BAB 27

100 6 0
                                        

Kening bertaut rapat. Dahi berpeluh. Dada seperti dicengkam kuat menyebabkan diri kesukaran bernafas. Mata melirik pada tubuh sendiri. Badannya sedikit kecil seperti seorang remaja lelaki belasan tahun dengan baju sukan tersarung rapi. Pandangan di bawa tepat ke hadapan pintu rumah agam itu. Bola sepak berwarna hijau dan hitam terletak betul-betul di hadapan pintu.

Kaki dibawa mendekati bola itu sebelum pintu rumah itu terkuak luas akibat tiupan angin kencang yang tiba-tiba menyapa. Dirinya ditolak masuk ke dalam rumah agam itu bersama-sama bola sepak itu. Pandangan menjadi gelap gelita. Air mata mula mengalir deras kerana ketakutan. Bola sepak yang dilihatnya sebentar tadi mula bercahaya. Zach jatuh terduduk akibat terkejut.

Otak yang sudah dihujani rasa takut kini seperti berhenti berfungsi sepenuhnya. Kedua-dua mata ditonyoh berkali-kali. Dia tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Bola sepak itu bergerak sendiri kemudian berhenti. Bola itu bergerak lagi sebelum ia berhenti sekali lagi. Gerakan bola itu seakan-akan mahu Zach mengekorinya ke suatu tempat. Zach mengumpul kekuatan untuk bangun dan mula mengekori bola itu.

Lama mereka berpusing-pusing di dalam rumah agam yang seperti tiada penghujung itu sebelum mereka berhenti di hadapan sebuah bilik. Pintu bilik itu berwarna putih tetapi terdapat satu kesan pintu itu. Kelihatan seperti kesan kebakaran. Zach memegang tombol pintu itu sebelum dia cepat-cepat menarik kembali tangannya. Dia mengerang kesakitan. Terdapat kesan melecur pada tangannya. Tombol pintu itu panas.

Zach mengambil keputusan untuk menendang tombol pintu itu dan akhirnya pintu itu terbuka menampakkan sebuah katil bujang. Di atasnya terdapat seekor patung beruang dan juga sebuah bingkai gambar. Langkah dibawa mendekati katil itu sebelum dia melabuhkan duduk. Bingkai gambar itu dicapai dan direnung. Gambar keluarga Wang. Zach mengeluh. Bilik yang dihiasi gambar patung beruang pada dindingnya direnung dengan tatapan sayu.

"Gege!"

Mata terus terpasak pada seorang gadis kecil yang memakai gaun berwarna putih dengan rambut pendek. Si gadis kecil berlari ke arah Zach dengan laju lalu tubuh remaja lelaki itu dipeluk erat. Zach terkedu. Dia dapat merasakan bahawa tubuhnya sedang didakap erat seperti di alam realiti. Dia menunduk melihat si gadis cilik itu.

' "Weiwei..."

Si kecil itu hanya ketawa girang mendongak untuk melihat abangnya.

"Weiwei? Weiwei?"

"Hahaha!"

"Weiwei! Ini adik abang kan? Weiwei!"

"Yalah! Ini Weiweilah!"

Tawa terletus di bibir. Air mata mengalir deras tanpa dapat dia seka. Tidak. Dia tidak mahu menahan air mata itu. Tubuh melorot ke lantai sambil memeluk erat tubuh kecil Weiwei. Perkataan maaf berkali-kali meniti di bibir.

"Abang minta maaf... Abang minta maaf..."

"Kenapa abang minta maaf?"

"Abang minta maaf..."

Weiwei terus menolak kuat tubuh abangnya supaya menjauhi dirinya. Tangan kecil itu naik mencekak pinggang dengan bibir yang mencebik. Jari telunjuk dihala pada wajah Zach yang sudah dibasahi air mata.

"Haip! Berhenti menangis sekarang. Kalau abang tak berhenti menangis, Weiwei tak mahu berkawan dengan abang! Hmphh!"

Zach yang sedang teresak-esak cuba untuk mengawal tangisannya. Air mata diseka sedikit kasar. Tangisannya diselang-seli dengan tawa halus. Si adiknya pula sudah terjungkit kening memandang pelik pada abangnya. Sah! Abangnya sudah gila.

THE DEATH EATER (C)Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang