Bab 28

99 16 3
                                    

HUJUNG minggu tiba. Sekitar pukul 10 pagi, Niaz dan Irdina sampai di kawasan perumahan mewah milik Tuan Zayd.

Keluar saja dari perut kereta, degupan jantung Irdina mula berubah rentak. Baru terbayang wajah Puan Amelia, belum nampak rupa yang sebenar lagi dah mampu buat dia rasa seram sejuk. Kaki pula terasa berat untuk melangkah. Apalah nasib dia selama dua hari di sini nanti?

Oleh kerana Irdina sendiri yang nekad nak meraih hati ibu mentuanya, reda sajalah menerima apa jua layanan wanita itu.

"Jom, kita masuk rumah." Niaz meraih jemari Irdina dan mengajak isterinya masuk ke dalam rumah itu. Irdina menurut langkah kaki Niaz.

Belum sempat apa-apa, terpacul susuk Puan Amelia di muka pintu. Kelat wajahnya tanpa secalit senyuman. Dijeling tajam menantu yang berdiri di sebelah anak bongsunya.

"Mummy ingat Niaz dah lupa jalan nak balik rumah." Puan Amelia bersuara sinis saat menyambut kedatangan Niaz dan Irdina.

Tuan Zayd yang baru muncul di belakang isterinya mengeluh perlahan. Penat dia ulang nasihat yang sama saban hari. Tapi wanita itu lebih sanggup mempertahankan ego sendiri.

"Niaz tak pernah lupa, mummy." Tenang Niaz membalas. Tangan Puan Amelia disalam penuh adab sebelum mencium kedua belah pipi si ibu.

Irdina turut melakukan hal yang sama seperti Niaz kecuali tentang cium pipi itu. Baru beberapa saat kulit mereka bersentuhan, Puan Amelia sudah tergesa-gesa ingin melepaskan tangannya.

"Itu pun nak kena call suruh balik, barulah nampak batang hidung. Kalau daddy tak call memang tak baliklah, kan?" Puan Amelia masih bernada tidak puas hati.

"Anak menantu dah balik macam yang you nak. Sudahlah tu. Apa lagi yang tak kena dengan you ni?" Perlahan tetapi tegas suara Tuan Zayd menegur isterinya.

Puan Amelia mendengus geram. Sukar untuk dia terima kenyataan bahawa anak bongsu yang dulu sangat manja kini menyayangi wanita lain selain dari dirinya. Puan Amelia tak rela!

Beberapa minit kemudian, Puan Amelia berganjak dari muka pintu. Langkah kaki diatur ke ruang keluarga. Punggung dihempas perlahan ke sofa.

Ruang keluarga yang luas itu tiba-tiba terasa sempit dan menyesakkan dada tatkala suasana sekitar mereka menjadi tegang.

Irdina menekur ke lantai bila pandangannya dan Puan Amelia bersatu. Panahan mata ibu mentuanya jelas menunjukkan wanita itu tidak suka dengan kehadirannya. Sampai nak angkat kepala pun dia tak berani.

"Bulan depan mummy nak buat majlis resepsi Niaz. A real wedding. Bukannya majlis kahwin macam budak kecil main pondok-pondok kat kampung sana tu." kata Puan Amelia.

Terpukul Irdina dengan sindiran ibu mentuanya. Namun, ada betul juga kata-kata Puan Amelia. Mereka dari golongan berada dan dikenali ramai.

Tambahan pula, Niaz merupakan anak bongsu kepada kedua pasangan itu. Sudah tentu Puan Amelia inginkan yang terbaik untuk anak lelakinya.

Niaz yang perasan perubahan air muka isterinya, lantas mengusap lembut belakang badan Irdina. Menghulur sedikit kekuatan dan semangat pada wanita itu.

"Tak baik cakap macam tu, darling. Cuba you jaga hati Dina sikit. Bukan semua orang berkemampuan nak buat majlis besar macam yang you bayangkan tu." Rendah suara Tuan Zayd menutur kata. Kadang-kadang dia sendiri geram dengan sikap ego isterinya yang tiada tandingan.

Terkebil-kebil kelopak mata Puan Amelia apabila ditegur begitu. Pandangannya dilarikan ke skrin televisyen yang sedang menyala.

"Awak setuju tak? Jangan paksa diri kalau awak tak nak buat majlis ni." bisik Niaz.

𝐋𝐨𝐯𝐞'𝐬 𝐂𝐡𝐚𝐧𝐜𝐞 [𝐎𝐆]Where stories live. Discover now