BAB 44

58 4 0
                                        

Semua kelengkapan untuk misi diangkut. Hutan yang gelap-gelita menjadi laluan mereka untuk ke rumah agam yang usang itu.

"Kumpulan aku akan masuk dulu. Yang lain semuanya bersiap sedia dekat luar. Jangan sampai ada yang terkorban. Faham?"

Anggota yang lain mengangguk.

"Semua dah siap?" Zach bertanya.

"Sudah, tuan!"

Mereka mula berjalan mengikut rancangan yang telah ditetapkan. Sebelum memulakan operasi, Zach menepuk bahu Aqeel untuk memberi semangat. Bukan dia tidak nampak wajah Aqeel yang sedikit terganggu. Dia tahu bahawa Aqeel pergi berjumpa dengan Angela sebelum mereka menyertai misi kali ini. Namun, dia tidak boleh membiarkan Aqeel berada di dalam lamunannya.

"Aqeel. Fokus."

Mata tajam Aqeel merenung ketuanya dan mengangguk.

"Kapten, kau tak rasa pelik ke dengan misi kali ni?" Aqeel berbisik.

"Jangan percayakan sesiapa pun, faham?!" Keras Zach memberi arahan dengan suara yang tertahan. Arahan itu setiap kali dia ulang ketika menyertai mana-mana misi kepada anak-anak buahnya. Di medan perang, dia bukan sahaja sahabat mereka tetapi dia memikul tanggungjawab seorang ketua. Di sini, dia ialah Kapten Wang Zhen Wei. Bukan Zach.

Kini, mereka semua serius dan fokus. Beberapa kumpulan yang telah dikerah untuk menyertai misi itu sudah mengambil tempat masing-masing. Kumpulan Alpha mula memasuki rumah agam itu dengan senyap. Senyap tetapi tangkas. Diam seperti bayang hitam.

Kumpulan Alpha mula menggeledah rumah itu. Firasat Zach membawa dia ke arah pintu yang pernah dipecahkan olehnya. Pintu itu dibuka. Mata Zach membulat. Laluan itu tiada di situ sewaktu dia datang tempoh hari. Zach dan anak-anak buahnya masuk ke dalam laluan itu. Semuanya mengikut rancangan asal sebelum tiba-tiba pintu laluan yang mereka masuk tertutup dan terkunci dengan sendiri.

Rayden cuba membuka pintu itu namun gagal. Dia menggeleng ke arah Zach. Mereka meneruskan langkah sehingga penghujung laluan. Mereka kini berada di dalam sebuah gudang bawah tanah. Zach cuba menghubungi anggota lain yang berada di luar rumah agam itu namun gagal. Alat komunikasinya telah disekat oleh sesuatu yang berada di dalam gudang itu. Tiba-tiba mereka semua disapa oleh satu suara.

"Akhirnya! Kau orang semua datang juga ke taman permainan aku. Haih, bosan betul aku tunggu kau orang semua. Lembab!"

Kelima-lima orang anggota pasukan Alpha tercari-cari pemilik suara itu sebelum ada satu cahaya yang dipantulkan dari atas arah yang bertentangan. Zach memaksa matanya untuk mencelik. Dia mendongak ke atas dan terkejut dengan apa yang dilihat. The Death Eater sedang duduk di atas palang besi yang terletak di tingkat atas gudang itu.

Bersama-samanya terdapat dua bilah pedang yang digalas di belakang tubuhnya. Sebuah lampu suluh dinyalakan dan dipadamkan berkali-kali sambil dia tertawa sinis. Senjata yang ada di tangan anggota-anggota komando itu sudah bersiap-sedia untuk melepaskan tembakan sekiranya The Death Eater bertindak di luar kawalan.

The Death Eater yang berada di tingkat atas kini sudah berada di hadapan mereka.

"Jatuhkan senjata kau!" Keras suara Kapten Wang memberi arahan.

Tawa sinis diberikan oleh The Death Eater. Mata dipasak ke arah ketua pasukan itu. Langkah dibawa ke kerusi besi berwarna hitam yang terletak di tengah-tengah ruang itu. Duduk dilabuhkan lalu tangan naik menongkat dagu. Senyuman manis diberikan disebalik topeng muka itu persis seorang psikopat.

THE DEATH EATER (C)Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang