SETELAH empat jam menempuh perjalanan dari Taiping, bas persiaran StarMart Express itu akhirnya berhenti di Terminal Bersepadu Selatan. Irdina keluar dari perut bas kemudian menaiki tangga bergerak untuk mencari pengangkutan awam.
Meliar mata Irdina melihat suasana kawasan terminal itu yang dibanjiri dengan pelbagai jenis manusia. Irdina pula ibarat rusa masuk kampung, kerana ini adalah kali pertama dia keluar dari negeri Perak.
Semua tunakan mata orang sekeliling yang singgah di wajahnya tidak dihiraukan. Irdina pasti semua orang merasa aneh melihat laman wajah dia dipenuhi kesan lebam dan luka.
Tatkala pandangan Irdina berpusat pada pondok polis yang terletak sepuluh meter dari tempat dia berdiri, Irdina teringat akan cadangan Encik Hussin pagi tadi.
Oleh itu, Irdina nekad untuk pergi ke balai polis terlebih dahulu. Dia ingin membuat laporan tentang apa yang telah dilakukan oleh Encik Zaini dan Azad terhadapnya sebagai langkah berjaga-jaga.
Belum sempat Irdina mengambil nombor giliran, dia di panggil oleh salah seorang anggota polis yang berada di kaunter aduan. Mungkin kerana ketika ini tiada orang agaknya. Irdina mula membuat andaian sendiri.
"Boleh saya bantu cik?" tanya anggota polis lelaki itu. Segaris senyuman terukir di bibirnya.
"Saya nak buat aduan tentang keganasan rumah tangga boleh ke?"
"Bagi saya kad pengenalan cik. Siapa yang pukul cik ni? Suami ke?" tanya anggota lelaki itu. Irdina meletakkan kad pengenalan miliknya di atas meja.
"Ayah saya dan bakal tunang tak jadi saya yang pukul saya. Tapi kan encik, alamat saya dekat Taiping. Boleh ke saya buat report kat sini?" soal Irdina, inginkan kepastian. Jika tidak, sia-sia saja dia berada di sini sekarang. Irdina sempat menjeling tanda nama di dada kanan lelaki itu. Shafiq.
"Boleh cik, kita buat counter report lepas tu kami akan maklumkan pada cawangan balai polis yang berdekatan dengan alamat rumah cik untuk tindakan seterusnya." terang Shafiq.
"Waktu dan tarikh kejadian berlaku cik masih ingat tak?" Shafiq bertanya lagi.
Selesai saja Irdina memberikan kronologi kejadian yang memakan masa hampir dua puluh minit, dia kemudian beransur meninggalkan bangunan terminal itu.
____
IRDINA melemparkan pandangan dari atas jejantas yang menghubungkan antara Terminal Bersepadu Selatan dan stesen LRT Bandar Tasik Selatan. Sudahlah dia tidak pernah naik kenderaan awam sebegitu. Hala tuju pun dia tidak tahu nak diatur kemana. Aduhai Irdina...
Melihatkan orang ramai berpusu-pusu ingin membeli tiket di kaunter membuatkan Irdina rasa tidak selesa untuk berdiri di situ. Lantas, dia ambil keputusan untuk duduk di bangku berdekatan.
Sedang Irdina leka termenung, bunyi nyaring deringan telefon bimbitnya membawa dia kembali ke dunia nyata. Terus Irdina menekan punat hijau ketika nama Encik Hussin tertera di skrin tanpa warna itu.
"Assalamualaikum, pak andak... Dina baru sampai ni." ceria suara Irdina menyapa pendengaran telinga Encik Hussin yang berada di hujung talian.
"Waalaikumussalam, Dina. Alhamdulillah, baguslah kalau kamu dah selamat sampai. pak andak call kamu ni nak bagi tahu yang anak pak cik Zali tu minta kamu terus pergi ke syarikat dia bekerja kalau kamu dah sampai KL. Kebetulan memang ada kerja kosong kat sana." Encik Hussin memberitahu.
"Ya Allah... betul ke ni pak andak? Harap-harap ada rezeki Dina kat situ. Kerja biasa-biasa pun Dina okay aje." Irdina yang teruja menerima berita itu tiba-tiba menangis dalam diam. Bukan kerana dia sedih tetapi kerana urusannya dipermudahkan Allah.
YOU ARE READING
𝐋𝐨𝐯𝐞'𝐬 𝐂𝐡𝐚𝐧𝐜𝐞 [𝐎𝐆]
Romance(3rd Series of Love's) SPIN-OFF : Love's Regret. Nurin Irdina seorang gadis kecil molek tetapi mempunyai jiwa setinggi awan di langit. Biarpun hidup serba kekurangan, namun ianya tidak pernah melunturkan semangat Irdina untuk berjaya dalam pelajaran...