Sudah dua minggu Angela dan Aqeel tidak bertegur sapa sehingga menimbulkan rasa gelisah di dalam hati Rania dan Zach. Tiga hari selepas kisah lamaran Aqeel kepada Angela, Zach dan Aqeel perlu menyertai satu misi. Sebelum mereka bergerak, sempat satu pesanan teks dihantar oleh mereka berdua kepada Angela.
"Saya tak dapat nak hubungi awak untuk beberapa hari. Jaga diri, nanti saya balik." Pesanan teks daripada Aqeel diterima sebelum dia menerima satu lagi daripada Zach.
"Jangan risau. Saya akan jaga Aqeel untuk awak."
Angela duduk di meja sambil merenung skrin telefon pintarnya. Bibir mencebik sambil menggumam seorang diri.
"Awak kata beberapa hari saja. Tapi hari dah masuk dua minggu awak tak hubungi saya. Awak selamat ke tak? Sihat ke tak? Awak penipu."
Telefon pintar dilempar ke tepi dan kepala mendarat di atas meja. Pandangan dilempar ke luar kafe. Rania yang baru sahaja keluar daripada dapur mula berjalan mendekati Angela. Dia tahu benar apa yang bermain di dalam fikiran Angela.
"Itulah... Masa si Encik Salam tu ada, kau jual mahal. Bila dia dah tak ada depan mata, baru mula nak rindu." Sindiran diberikan sebelum dia duduk di kerusi berhadapan dengan Angela.
Angela mengangkat muka dan menjeling geram.
"Kau ni kan. Ada juga mulut yang kena sumbat dengan kasut saiz enam."
"Kau risau pasal dia ke?"
Angela hanya menjeling dan kembali menekup wajahnya dengan lengan di atas meja. Rania tersenyum sinis melihat ego sahabatnya. Sambil tangan mula membuka bekas makanan yang dibawa dari rumah, Rania menyampaikan satu mesej daripada Zach.
"Aqeel cedera. Zach bagitahu aku."
Kepala Angela terus terangkat dan kedua-dua mata mula menjadi bulat. Rania tahu keadaan dua orang makhluk itu tetapi dia tidak tahu apa-apa? Ini tidak adil!
"Macam mana kau boleh berhubung dengan Zach?"
"Mereka dah balik daripada misi beberapa hari yang lepas."
"Aqeel cedera? Teruk ke? Parah ke? Dia dah nazak ke?"
Rania terkedu. Ada ke patut sampai ke situnya Angela fikir? Baru sahaja Rania mahu bercerita namun idea nakal singgah di fikiran untuk mengenakan Angela. Senyuman berusaha disorokkan. Sakit perut Rania ingin menahan tawanya. Wajahnya berpura-pura seperti kesedihan. Angela hanya diam menanti jawapan. Kedua-dua tangan sudah mencengkam erat baju kemejanya.
"Zach bagitahu masa tu, teruk jugalah. Aqeel sampai tak boleh berjalan. Hari ni dia keluar hospital kalau tak silap. Eh, kenapa aku bagitahu kau? Kau kan tak kisah pasal dia."
"Bagitahulah aku lagi, dia dekat mana sekarang Rania?"
"Entahlah. Kalau aku tahu pun, aku tak mahu bagitahu kau."
"Okey, tak apa. Aku telefon Zach."
Angela terus bangun dan mencapai baju sejuknya. Dia berjalan dengan laju menuju ke pintu keluar sebelum dia memberhentikan kakinya secara mengejut. Hampir sahaja dia merempuh tubuh tegap seorang lelaki yang membuka pintu. Angela mendongak untuk melihat wajah lelaki itu. Baju sejuk yang dipegang terus jatuh ke atas lantai.
"Awak okey tak ni, Angela? Kenapa macam cemas sangat ni?"
"Aqeel!"
Terloncat sedikit Aqeel apabila diterjah seperti itu. Zach pula sudah tersenyum sinis di sebelah Aqeel. Kemudian. Zach berbalas pandangan dengan Rania sambil mengeyitkan mata. Rania pula membuat tabik hormat kepada Zach. Akhirnya, rancangan mereka berdua berjaya.
Betapa susahnya Zach mahu memujuk Aqeel supaya berjumpa dengan Angela namun Aqeel menolak kerana dia tidak mahu Angela berasa susah hati melihat luka-luka pada wajahnya dengan tangan yang berbalut simen. Rania pula sengaja menambah perisa di atas kerisauan Angela.
