa untuk memberitahu hal yang sebenar kepada Irdina.

"Lut? Cakaplah. Kenapa kau diam? Apa yang dah jadi?" Irdina mendesak. Dadanya dipalu debar. Debar yang dia sendiri tidak tahu bagaimana untuk ditafsirkan.

Adakah perasaannya itu berkait rapat dengan perkara yang sedang disembunyikan oleh Lut sekarang ini?

Tanpa menjawab persoalan Irdina, Lut menarik hujung lengan baju gadis itu agar mengikuti langkah kakinya sehingga ke kawasan parkir kereta.

Irdina menerobos masuk ke bahagian penumpang sejurus daun pintu kereta dibuka. Dia menjeling ke arah Lut yang masih membatukan diri. Sementara menanti ucapan Lut, Irdina mengeluarkan semula telefon bimbitnya. Lebih dari 50 kali panggilan dibuat namun masih tidak bersambung.

"Mana mak ni? Tak jawab-jawab pun." Irdina mendesis sendiri.

Kelopak mata Lut rapat terpejam. Nafas digali sedalam-dalamnya kemudian dilepaskan perlahan-lahan. Mahu tak mahu, dia harus ceritakan perkara sebenar kepada gadis itu.

"Mak dan ayah kau dah meninggal dunia." Lut berterus-terang tanpa memandang wajah gadis itu. Dia tak sanggup.

Irdina terkejut. Dirasakan bumi ini seakan berhenti berputar dari paksinya. Jantungnya juga seakan berhenti berdetak. Seiring dengan itu, air mata Irdina yang bergenang mula mengalir di pipinya.

"Lut..." Irdina mengepal kedua-dua belah tangannya bagi menahan diri daripada menghamburkan tangisan.

"Aku betul-betul minta maaf, Dina." balas Lut lirih.

"Kenapa baru sekarang kau bagi tahu aku, Lut?" tanya Irdina dengan nada sebak.

Perkhabaran yang disampaikan Lut itu benar-benar mengguris luka ke lubuk hati Irdina yang paling dalam. Kenapa perlu secepat ini? Dikala dirinya masih belum bersedia menerima kehilangan.

"Memang aku nak bagi tahu kau tapi tu permintaan Pak Andak. Dia tak nak kau tahu sebab nak bagi kau habiskan training dulu." balas Lut sebelum perbualan mereka mati di situ.

𝐋𝐨𝐯𝐞'𝐬 𝐂𝐡𝐚𝐧𝐜𝐞 [𝐎𝐆]Where stories live. Discover now