Bab 4

169 10 4
                                    

AMARAN; Bab ini mengandungi unsur keganasan rumah tangga.

~~~~~•~~~~~

SEDARI tadi Irdina melirik ke arah jam di skrin telefon bimbit Vivo V81 yang retak seribu itu. Berbaki dua minit saja lagi angka akan bertukar ke pukul sepuluh malam. Dia sedang menantikan bunyi enjin motosikal milik Encik Zaini meninggalkan halaman rumah mereka.

Sedang Irdina leka, tiba-tiba lamunannya terhenti ketika gegendang telinganya disapa dengan bunyi derapan tapak kaki di atas lantai kayu rumah tanda ada seseorang berjalan.

Irdina tergopoh-gopoh bangun mendekatkan dirinya pada pintu bilik, kertas kecil dari celahan lubang kecil itu ditarik keluar. Dihendapnya kelibat Encik Zaini dengan mata yang separuh memincing sehingga lelaki itu menghilang di sebalik pintu utama rumah.

Dalam keadaan tergesa-gesa, Irdina menggalas beg berisi pakaian di bahu kirinya. Terjengket-jengket dia menghayunkan langkah kakinya keluar dari bilik tidur. Sewaktu dia melintasi bilik tidur Puan Hayati tadi, kelihatan wanita itu telah lena diulit mimpi.

Perihal melarikan diri dari rumah seperti ini adalah sebahagian dari rutin Irdina semenjak dia berusia tiga belas tahun lagi. Kebiasaannya dia akan bersembunyi di rumah Hajah Saadiah.

Paling ekstrem sedikit, Irdina menyorok di kandang kambing kepunyaan Haji Jalil kerana dia tahu tiada sesiapa akan mencarinya di sana disebabkan tidak ada yang terfikir dia akan sanggup berada di tempat sebegitu.

Tangan Irdina perlahan-lahan menutup daun pintu itu dari luar. Dalam sesaat dia melenyapkan diri ke arah jalan tikus yang sempit dan menyeramkan. Air liur sendiri diteguk berulang kali.

Pandangan Irdina terasa terhad dalam kesamaran cahaya bulan. Kemudian, dia menyalakan lampu suluh dari aplikasi telefon bimbit untuk menyuluh jalan. Risau jika muncul ular berbisa atau binatang buas di hadapannya.

Dalam masa yang sama, Irdina ligat memerhati kawasan sekitar semak samun itu. Dalam hati dia berdoa tidak putus-putus supaya dapat sampai ke jalan utama sebelum pukul dua belas tengah malam.

Bunyi ranting patah menghentikan langkah kaki Irdina seketika. Irdina melilaukan pandangan sebelum dia memusingkan tubuhnya ke belakang. Kejung tubuh Irdina sewaktu dia ternampak kelibat seseorang berdiri tidak jauh darinya.

Irdina mula diserang ketakutan sehingga lututnya terasa lemah. Siapa pula yang ikut dia dari tadi? Melihatkan susuk itu berjalan ke arahnya, cepat-cepat Irdina cuba melarikan diri.

Dalam keadaan kalut, tidak semena-mena Irdina tersadung sesuatu pada kaki kirinya lalu dia jatuh tersembam ke tanah.

"Aduh!" Irdina meringis kesakitan. Bunyi tapak kaki yang kian mendekat membuatkan Irdina bergelut untuk bangun semula. Panik, takut dan cemas bercampur menjadi satu rasa.

Belum sempat Irdina bangun dengan sendiri, lengannya terlebih dulu ditarik oleh seseorang. Meski pun pandangannya terhad, dia sangat kenal dengan gerangan manusia yang berdiri di hadapannya.

Azad tersenyum senget. Sekian lama dia memerhati tingkah gadis itu sejak Encik Zaini keluar dari rumah. Lelaki itu yang meminta dia datang ke sini untuk memantau keadaan Irdina.

"Kau nak lari pergi mana, Dina? Ingat semudah tu ke kau dapat lari dari aku hah?" soal Azad keras.

Tangan keras kematu Azad terangkat tinggi sebelum melayang di pipi Irdina apabila gadis itu sekali lagi berusaha melarikan diri.

"Sakitlah! Kau memang jantan tak guna! Aku benci kau, Azad! Aku benci kau!" marah Irdina sekuat hati. Hujung bibirnya terasa pedih. Belum jadi suami, lelaki ini sudah berani naik tangan pada dia.

𝐋𝐨𝐯𝐞'𝐬 𝐂𝐡𝐚𝐧𝐜𝐞 [𝐎𝐆]Where stories live. Discover now