BAB 35

81 5 3
                                        

Tuala kecil yang digunakan untuk mengeringkan rambutnya basah dibiarkan sahaja di atas kepala. Kepala yang berat disandarkan pada kepala katil. Memori siang tadi berlegar-legar di dalam minda membuatkan Angela mengeluh. Mata redup itu melirik ke arah jambangan bunga yang terletak di atas meja kecil di tepi katil. Jambangan bunga itu dicapai lalu dicium haruman bunga ros itu. Sekali lagi dia mengeluh kuat. Masuk kali ini entah berapa kali sudah dia mengeluh.

"Orang tua cakap tak elok mengeluh macam tu. Kau dah kenapa ni?"

"Orang tua tu kau ke?"

"Aku tampar kau kejap lagi. Bagitahulah aku. Kenapa kau mengeluh teruk sangat?"

Rania menghampiri katil Angela dan melabuhkan duduk di birai katil. Midnight turut mengekori langkah Rania dan memanjat katil Angela. Si kecil berwarna hitam yang mereka selamatkan dahulu kini sudah besar dan sihat. Angela menggapai Midnight lalu dibawa ke dalam dukungannya. Kepala si tembam itu diusap dengan penuh kasih sayang.

Rania masih setia menunggu kata-kata untuk keluar daripada mulut Angela. Setelah diam membisu, Angela mula menyusun ayat sambil bermain-main dengan tangan Midnight.

"Aqeel..."

"Kenapa dengan Aqeel? Kau orang berdua bergaduh ke? Baru siang tadi elok."

"Kau dengan Aqeel sama saja kan? Suka potong ayat orang. Patutlah Zach selalu marah kau orang berdua!" Suara keluar dari celahan gigi yang diketap rapat.

Rania mencebik sambil menggaru kepala yang tidak gatal.

"Haih... Aqeel. Dia melamar aku siang tadi."

Rania mengangguk.

"Oh... Dia melamar kau. Ingatkan apalah tadi. Dia- Dia melamar kau?!"

Suara nyaring Rania membuatkan Midnight melarikan diri keluar dari bilik itu. Bukan setakat Midnight tetapi Angela turut kaget dengan suara nyaring milik Rania. Tangan naik mengurut dada. Nasib jantungnya tidak luruh.

"Ya."

"Kau terima tak?"

Melihat Angela yang diam merenung jambangan bunga di tangan, Rania sudah tahu jawapan si gadis.

"Angela... Aku nak tanya boleh?"

"Tanya sajalah. Sejak bila kau pandai minta izin pula ni?"

Rania mengerutkan hidungnya sebelum bertanya. Sudah lama dia mahu bertanyakan soalan ini kepada Angela.

"Kenapa kau tak mahu terima Aqeel?"

"Aku tak cakap pun yang aku tak terima. Aku tak buat keputusan pun lagi."

"Come on, Angela. Daripada riak muka kau pun aku dah tahu yang kau akan tolak lamaran dia."

Air mata mula bergenang di tubir mata Angela. Dia menggeleng lemah.

"Aku tak boleh terima dia."

"Kenapa? Sepanjang kita berempat berkenalan, aku rasa dia bukan seorang lelaki yang tak baik. Dia layan kau dengan baik, Angela. Susah sangat ke untuk kau buka pintu hati kau tu untuk dia?"

"Aku... Aku tak boleh, Rania. Aku pun nak sangat terima dia tapi aku tak boleh."

Bahu Rania jatuh. Mulut terlopong. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja Rania mencekik leher Angela. Geram betul!

THE DEATH EATER (C)Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang