Di sebuah gudang yang terletak di sempadan negara dengan negara jiran, suasana senyap sunyi. Hutan lebat mengelilingi kawasan gudang itu memudahkan musuh untuk menyembunyikan aktiviti terkutuk mereka. Di dalam sunyi malam yang gelap-gelita, satu cahaya menerangi dan bunyi enjin sedikit kuat menghampiri gudang itu. Beberapa orang lelaki tegap keluar daripada gudang untuk menyambut kenderaan itu. Senjata di tangan menghadap ke tanah.
Sebuah lori putih menghampiri gudang. Kemudian, dua orang lelaki berbadan sasa dan berwajah bengis membuka pintu lori dan mula menarik beberapa orang gadis dan kanak-kanak perempuan untuk keluar dari mulut lori itu. Teriakan daripada gadis-gadis itu memecah kesunyian malam di dalam hutan itu. Masing-masing meronta-ronta agar dilepaskan namun apakan daya mereka hendak melawan lelaki yang bersaiz dua kali ganda besarnya.
Beberapa orang gadis yang meronta-ronta akhirnya diangkat di atas bahu lalu dibawa masuk ke dalam gudang itu. Manakala, kanak-kanak perempuan kecil pula diheret dengan kolar baju. Tangisan semakin menjadi-jadi membuatkan telinga penjenayah itu seperti bernanah.
"Lepaslah! Aku nak balik! Kau orang nak bawa aku pergi mana?!"
"Kau diam sekarang! Kalau kau bising, nahas kau kena dengan aku! Jalan!"
Tubuh kecil itu ditolak masuk ke dalam gudang. Kedua-dua tangan diikat di belakang menyulitkan mereka untuk melepaskan diri. Tangan sudah rasa sakit akibat ikatan yang ketat itu. Tidak cukup dengan itu, mulut tebusan yang ada di dalam gudang itu ditutup pula dengan pita pelekat hitam. Air mata mengalir berterusan menahan ketakutan. Hati mula membaca doa agar mereka diselamatkan daripada sindiket pelacuran ini.
'Ibu... Ayah... Selamatkan kakak...'
Di saat dia menangis tersedu-sedan, seorang lagi lelaki sasa melutut di hadapannya. Mata merah itu merenung wajah yang sedang tersenyum sinis kepadanya. Lengan besar lelaki itu dipenuhi tatu dan di pergelangan tangannya memakai seutas gelang perak. Tanpa amaran, tangan lelaki itu naik mencengkam dagu gadis itu.
"Cantik juga kau ni kan? Ruginya sebab lepas ni kau akan jadi hamba abdi selamanya."
Sedaya upaya dia cuba mengalihkan wajah daripada genggaman lelaki itu namun gagal. Kudratnya tidak dapat melawan lelaki itu. Tambahan pula, tenaganya sudah habis digunakan untuk menangis sejak 2 hari lepas sewaktu dia diculik oleh sekumpulan orang yang tidak dikenali ketika dia berjalan pulang dari pusat tuisyen.
Lelaki itu mengusap air mata yang mengalir di pipi mulus gadis itu. Tubuh gadis itu menggigil hebat. Dia jijik. Dia takut.
Di sebalik hutan tebal itu, pasukan komando negara sudah bersiap sedia untuk menjatuhkan musuh negara. Sindiket pelacuran ini sudah lama menjadi target mereka namun masih ada antara mereka yang ligat menjalan aktiviti haram itu.
"Tebusan ada 15 orang. Bravo ikut Shark. Alpha ikut aku. Gerak!"
Pasukan Bravo bersama-sama Aiman menuju ke belakang gudang. Langkah pantas namun senyap seperti hantu. Senyap tapi tangkas. Setiap anggota mengambil tempat masing-masing. Zach selaku ketua memberi isyarat supaya mereka bergerak.
Penembak hendap menyasarkan senapangnya ke arah seorang individu di atas menara kawalan. Tembakan dilepaskan kena tepat pada sasaran. Seorang musuh sudah tumpas.
"Helang, take high point. Tunggu isyarat daripada aku." Zach memberi arahan kepada Rayden.
"Copy that."
Rayden bergerak ke posisi. Pasukan Alpha bergerak ke tepi dinding gudang. Dari atas menara kawalan, Rayden memberi isyarat.
"2 targets are approaching. 6 o'clock."
Aqeel berpaling ke belakang. Senapang digenggam erat bersedia melancarkan peluru. Sebaik sahaja musuh berada dekat, beberapa das tembakan dilepaskan sebelum mereka rebah ke tanah.
