"Selamat petang, tuan!"
Zach membalas tabik hormat daripada seorang anggota yang berpangkat lebih rendah daripadanya. Pasukannya baru sahaja selesai latihan. Uniform yang disarungnya dicemari dengan lumpur dan kotoran. Sebaik sahaja selesai latihan sebentar tadi, anggota yang lain mengajaknya untuk makan bersama-sama namun Zach menolak. Ada perkara penting yang perlu dia selesaikan di luar kem. Dia perlu pergi ke sebuah tempat.
Masuk sahaja ke dalam bilik bujang, seragam terus ditanggalkan dan badan turut dibersihkan daripada segala kotoran sewaktu latihan. Seragam tadi diganti dengan kemeja putih dilengkapi dengan kot dan seluar slack hitam. Tidak lupa juga dia memakai tali leher dan menyemburkan minyak wangi pada tubuh. Rambut disisir rapi. Bau maskulin menambah aura seorang lelaki bernama Wang Zhen Wei.
Bauan minyak wangi itu dihidu sebelum dia tersenyum. Dia perlu berdandan supaya kelihatan kacak. Dia bakal berjumpa dengan insan yang sangat penting baginya. Kasut kulit hitam yang berkilat disarung lalu dia meninggalkan bilik bujang itu. Kereta dipandu meninggalkan kem. Destinasinya agak jauh dari tempat tinggalnya yang berdekatan dengan kem.
Beberapa jam memandu, kini dia tiba di destinasi. Sejambak bunga diambil dari tempat duduk penumpang dan dia berjalan mendekati insan istimewa itu. Setibanya di hadapan si kesayangan, Zach melutut sebelum jambangan bunga itu diletak di atas tempat istirahat sang pemilik hati.
"Mama... Papa... Abang datang ni."
Ya, tempat yang dituju oleh Zach adalah makam ibu bapanya. Hari ini adalah hari ulang tahun Weiwei. Setiap tahun setelah ibu bapanya pergi meninggalkannya, Zach akan datang ke makam mereka pada setiap hari ulang tahun. Ulang tahun mama. Papa. Dia juga datang pada hari ulang tahun Weiwei.
Zach akan sentiasa tersenyum ketika menziarahi makam ibu bapanya kecuali pada hari ulang tahun si adik. Tarikh ulang tahun Weiwei adalah sangat tragis dan perit baginya. Hari ini adalah hari di mana mereka menyambut kelahiran Weiwei ke dunia dan hari ini juga adalah hari di mana dia kehilangan Weiwei.
Tangan menari-nari di atas batu marmar di mana terukirnya nama mama dan papa Zach. Zach membersihkan dedaun kering yang gugur. Mulut mula berceloteh seumpama kedua-dua ibu bapanya ada di situ bersama-samanya.
"Mama dengan papa nak tahu sesuatu tak? Semalam kan, Weiwei datang dalam mimpi abang. Dia pakai gaun putih. Dia dah pandai marah Zach. Dia marah abang sebab menangis. Haha..."
Dada mula sebak namun dia masih cuba untuk terus senyum. Jari-jemari masih menari-nari di atas batu marmar makam ibu bapanya.
"Mama dengan papa tolong marah Weiwei. Berani dia biadab dengan abang?"
Kepala mendarat di atas batu marmar berwarna hitam itu. Suatu ketika dahulu, riba mamanya menjadi tempat dia melabuhkan kepala sambil mengadu domba. Kini, mimpi itu tidak lagi nyata. Air mata mula mengalir deras.
"Abang rindu mama dengan papa. Abang rindukan Weiwei. Kenapa semua orang pergi tinggalkan abang seorang diri? Abang cuba untuk kuat tapi abang tak mampu, mama. I need you guys here with me."
Di saat diri sedang melepaskan rindu kepada ahli keluarga yang sudah pergi, ada sepasang mata yang memerhati di sebalik pokok nun jauh di sana. Tidak lama sebelum dia beredar pergi. Tidak mahu kewujudannya di situ diketahui oleh jejaka yang sedang meratapi. Kehilangan insan yang tersayang sememangnya sukar untuk diterima. Dia memahami perasaan si jejaka. Dia turut kehilangan insan yang tersayang.
Melihat Zach yang sudah teresak-esak, kata-kata semangat hanya mampu diucapkan di dalam hati.
'Saya harap awak kuat.'
ANDA SEDANG MEMBACA
THE DEATH EATER (C)
ActieKeluarga mati dibunuh ketika di usia remaja menjadikan dia seorang anggota tentera berpangkat kapten. Kapten Wang Zhen Wei, anak lelaki sulung bagi keluarga Wang yang dikenali sebagai sebuah keluarga yang sangat dihormati. Punca kematian ahli keluar...
