"Siapa kau yang sebenarnya?"
"The Death Eater."
"Siapa kau ni sebenarnya?!"
"Aku dah cakap yang aku ni The Death Eater! Apa lagi yang kau orang tak faham?!"
Perasaan sebal menyelebungi hati semua orang di dalam bilik soal siasat itu. Suasana menjadi tegang. Seorang lelaki dengan rambut sedikit panjang yang menutup sepasang mata hazelnya. Wajah lelaki itu bengis seperti harimau kelaparan. Lelaki ini ditumpaskan oleh Zach dan Aqeel di dalam kejadian tembak-menembak di kedai buku semalam.
Zach dan Aqeel terus bergegas mendapatkan Rania dan Angela setelah menyerahkan lelaki itu kepada pihak polis untuk meneruskan siasatan. Sepanjang mereka menunggu pihak polis untuk tiba di tempat kejadian, satu nama kerap kali meniti di bibir lelaki itu. The Death Eater. Sesekali dia ketawa seorang diri. Mengilai dan mengamuk. Kemudian wajahnya akan kembali mendatar. Lelaki itu mengaku dirinya sebagai The Death Eater, musuh yang sedang diburu oleh kumpulan Zach dan Aqeel. Soalan demi soalan ditanya kepada lelaki itu sepanjang sesi soal siasat namun dia hanya ketawa sambil mengatakan bahawa dialah The Death Eater.
Kini, Zach dan Aqeel berkumpul bersama-sama anggota-anggota kumpulan Alpha di bilik Mejar Razi. Masing-masing bingung dengan tindakan musuh yang dengan rela hati datang menyerah diri. Apakah motifnya berbuat demikian? Adakah memang benar dia datang menyerah diri atau ada rancangannya yang masih tidak dapat diketahui?
"Dia dah serah diri, tuan. Tapi, saya masih rasa tak sedap hati. Tak akanlah penjenayah yang hebat macam dia datang serah diri dengan rela hati?" Zach bersuara.
Keluhan kuat dilepaskan oleh Mejar Razi. Kepalanya terasa seperti dihempap dengan batu yang besar. Memang benar pihak musuh sudah menyerahkan diri tetapi apa motifnya dia berbuat sebegitu? Tiada informasi lain yang dapat mereka kumpul daripada soal siasat tempoh hari. Laporan kesihatan menyatakan bahawa lelaki itu waras. Mahu tidak mahu, mereka perlu mengerah lelaki itu supaya memberitahu keberadaan mangsa-mangsa yang diculik.
"Lelaki tu waras masa dia lakukan jenayah tu cuma dia khayal." Mejar Razi menjelaskan maklumat yang dia dapat daripada pasukan PDRM.
"Khayal?" soal Ricky.
Kesemua anggota terpinga-pinga. Mejar Razi menyandarkan badannya ke kerusi sambil memejamkan matanya sebentar.
"Kesan bahan kimia disyaki daripada dadah yang sama dalam kes sebelum ni. Dadah yang digunakan untuk bunuh Haris. Cuma, dos dadah dalam badan Haris lebih berbanding dalam badan lelaki ni."
"Jadi... Memang betullah lelaki tu The Death Eater, tuan?" Rayden bertanya ingin memastikan apa yang didengari adalah benar.
Mejar Razi hanya mengangguk.
"Setakat maklumat yang kita dapat sekarang, semua bukti menuju ke arah dia. Tetapi yang memeningkan semua orang sekarang ni... Kita tak dapat maklumat pasal diri lelaki ni. Kemungkinan besar dia bukan rakyat negara ni..."
"Aduh! Kepala aku pening! Macam tengah main teka-teki yang tak ada jalan penyelesaian..." Aiman memegang kepalanya.
Sempat dia dihadiahkan jelingan maut oleh Mejar Razi. Masa orang tengah serius boleh pula dia buat lawak hambar. Aiman terbatuk-batuk sedikit sebelum kembali serius. Mahunya Mejar Razi suruh dia tekan tubi di dalam bilik ini.
"Siasatan masih berjalan... Pasukan mereka akan usaha untuk kumpul maklumat mangsa-mangsa yang hilang. Kita tunggu arahan. Dapat arahan terus gerak. Okey, boleh bersurai. Nyah kau orang dari bilik aku!" Mejar Razi terus menghalau mereka semua. Pening kepalanya mahu melayan perangai anak-anak buahnya itu. Ada juga rupanya yang otak senget seperti Aqeel. Perangai Aqeel sudah diturunkan pula ke anak buahnya si Aiman itu.
Tabik hormat diberikan kepada Mejar Razi sebelum masing-masing keluar daripada bilik itu. Tawa disimpan rapi di dalam hati sehingga mereka keluar. Mereka bergerak pula ke bilik tempat mereka dan menyambung perbincangan mereka di situ.
"Tuan... Masa Tuan dengan Tuan Aqeel cekup lelaki tu, tak ada apa-apa yang pelik ke?" soal Rayden dengan nada serius.
"Macam yang Mejar Razi bagitahu tadi... Tak ada apa-apa yang pelik kecuali dia asyik meracau-racau kata dialah The Death Eater tu." Zach membalas sambil mengemaskan lipatan uniform tenteranya.
