Bab 13

132 14 0
                                    

"TAK apa ke kita tinggalkan dia sorang-sorang kat sini, Lut?" Niaz membuka bicara yang terkunci sejak tadi.

"Boss janganlah risau. Kejap lagi Nek Yah dengan Tok Lil datang sini tengok-tengokkan Dina. Jom kita balik dulu." ujar Lut. Sebelum mereka sampai tadi dia sudah maklumkan pada kedua pasangan tua itu.

Sedari tadi Lut perasan ada beberapa pasang mata-mata sinis orang kampung yang melewati jalan utama di hadapan rumah Irdina. Jadi dia tak mahu menjadi penyumbang kepada bahan gosip murahan orang kampung.

"Kau baliklah biar aku tunggu kat luar ni. Kalau jadi apa-apa kat Dina macam mana?" tanya Niaz dengan riak gusar. Dia menatap wajah Lut yang sedang berdiri di tepi pintu kereta.

"Saya tahu tuan risaukan Dina tapi kalau tuan kesiankan dia, ikut saya balik. Nanti saya cerita semuanya kat tuan."

Niaz melemparkan pandangan ke arah pintu rumah yang tertutup. Nafasnya dihela berat, tidak sampai hati untuk dia meninggalkan Irdina tetapi dia juga tak punya pilihan lain.

Jarak perjalanan dari rumah Irdina ke rumah Lut cuma memakan masa selama 15 minit saja. Sebaik melangkah keluar dari kereta, Lut dan Niaz berjalan ke arah pangkin yang berada di bawah pokok kelapa.

"Apa yang dah jadi sebenarnya?" tanya Niaz lalu punggungnya dihempas perlahan di atas pangkin kayu.

"Mak dan ayah Dina meninggal dunia masa kita orang ke HQ dulu. Sepanjang kat sana, Dina tak tahu pun sebab pak cik dia minta saya rahsiakan dari pengetahuan Dina. Lepas balik Malaysia barulah saya bagi tahu hal sebenar kat dia."

Lut menarik nafas panjang. Dia cuba mencari kekuatan daripada setiap helaan nafas yang dihembus keluar

"Meninggal sebab apa?" Niaz mengerling Lut yang duduk di sisinya.

"Mati dibunuh dengan cara yang sangat kejam. Seluruh anggota badan arwah mak dan ayah dia dipotong-potong dan dimasukkan dalam enam karung guni plastik. Masuk hari ke empat baru pihak bomba jumpa mayat dia orang hanyut kat Sungai Perak." jawab Lut.

Niaz meraup wajahnya berkali-kali. Tersentak dirinya bukan kepalang dengan apa yang baru saja dia dengar.

"Astaghfirullahaladzim... habis tu pelaku sebenar dah dapat tangkap?"

"Orangnya pun dah arwah, tuan. Beberapa jam lepas perbuatan dia tu Azad accident, kena langgar dengan lori pasir dan meninggal dunia kat tempat kejadian. Kifarah Allah itu pasti dan boleh berlaku dalam sekelip mata."

Lut turut menceritakan serba sedikit tentang Irdina kepada Niaz. Selama ini, kisah peribadi gadis itu hanya diketahui oleh dia, Noah dan Puan Syikin saja.

"Jadi sebelum ni Dina cuma berhalusinasi?" suara Niaz kembali memecah kesunyian.

"Halusinasi pendengaran." Lut menghamburkan keluhan.

Hampir bertaut rapat alis Niaz. Sungguh dia tak menyangka kehidupan seorang Nurin Irdina sangat tragis.

"Dua bulan selepas kematian mak ayah dia, keadaan Dina agak teruk. Dia mula berhalusinasi seolah-olah arwah masih hidup. Hampir dua minggu dia kat sini. Tak nak balik KL, tak nak pergi kerja."

"Dah bawa dia pergi buat pemeriksaan?" tanya Niaz.

Lut mengangguk sambil mendongak ke dada langit. Tanpa dipinta, setiap patah-patah perkataan yang disampaikan oleh doktor pakar psikiatri yang merawat gadis itu kembali menerjah ruang mindanya.

"Doktor diagnosed dia Skizofernia positif. Simptom yang tak ada dalam diri individu normal, tetapi ada dalam diri orang yang menghidapi skizofrenia. Antaranya delusi, halusinasi dan thought disorder."

𝐋𝐨𝐯𝐞'𝐬 𝐂𝐡𝐚𝐧𝐜𝐞 [𝐎𝐆]Where stories live. Discover now