Ting!
Bunyi notifikasi menandakan ada pesanan teks yang masuk. Zach menyeluk poket seluarnya dan menarik telefon pintarnya. Pesanan teks yang masuk dibaca.
"Alamat rumah?"
"Pergi ke alamat ni. Kau akan jumpa petunjuk dekat sana. Aku dah periksa hari tu." Pesanan teks itu dihantar oleh pemberi maklumat yang diupah oleh Zach.
Zach mencari informasi alamat itu di internet kemudian dia menelefon pemberi maklumatnya.
"Hutan belantara mana kau suruh aku pergi ni?"
"Haih, kata komando. Tak akanlah hutan biasa macam itu kau tak berani nak masuk."
"Macam mana kau jumpa tempat ni?"
Kedengaran suara garau di sebalik talian itu sedang tertawa.
"Yang itu aku tak boleh bagitahu. Kalau nak tahu, kena bayar lebihlah bos."
"Dasar mata duitan." Zach terus mematikan panggilan. Malas hendak melayan si gila itu.
Zach mencapai jaket kulit berwarna hitam yang sering dipakai lalu mula bergerak ke lokasi yang dikongsikan oleh pemberi maklumatnya. Setibanya dia di lokasi itu, tiada sebarang bangunan yang menyapa kornea matanya. Yang kelihatan hanyalah hutan rimba yang padat dan gelap. Lokasi yang diberikan menunjukkan bahawa tempat itu berada di sini namun tiada apa-apa yang dilihatnya membolehkan dia untuk mengumpul maklumat.
"Aku dah sampai. Hutan saja keliling." Zach menelefon pemberi maklumat itu.
"Kau kena jalan kaki masuk ke dalam hutan tu. Kau akan nampak satu rumah agam dekat dalam tu."
Zach hanya menuruti arahan lelaki itu dan keluar daripada kereta. Kereta mewahnya yang dipandu dikunci dan ditinggalkan di tepi jalan. Hati sudah berdoa agar keretanya tidak dicuri mana-mana manusia. Kaki melangkah jauh ke dalam hutan yang gelap itu. Silap pula dia datang ke tempat itu pada waktu petang.
Pancaran matahari juga terhad kerana pepohon yang besar dan berdaun lebat menutupi lantai hutan itu. Langkah dibawa sehingga ia berhenti di hadapan sebuah rumah agam yang usang. Rumah itu dipagar dan dikunci. Zach memanjat pagar itu dengan mudah sebelum berjalan mendekati rumah agam itu. Kelihatan daun-daun kering di sekeliling rumah. Zach berjalan mengelilingi rumah itu sehingga dia berhenti di hadapan pintu masuk rumah.
Pintu rumah berwarna putih yang sudah terkeluar catnya disentuh lembut dengan jari. Tombol pintu dipulas dan dia memberanikan diri untuk masuk. Perlahan-lahan pintu itu tertutup apabila ditiup angin. Terdetik rasa gementar di dalam diri namun diri masih dipaksa untuk berani berjalan-jalan di dalam rumah agam tiga tingkat itu.
Suasana di dalam rumah agam itu suram dan gelap walaupun hari masih cerah. Mata melilau ke sekeliling rumah. Hiasan pada siling dan dinding masih utuh walaupun diselimuti debu yang tebal. Zach berjalan mendekati sebuah bingkai gambar yang tergantung di atas sebuah rak kayu yang sudah reput.
Bingkai gambar itu ditenung lama sambil cuba mengamati lukisan yang terpamer. Lukisan itu cuba ditafsir namun gagal akibat sebahagian besar daripadanya sudah hilang. Di atas rak kayu itu terdapat sebuah loket berbentuk hati. Kepala Zach terlentok ke kiri sambil mata merenung loket itu.
Jari-jemari menyentuh loket itu sebelum dibawa ke hadapan mata. Loket itu terbelah dua dan mengeluarkan sebuah alunan lagu yang lembut. Terdapat lekuk pada bahagian dalam loket itu namun tiada gambar yang disimpan di dalam loket itu. Zach menutup loket itu dan meletakkan semula loket itu di tempat asalnya.
Dari sebuah bilik ke bilik yang lain, pintu-pintu dibuka dan ditutup. Zach cuba mencari maklumat seperti mana yang dijanjikan oleh pemberi maklumatnya namun hampa. Dia langsung tidak mendapat apa-apa bahan yang boleh digunakan sebagai maklumat untuk mencari pembunuh keluarga. Dia terus masuk dan keluar dari setiap bilik yang terdapat di rumah agam itu sehinggalah bilik yang terakhir. Pintu itu dikunci tidak seperti bilik-bilik yang lain.
Zach menggoncang tombol pintu itu cuba untuk membuka namun gagal. Dia cuba pula untuk membuka pintu itu dengan menendang sehingga pintu itu terbuka namun tubuhnya jatuh terduduk di atas lantai.
"Argh!" Zach mengerang kesakitan.
Keras betul pintu itu. Zach mengesot mendekati kesan pecah pada pintu itu dan mengintai dari celah-celah lubang itu. Tiada apa di sebalik pintu itu kecuali timbunan batu-bata yang menghalang pintu itu.
"Herm... Mungkin rumah ni masih dalam pembinaan masa mereka tinggalkan tempat ni kot."
Hampa dengan pencariannya di dalam rumah, Zach keluar dan berjalan ke bahagian belakang rumah agam itu. Tertunduk-tunduk Zach mencari sebarang klu namun tiada apa-apa yang menarik perhatiannya sehinggalah kedua-dua bebola matanya terpasak pada beberapa batang kayu yang dipacak pada tanah.
Terdapat enam batang kayu yang dicucuk sebaris. Zach berasa ada sesuatu yang pelik dengan kayu-kayu itu. Dia mendekati dan mula membelek sekeliling namun masih sama tiada jawapan. Zach mendecit geram. Dia berasa seperti dipermainkan oleh pemberi maklumatnya. Dia cuba menelefon lelaki itu namun gagal kerana kawasan itu berada luar dari radar.
"Ish! Tak ada line pula!"
Zach berlalu pergi dari rumah agam itu sambil kaki dihentak ke tanah kerana geram. Dia perlu kembali ke kereta dengan pantas kerana hari sudah mula gelap dan kedengaran guruh yang berdentum. Tanpa dia sedar, ada seseorang yang memerhatikan tindak-tanduknya sejak tadi.
Pada tingkap rumah agam yang terletak di tingkat dua, berdiri seorang lelaki yang memakai serba hitam. The Death Eater. Mata tajam itu menghantar tubuh Zach keluar dari kawasan rumah agam itu. Di tangannya yang tersarung sarung tangan hitam, terdapat loket berbentuk hati yang dipegang oleh Zach sebentar tadi.
Dirinya mengundur perlahan-lahan sehingga dia hilang seperti bayang-bayang hitam di dalam kegelapan. Bunyi guruh berdentum dan kilat yang sabung menyabung menambahkan kesuraman rumah agam itu. Tombol pintu yang ditendang oleh Zach dipulas sehingga pintunya terbuka membawa dirinya ke bahagian lain di dalam rumah itu.
Pedang yang berkilat dicapai lalu diseretkan di atas tangga besi ketika dia berjalan menuruni tangga itu. Tiba sahaja di lantai paling bawah, sebuah tong besi dibuka mendedahkan isi dalamnya.
"Dah muhasabah diri kau?"
Seorang lelaki dalam lingkungan 20-an dengan mulut yang ditutup dengan pita pelekat hitam dan tangan serta kaki yang diikat sedang merayu-rayu agar dilepaskan. The Death Eater mencebik di sebalik topeng hitam yang dipakai. Dia mendecit sebelum menongkat dagu di atas tong besi.
"Kau dah sedar apa salah kau?"
Keningnya terjungkit ke atas apabila lelaki itu menggeleng. Kemudian dia mengangguk. Pedangnya dilempar ke tepi sebelum dia mencapai sebuah fon telinga lalu dipakaikan pada telinga lelaki itu. Suara audio yang bermain dinaikkan sehingga tahap maksimum.
"Nampaknya kau perlukan lebih banyak masa untuk bermuhasabah dalam tong ni. Selamat malam." Tong besi itu ditutup perlahan-lahan.
The Death Eater membuang pandangan ke sekeliling sebelum keluar dari situ.
ANDA SEDANG MEMBACA
THE DEATH EATER (C)
AksiyonKeluarga mati dibunuh ketika di usia remaja menjadikan dia seorang anggota tentera berpangkat kapten. Kapten Wang Zhen Wei, anak lelaki sulung bagi keluarga Wang yang dikenali sebagai sebuah keluarga yang sangat dihormati. Punca kematian ahli keluar...