"Herm... Tak mencabar langsung. Kita punyalah bersedia nak tumpaskan dia... Tiba-tiba dia datang serah diri macam itu aje..."
Bunyi ketukan kuat kedengaran menarik perhatian semua anggota. Mereka terdiam sebelum ketawa lepas melihat wajah mencuka Aiman yang diketuk kepalanya oleh Aqeel.
"Kau tu mulut jangan celupar boleh? Buatnya mulut kau tu masin macam air laut, Tuhan bagi cash. Kau nak mencabar sangat kan? Masa tu baru kau merengek-rengek macam budak-budak tak suka bila ada misi." Panjang lebar Aqeel membebel.
Aiman memandang Aqeel sambil mengusap kepalanya yang masih sakit dengan bibir yang mencebik. Baguslah itu apabila dua orang ini bergabung. Zach hanya menggelengkan kepala.
'Dah ada klon Aqeel pula sekarang ni. Bertambah pulalah masalah aku.'
Tiba-tiba fikiran Zach melayang kepada Rania. Setelah kejadian di kedai buku itu, Rania teruk menggigil ketakutan. Hati jatuh kasihan kepada gadis itu. Rania terlihat sahaja seperti gadis yang berani namun dia juga tidak lepas daripada rasa takut. Telefon pintar dicapai lalu dia melangkah keluar daripada bilik itu.
Aqeel mendongak melihat Zach yang bangun daripada katil menuju ke pintu keluar. Dia memanggil Zach sambil matanya mengekori langkah sahabatnya itu.
"Hoi! Kau nak pergi mana tu?"
"Diamlah! Sibuk saja nak tahu."
Setibanya Zach di luar bilik mereka, nombor telefon Rania didail lalu telefon pintar itu ditekap pada telinga. Setelah beberapa deringan, panggilan itu dijawab. Suara Rania menyapa gegendang telinga membuatkan Zach tersenyum sendiri.
"Helo? Siapa ni?"
"Err... Hai Rania... Saya ni, Zach." Virus gagap Aqeel sudah berjangkit kepada Zach.
"Oh! Zach! Macam mana awak dapat nombor saya?"
Zach tertawa kecil mendengar suara Rania yang ceria itu. Nampaknya gadis itu baik-baik sahaja. Dia tidak lagi risau tentang kondisi Rania. Dia yakin Rania berada di dalam jagaan yang baik. Pada hari kejadian itu, Angela tidak mengalihkan perhatian langsung ke sekeliling. Dia hanya setia berada di sisi Rania untuk melindungi gadis itu. Benar kata Rafiq, Angela itu hatinya beku. Dia mampu untuk memberanikan diri untuk melindungi sahabatnya. Sesuai dengan Aqeel cuma berbeza perwatakan sahaja.
"Saya curi-curi ambil nombor awak daripada telefon Rafiq hari itu. Saya harap awak tak marahlah ya?" Lembut pula suara komando ini.
"Eh, tak adalah. Kenapa pula saya nak marah? Erm, ada apa awak telefon saya?"
Zach menyandarkan badan tegapnya pada dinding. Gayanya sudah seperti berbual dengan buah hati yang jauh di perantauan pula. Kalah orang yang bercinta.
"Saja... Saya tertanya-tanya keadaan awak. Awak okey? Angela okey?"
"Saya okey saja. Angela pun sama. Jangan risaulah. Lelaki tu pun dah kena tangkap kan?"
"Hmm... Dia dah kena tangkap. Okey, apa-apa awak telefon saja saya. Saya pergi dulu. Jaga diri."
"Awak pun jaga diri... Terima kasih sebab melindungi saya hari itu."
Seluar uniform tentera yang tersarung rapi pada badan sudah dipintal-pintal. Bibir tersenyum lebar mendengar ucapan terima kasih daripada gadis itu.
"Sama-sama..." Panggilan dimatikan.
Tubuh digoyangkan ke kiri dan kanan. Sebaik sahaja dia berpaling ke belakang untuk masuk semula ke dalam bilik, luruh jantungnya. Pasukan Alpha sedang mengintipnya dari celah-celah tingkap. Riak jijik juga ditayangkan kepada Zach.
"Oh mak kau! Kau orang ni dah apa pasal terjenguk-jenguk macam penyamun ni?"
"Kami ingatkan Tuan Aqeel saja yang pandai menggeletis macam sotong kurita... Rupanya Tuan Zach punya menggeletis lagi buruk." Aiman berkata. Terletus tawa mereka semua kecuali Zach dan Aqeel yang cemberut apabila dikutuk secara depan-depan. Biadab betul anak buah mereka yang seorang ini.
ANDA SEDANG MEMBACA
THE DEATH EATER (C)
AçãoKeluarga mati dibunuh ketika di usia remaja menjadikan dia seorang anggota tentera berpangkat kapten. Kapten Wang Zhen Wei, anak lelaki sulung bagi keluarga Wang yang dikenali sebagai sebuah keluarga yang sangat dihormati. Punca kematian ahli keluar...