Dua das tembakan turut dilepaskan oleh Rayden ke arah beberapa orang lagi musuh yang mengawal pintu masuk gudang. Ricky memberi isyarat kepada Zach. Dua orang musuh mengawal di belakang tebusan-tebusan. 2 lagi di hadapan. Senapang Zach dan Ricky dihala ke dinding gudang yang merupakan besi zink. Ketika musuh-musuh berada di garisan selari, Zach dan Ricky menembak serentak. Pintu masuk gudang terus diserbu oleh pasukan Bravo.
"Kneel down! Kneel down! Kneel down!" Aiman memberi arahan supaya beberapa musuh lagi untuk menjatuhkan senjata dan menyerahkan diri.
Masing-masing menjatuhkan senjata ke lantai sebelum meniarap di atas lantai. Pasukan Alpha pula mendekati semua tebusan yang ada. Ricky mula mengira tebusan yang ada.
"Tebusan cukup 15 orang, tuan."
"Get them out of here."
"Baik, tuan."
Tepat pukul 12.01 malam, operasi mereka berjaya diselesaikan. Mereka mula pulang ke pangkalan di mana mereka bertapak untuk beberapa hari yang lepas. Semua anggota sudah mula meninggalkan kawasan itu.
"Great job, sir." Rayden menepuk bahu Zach diikuti dengan Ricky, Aiman, dan Aqeel.
Zach hanya tersenyum kecil. Sewaktu dia berjalan, dia terdengar bunyi daun-daun kering seperti disepak. Langkah terus terhenti. Entah mengapa bulu romanya mula merinding. Pandangan dipasakkan ke kawasan sekeliling. Senapang ditangan mula berada di posisi sekiranya mereka diserang hendap.
Pandangannya berhenti di sebalik sebuah pohon besar. Dengan mata kasarnya, terlihat seperti ada sosok yang sedang memerhati. Tiba-tiba bahunya ditepuk kuat. Jantung Zach seperti direnggut. Dia berpaling ke belakang. Kelihatan Aqeel yang sedang terpinga-pinga melihatnya. Kening sahabatnya itu berkerut.
"Kau tengok apa?"
Tidak menjawab soalan Aqeel, Zach kembali memandang pohon itu. Tiada orang di situ. Nafas dalam ditarik dan dihela perlahan. Senjata kembali dijatuhkan ke bawah. Kemudian, dia menggeleng kepada Aqeel.
"Tak ada apa. Jom, gerak."
Tanpa berlengah lagi, mereka kembali ke pangkalan. Sebaik sahaja tiba di sana, Zach terus masuk ke khemahnya. Topeng muka dicabut. Uniform turut ditanggalkan lalu digantikan dengan sehelai kemeja T berlengan pendek. Duduk dilabuhkan di atas kerusi. Rambut diraup agak kasar. Telinganya juga digosok berkali-kali dengan tangan.
Kedua-dua tangan digenggam kuat. Kaki tidak dapat duduk dengan diam. Rasa resah masih menjeguk hati. Entah mengapa situasi sebentar tadi masih terngiang-ngiang di mindanya. Dia cuba meyakinkan diri.
"He's dead. Tadi tu mungkin imaginasi aku saja. Stop thinking about it, Zach!"
"Kapten!"
Terdongak wajah Zach ketika ada suara garau yang memanggil. Terpampang wajah Ricky di pintu khemah yang terbuka. Senyuman diberikan kepada Zach.
"Jom makan sekali, tuan."
"Kau orang pergi dulu. Kejap lagi aku datang. Tinggal sikit untuk aku! Jangan telan semua!"
"Hahaha! Baik tuan cepat. Masing-masing dah macam singa kebuluran dah tu."
Ricky berjalan meninggalkan khemah ketuanya menuju ke arah mereka yang sedang duduk di dalam bulatan mengelilingi api. Zach memejamkan mata lalu nafas ditarik dan dihela beberapa kali. Tangan menepuk paha sedikit kuat sebelum dia bingkas bangun dan keluar daripada khemah. Betul kata Ricky, kesemua anak buahnya sedang makan dengan gelojoh seperti kebulur berhari-hari lamanya.
ANDA SEDANG MEMBACA
THE DEATH EATER (C)
ActionKeluarga mati dibunuh ketika di usia remaja menjadikan dia seorang anggota tentera berpangkat kapten. Kapten Wang Zhen Wei, anak lelaki sulung bagi keluarga Wang yang dikenali sebagai sebuah keluarga yang sangat dihormati. Punca kematian ahli keluar...