"Awak okey tak ni, Aqeel? Rania kata awak cedera parah. Dia kata awak dah nazak! Tapi-" Ayat Angela terputus di situ setelah dia melihat kondisi Aqeel yang elok sahaja berdiri di hadapannya.
Terbuntang mata Aqeel mendengar kenyataan Angela. Bila masa dia sudah dalam perjalanan ke alam lain? Sejak bila pula dia sudah nazak? Elok sahaja dia berdiri di hadapan Angela sekarang. Pelbagai soalan timbul di benak fikiran Aqeel sebelum semuanya mati apabila dia mendengar tawa besar milik Zach dan Rania.
Wajah kerisauan Aqeel diganti dengan jelingan tajam yang diberikan kepada dua orang manusia yang sakan mentertawakan Angela dan dirinya. Tangan kanan yang tidak berbalut itu naik dan mula menarik telinga Zach. Zach menjerit kesakitan dengan sisa tawa yang masih berbaki. Jari telunjuk mengusap air mata yang keluar kerana ketawa terlalu kuat.
"Kau orang berdua ni kan! Aku dah cakap jangan bagi dia susah hati kan?!"
Angela sudah terduduk di lantai sambil menekup wajah yang merah. Begitu naifnya dia kerana diperbodohkan oleh Rania dan Zach. Punyalah dia ingat Aqeel sudah tiada masa tetapi sebaliknya lelaki itu sedang berdiri elok di hadapannya. Argh! Malu tujuh keturunan Aqeel diberikan kepadanya pula.
Aqeel yang melihat Angela sedang terduduk di atas lantai melepaskan telinga Zach sebelum dia menolak tubuh lelaki itu supaya menjauhi dirinya. Zach mengusap telinganya yang sudah merah sambil mendekati Rania yang masih lagi tertawa. Zach mencebik lalu ditunjukkan telinganya kepada Rania.
"Awak... Tengok ni Aqeel buat. Sakit..."
"Habis tu, awak nak suruh saya buat apa?"
"Tiupkan... Bagi rasa sakit tu hilang."
"Kalau saya, saya tak tolong tiupkan. Saya bagi awak makan penampar terus. Biar sama-sama berbalut. Aqeel berbalut tangan, awak pula berbalut satu muka." Sindir Rania.
Makin panjang muncung Zach membuatkan Rania semakin kuat tertawa.
Aqeel merendahkan tubuh dan duduk bertinggung di hadapan Angela. Senyuman kecil terbit di bibir melihat Angela. Rindunya dia kepada Angela. Kepala Angela yang bersarung topi hitam itu dicuit perlahan.
"Tok. Tok. Ada orang tak?" Lembut suara Aqeel menyapa gegendang telinga.
"Tak ada." Angela menggumam perlahan mengundang tawa halus daripada Aqeel.
"Bangun, Angela. Kotor awak duduk dekat bawah ni."
Perlahan-lahan Aqeel bangun sambil menarik lengan baju Angela untuk gadis itu turut bersama-sama bangun. Sempat Aqeel dan Angela menjeling tajam ke arah dua orang manusia itu sewaktu berjalan melintasi meja mereka.
"Duduk sini, Angela."
Bagai lembu dicucuk hidung, Angela duduk di kerusi sebelum Aqeel turut melabuhkan duduk di kerusi bertentangan dengan Angela. Aqeel menyandarkan tubuh pada kerusi sambil masih merenung Angela yang terus menunduk. Jari telunjuk mengetuk meja untuk menarik perhatian si gadis. Perlahan-lahan Angela mengangkat wajahnya memandang Aqeel.
"Miss me, young lady?"
"Kalau awak pun nak kenakan saya, tak payahlah cakap dengan saya."
Baru sahaja Angela mahu bangun daripada kerusi, suara serius Aqeel terus menghentikan perbuatannya.
"Duduk, Angela." Tegas dan serius suara Aqeel. Itu bukan suara Aqeel tetapi milik Leftenan Aqeel Raihan.
Mahu tidak mahu, Angela kembali duduk dengan wajah yang sedikit muram.
ANDA SEDANG MEMBACA
THE DEATH EATER (C)
AçãoKeluarga mati dibunuh ketika di usia remaja menjadikan dia seorang anggota tentera berpangkat kapten. Kapten Wang Zhen Wei, anak lelaki sulung bagi keluarga Wang yang dikenali sebagai sebuah keluarga yang sangat dihormati. Punca kematian ahli keluar...
