Bab 2

167 13 0
                                    


KOLAR t-shirt yang basah akibat peluh membuatkan Irdina terjaga dari lena. Jam loceng di bawah bantal ditarik keluar. Jarum jam telah melepasi angka sebelas pagi. Dia harus segera keluar dari rumah sebelum Azad datang ke sini mencarinya.

Dengan rasa malas yang menebal, Irdina memaksa dirinya untuk bangkit dari perbaringan lalu mencapai tuala yang tersangkut di belakang pintu.
Irdina kaku. Dia melekapkan telinga pada papan nipis itu, jelas kedengaran suara seseorang sedang berbual di luar bilik. Dia sangat kenal dengan pemilik suara garau itu.

Sejenak, otak Irdina ligat mencari alasan bernas yang boleh dia berikan pada Encik Zaini. Atau patut ke dia keluar melalui tingkap biliknya? Irdina menjengah sedikit kepalanya ke luar jendela itu. Tinggi, paling tidak patah riuk tulang dia nanti. Idea itu tak boleh pakai.

"Kenapa aku nak kena terjun kalau aku boleh turun elok-elok, kan?" omel Irdina sendiri sambil mengigit kuku ibu jarinya. Tuala tadi disangkut semula sebelum dia menyarungkan tudung ke kepala.

Kain cadar yang tersusun rapi di atas rak baju diambil, lalu Irdina mengikat hujung cadar itu pada celah kekisi tingkap. Serentak itu, dia pantas memanjat kekisi kayu di bahagian tingkap biliknya.

Tidak sampai sepuluh saat, hujung kakinya menyentuh permukaan tanah. Dia dah serupa pencuri yang baru lepas menyelinap keluar dari rumah orang. Haih...

Tanpa membuang waktu, Irdina menghayun langkah besar menuju ke rumah Hajah Saadiah. Tempat itu saja yang selamat untuk dia bersembunyi sekarang ini. Dia yakin Encik Zaini pasti akan mengamuk, tetapi dia sendiri tiada pilihan lain.

"Assalamualaikum, Nek Yah." Irdina memberi salam, dia menghampiri susuk Hajah Saadiah yang sedang duduk di belakang rumah. Perlahan suara Hajah Saadiah menjawab salam gadis itu.

"Datang pun anak dara ni. Nek Yah ingat kamu tak jadi datang, Nek Yah tak masak apa pun lagi." ujar Hajah Saadiah.

"Dina terlelap tadi, sedar-sedar dah nak masuk tengah hari. Meh sini besen cendawan tu biar Dina sambung jemur." Irdina mengambil bekas plastik berisi cendawan kukur dari tangan Hajah Saadiah.

"Ini kenapa sampai berkaki ayam pula?" soal Hajah Saadiah dengan wajah berkerut. Dipandang lama kaki Irdina yang kotor bersalut tanah merah.

"Dina keluar ikut tingkap bilik tadi sebab si Azad ada kat rumah." Irdina mengeluh kecil.

"Kalau dia ada kat rumah pun dah kenapa sampai kamu kena keluar ikut tingkap?" Hajah Saadiah bertanya lagi.

"Sebab dia datang nak bawa Dina pergi pekan beli cincin. Ayah suruh Dina kahwin dengan Azad. Dina tak nak kahwin dengan dia... Nek Yah pun tahu kan perangai Azad tu macam mana."

"Astaghfirullahaladzim... apa kena dengan ayah kamu tu eh? Ke dia ada berhutang dengan budak tu?" tebak Hajah Saadiah.

"Apa Dina nak buat ni Nek Yah? Lusa nanti keluarga Azad nak datang meminang Dina. Dina nak habiskan belajar dulu, lepas tu kerja supaya boleh senangkan mak dan ayah. Tapi kenapa ayah tak pernah kisahkan pasal Dina? Dina ni anak kandung dia, Nek Yah..." tercebik-cebik Irdina meluahkan rasa pada Hajah Saadiah.

Hajah Saadiah menghela nafas panjang. Jatuh kasihan dia melihat gadis yang sudah dia anggap seperti cucu sendiri itu. Terasa lelah dia melihat penderitaan Irdina selama ini.

Sejak gadis itu berusia tiga tahun, Hajah Saadiah dan suaminya yang menjaga Irdina kerana ketika itu Puan Hayati bekerja di luar bandar. Nak harapkan keluarga Puan Hayati sendiri? Peluk cium pun tak pernah. Inikan pula nak pandang Irdina dengan sebelah mata, dalam mimpi pun tak akan terjadi.

"Mari sini cuci kaki kamu dulu. Hari ni nak makan apa? Nek Yah masakkan." ujar Hajah Saadiah, ingin menceriakan suasana. Bersinar-sinar anak mata Irdina memandang wajah berkedut Hajah Saadiah.

𝐋𝐨𝐯𝐞'𝐬 𝐂𝐡𝐚𝐧𝐜𝐞 [𝐎𝐆]Where stories live. Discover now