Pintu rumah Zach dibuka perlahan. The Death Eater tahu bahawa Zach tiada di rumahnya. Dia berjalan ke arah kabinet televisyen yang berada di ruang tamu. Loket berbentuk hati dikeluarkan daripada poket seluarnya lalu diletakkan di sebelah patung figura Ultraman. Senyuman sinis terukir apabila dia melihat kamera pengintip mikro yang diletakkan pada jantung patung figura itu masih berkelip lampu merahnya.
Setelah beberapa lamanya, Zach masih belum sedar akan kehadiran kamera pengintip itu. Mungkin kerana Zach jarang berada di rumah dan banyak menghabiskan masa di kem. Kaki yang masih berkasut itu berjalan ke dalam bilik tidur Zach sehingga dia berhenti di sebelah katil. Telefon bimbit pakai buang ditinggalkan di atas meja kecil bersebelahan dengan katil.
Sudah berpuas hati, dia meninggalkan rumah Zach. Jejaknya sengaja ditinggalkan supaya Zach sedar dengan kehadirannya di rumah itu. Rancangannya berjaya apabila Zach pulang pada keesokan paginya. Masuk sahaja ke dalam bilik tidurnya, tubuhnya terus direbahkan di atas katil. Badan terasa sengal akibat latihan yang padat.
Tangan kanan naik menutup mata. Kening lebatnya berkerut. Mata cuba dilelapkan namun gagal kerana pancaran matahari yang menyuluh daripada tingkap bilik tidurnya. Mata yang berat dipaksa untuk mencelik sambil keluhan berat dihela. Perlahan-lahan jam tangannya ditanggalkan dan diletakkan di atas meja kecil itu. Mata Zach mengecil melihat telefon bimbit yang terletak di atas meja itu.
'Telefon siapa pula ni?' Getus hatinya.
Telefon bimbit itu dicapai dan dibelek. Hampir tercampak telefon itu dek terkejut apabila ia tiba-tiba berdering. Teragak-agak dia menjawab panggilan itu.
"Selamat pagi, tuan komando!" Suara garau The Death Eater menyapa.
Wajah Zach menjadi serius. Dia kenal dengan suara itu.
"The Death Eater?" Zach bertanya.
Terdengar tawa sinis di sebalik talian itu.
"Kau kenal aku rupanya? Famous juga aku ni kan?"
Kata hati Zach benar. Lelaki yang mereka cekup pada hari itu bukanlah The Death Eater yang sebenar. Dia tahu bahawa psikopat itu masih hidup.
"Kau nak apa? Kau... Masuk rumah aku? Macam mana kau tahu rumah aku?!"
"Cuba kau tengok dekat ruang tamu. Aku ada tinggalkan hadiah untuk kau."
Zach terus bangun daripada katil menuju ke ruang tamu. Dibelek setiap penjuru dengan degupan jantung yang semakin laju. Deruan nafasnya tidak stabil. Mata meliar sehingga dia melihat loket berbentuk hati yang berada di atas kabinet. Tangan mencapai loket itu dengan laju.
"Kau?!"
"Kenal loket tu? Petunjuk dah ada depan mata pun masih lambat lagi otak kau nak berfungsi."
Ingatan Zach masih kuat kerana baru sahaja beberapa hari dia pergi ke rumah agam yang usang itu.
"Macam mana kau dapat loket ni? Kau ekori aku?"
"Hmm... Aku tak sangka komando macam kau boleh lembab sampai macam ni."
Sekali lagi tawa sinisnya menyapa gegendang telinga Zach. Wajahnya sudah mula berubah kemerahan menahan amarah.
"Merah betul muka kau bila kau marah. Hahaha. Tak payahlah serius sangat."
Mata Zach membutang. Macam mana lelaki itu boleh tahu keadaan dia sekarang? Mengikut firasatnya, Zach merenung ke arah patung figuranya. Kelihatan lampu merah berkelip. Kini dia sedar bahawa dia sedang diperhatikan.
Patung figura itu dicapai lalu dihempas kuat ke atas lantai.
"Kau!"
"Baik kau balik ke kem sekarang. Kejap lagi kau akan terima panggilan daripada Mejar Razi."
Sebaik sahaja panggilan itu dimatikan. Telefon pintar Zach pula berdering.
"Tuan?"
"Datang ke sini sekarang." Tegas Mejar Razi memberi arahan.
