BAB 38

57 4 2
                                        

"Awak yakin?" Rafiq bertanya kepada Angela.

"Saya yakin."

"Hmm..." Cermin mata ditanggalkan lalu diletakkan di atas meja. Rafiq bersandar pada kerusi sambil menyilangkan tangan. Dia menghabiskan sedikit masa untuk mempertimbangkan keputusan Angela. Akhirnya dia mengangguk.

"Baiklah kalau macam itu. Saya terima."

"Terima kasih, Encik Rafiq." Angela menunduk sedikit kepada Rafiq sebelum kembali menyiapkan tugasannya di kaunter.

Sekejap dia masuk ke bilik. Sekejap dia ke dapur. Kemudian dia berlari kembali ke dalam bilik. Sewaktu melintasi ruang tamu untuk keluar, Rania memandang Angela yang sedang leka menonton televisyen. Rania mendongak untuk melihat jam pada dinding kemudian kembali melirik ke arah Angela.

Rania mencapai sepasang kasut di atas almari kasut dan duduk di muka pintu sebelum bersusah payah menyarungkan kasut. Akibat terlajak tidur, akhirnya dia terlewat untuk masuk kerja. Gayanya sudah seperti Usain Bolt. Sempat dia bertanya kepada Angela sambil mengikat tali kasut.

"Hoi, makcik. Kau tak kerja ke hari ni?"

"Aku dah berhenti kerja." Santai Angela menjawab.

"Oh... Apa?!"

Tangan Rania berhenti mengikat tali kasut. Tergesa-gesa dia kembali menanggalkan kasut dan berlari masuk ke dalam rumah.

"Kau biar betul?! Kenapa aku tak tahu pun?" Kuat suara Rania bergema seluruh ruang tamu. Angela menutup telinganya. Sakit gegendang telinganya mendengar jeritan Rania. Tertelan mikrofon masa kecil agaknya. Kalau malam hari, hantu nak kacau pun fikir dua kali. Silap hari, hantu yang lari apabila dengar si Rania menjerit.

"Kau tahu tak? Kalau hantu jumpa kau, dia pun keliru siapa hantu yang sebenarnya. Kau ke dia?"

"Apa pasal pula?"

"Kau punya suara lagi menyeramkan daripada hantu tu."

"Baik kau diam sebelum stoking ni masuk dalam mulut kau. Jawab soalan aku sekarang!"

Angela mengeluh. Penat apabila asyik disoal siasat.

"Baru saja aku berhenti. Hari tu aku dah hantar surat peletakan jawatan kepada Encik Rafiq." Angela menjawab dengan malas.

Rania mencekak pinggang. Muka sudah merah padam menahan amarah yang membuak-buak. Berasap telinganya mendengar jawapan Angela.

"Patutlah aku tengok kau santai betul dua tiga hari ni. Dekat kafe pun tak nampak muka kau. Aku ingat kau ambil cuti panjang."

Angela diam tidak menjawab malah dia mencapai Midnight lalu menggomol pipi si hitam itu dengan sedikit geram.

"Kenapa kau berhenti kerja? Kau dah jumpa kerja lain ke?"

"Taklah. Aku cuma tak mahu terserempak dengan Aqeel dan Zach lagi."

"Kenapa?"

Tangan Angela masih membelai lembut badan Midnight yang bulat itu. Si kucing tembam itu pula bukan main lagi menyuakan perut bulatnya kepada Angela untuk diusap. Berbeza saiz Midnight ketika dijumpai yang seperti ikan kering berbanding sekarang yang seperti ikan buntal.

"Aku dah tolak lamaran Aqeel."

Rania terkedu. Dia mahu bertanya lagi namun dia tidak mahu masuk campur lagi urusan mereka berdua.

THE DEATH EATER (C)Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang