Nada dering telefon pintar Rania berulang kali berbunyi. Dia mula berdengus kuat melepaskan geram. Telefon pintar di atas meja dicapai kemudian direnung tajam skrin yang memaparkan nama pemanggil. Panggilan itu dibiarkan tanpa dijawab.
"Apa lagi yang kau nak ni, Izhar?"
Telefon pintarnya dicampak kuat. Nasib telefonnya mendarat di atas sofa yang lembut. Jika mendarat di atas lantai, menyesal seumur hidup. Tubuh direbahkan di atas sofa bersebelahan telefon pintarnya. Rania mengeluh dengan kuat.
Tidak lama selepas itu, kelihatan Angela yang berpakaian rapi berjalan keluar dari biliknya menuju ke ruang tamu. Mata Rania mengekori setiap pergerakan Angela. Keningnya bertaut rapat.
"Kau nak pergi mana pakai cantik macam ni?"
"Aku keluar dengan Aqeel sekejap hari ni."
Hampir terjojol mata Rania mendengar kenyataan itu. Angela? Keluar dengan Aqeel? Sejak bila pula mereka berdua terlalu rapat begini?
"Sejak bila kau rapat dan selesa dengan Aqeel?"
"Sejak kau pilih untuk tikam belakang aku dan membohongi aku."
Rania menjulingkan matanya. Angela masih lagi mengungkit kesalahannya menyimpan rahsia tentang kedatangan Izhar.
"Kau ni... Aku dah minta maaf kan? Aku dah tak layan dialah!"
"Okey."
Terlopong Rania dibuatnya. Okey sahaja jawapannya?
Diam membisu, kini Rania hanya melihat Angela yang berjalan ke pintu rumah sambil menyimpan dompetnya ke dalam beg tangannya. Tidak lama kemudian, kereta milik Aqeel sampai di hadapan rumah sewa mereka berdua. Sempat Aqeel menurunkan tingkap kereta dan melambai ke arah Rania.
Angela masuk ke bahagian tempat duduk penumpang dan memakai tali pinggang keledar sementara Aqeel masih berborak dengan Rania. Hmph! Kata Angela rapat dan selesa dengan Aqeel tapi bukan main rancak lagi perbualan Rania dengan Aqeel.
"Kunci rumah. Apa-apa telefon aku. Faham?"
"Baik, tuan!" Rania membuat tabik hormat sambil menghentak kaki ke lantai.
Aqeel melepaskan tawa yang kuat melihat gelagat Rania. Baru sahaja kereta mahu meluncur pergi, suara sumbang Rania menyapa telinga mereka berdua.
"Enjoy your date!"
Terbeliak biji mata Angela. Kepala Angela dijengulkan ke luar tingkap sebelum dia menjerit.
"Mana ada aku dating lah!"
Tingkap kembali ditutup dan wajah Angela sudah cemberut. Wajahnya sudah membahang. Aqeel yang sedang memandu melihat wajah berona merah Angela hanya diam sambil tertawa kecil. Comel pemilik hatinya ini apabila malu!
Kereta Aqeel dipandu sehinggalah mereka tiba di ibu kota. Setelah beberapa kali Aqeel cuba mengajak Angela untuk keluar bersama-samanya, akhirnya si gadis bersetuju setelah berapa lama tempoh perkenalan mereka.
Mereka berdua berjalan masuk ke dalam sebuah pusat beli-belah dan bersiar-siar sehingga berjam-jam lamanya tetapi tiada langsung barang yang dibeli. Hanya sekadar mencuci mata dan membuang masa.
"Angie..."
Angela mendongak dan memandang Aqeel yang berjalan seiring dengannya di sebelah kanan.
ANDA SEDANG MEMBACA
THE DEATH EATER (C)
AcciónKeluarga mati dibunuh ketika di usia remaja menjadikan dia seorang anggota tentera berpangkat kapten. Kapten Wang Zhen Wei, anak lelaki sulung bagi keluarga Wang yang dikenali sebagai sebuah keluarga yang sangat dihormati. Punca kematian ahli keluar...