Tergesa-gesa Zach keluar meninggalkan rumah. Setibanya di kem, kesemua anak buahnya sudah berada di bilik mesyuarat bersama-sama Mejar Razi. Tanpa sebarang kata, Mejar Razi memainkan sebuah rakaman baru yang dihantar oleh The Death Eater.
Kamera dihala ke sebuah tong besi. Penutupnya dibuka memperlihatkan seorang lelaki muda yang diikat kaki dan tangannya. Wajahnya ditutup dengan kain hitam. Kemudian kamera itu dihalakan semula ke wajah The Death Eater.
"Sebelum aku seksa lebih ramai, lebih baik kau orang cepat bertindak. Aku tunggu kau orang semua dekat sini."
Sebaik sahaja rakaman itu tamat, Zach terus memberitahu insiden di rumahnya kepada Mejar Razi.
"Tuan. Lelaki tu dah lama perhatikan kita. Perhatikan saya. Dia tahu gerak geri kita."
"Maksud kamu?"
"The Death Eater pasang kamera pengintip dekat rumah saya. Tadi dia ada telefon saya. Saya rasa saya tahu dia bersembunyi dekat mana."
Aqeel dan anak-anak buah Zach yang lain berbagi pandangan antara satu sama lain. Tidak membuang masa, mereka semua mula memikirkan langkah-langkah untuk menjatuhkan The Death Eater.
Semakin hari semakin banyak kes orang yang hilang tanpa jejak. Berita itu kembali menggemparkan semua orang. Perasaan takut kembali menghantui Rania dan Angela. Izhar sudah kembali ke negeri abadi namun ada individu lain yang masih menghantui. Berita pada malam itu menyiarkan tentang kes penculikan beramai-ramai baru-baru ini di ibu kota.
"Rania. Aku rasa tak selamatlah. Kita balik duduk dengan ibu nak tak?"
"Apa bezanya kalau kita duduk sendiri? Masih juga bahaya untuk kita keluar."
"Sekurang-kurangnya dekat sana ada adik-adik kau. Kita dekat sini perempuan dua orang saja."
Rania mengeluh.
"Yalah. Aku pergi kemas barang dulu."
Angela terpinga-pinga.
"Kau nak balik sekarang ke? Kerja kau macam mana?"
"Oh, kau tak tahu lagi eh? Aku dah berhenti kerja."
Haa, sudah. Memang mahu berkempen berhenti kerja beramai-ramai ke macam mana?
"Asal pula kau nak berhenti kerja?"
"Dah kau berhenti. Aku pun berhentilah."
"Eh, makcik! Keluarga kau siapa nak sara? Bil hospital mak kau macam mana?"
Rania mempercepatkan langkah masuk ke dalam bilik. Dari ruang tamu, Angela menjerit.
"Hoi! Kau dengar ke tak ni?"
"Ish! Aku dengarlah. Kau tak payah risaulah. Minggu depan aku nak cari kerja baru."
Angela menarik nafas dalam. Mata terpejam rapat menahan geram. Boleh tahan tidak cerdik juga kawannya itu.
Malas hendak berbalah, Angela turut mengemas pakaiannya sebelum mereka berdua bertolak ke rumah ibu Rania. Sepanjang perjalanan, masing-masing memikirkan idea untuk menjawab sebarang pertanyaan yang bakal ditujukan kepada mereka berdua. Entah apa yang mahu digoreng sekiranya ada soalan cepumas daripada ibu.
Telinga bersiap sedia menerima bebelan panjang daripada ibu. Mental dikuatkan dan fizikal juga bersiap sedia untuk berlari sekiranya batang penyapu terbang ke arah mereka berdua.
Sekiranya hanya Angela seorang sahaja yang berhenti kerja, potensi mereka dibebel sangat rendah. Tetapi kalau sudah sampai kedua-duanya berhenti kerja, memang menempah mautlah jawabnya. Angela yang memandu kereta berasa seperti ingin menghantukkan kepalanya di stereng.
'Oh, Tuhan. Selamatkan kami berdua.' Getus dua buah hati mereka.
ANDA SEDANG MEMBACA
THE DEATH EATER (C)
AksiKeluarga mati dibunuh ketika di usia remaja menjadikan dia seorang anggota tentera berpangkat kapten. Kapten Wang Zhen Wei, anak lelaki sulung bagi keluarga Wang yang dikenali sebagai sebuah keluarga yang sangat dihormati. Punca kematian ahli keluar...
