*Assalamualaikum dan hai! I'm back!!! ; ) Jemput baca bab baru The Death Eater. Esok saya edit video mereka pula ya? Terima kasih sudi tunggu saya. Alhamdulillah, fyp dan assignment semua dah siap. Cuma nak edit sikit saja lagi dan study untuk final exam. Okey, Happy Reading!
************
Puk!
Pak!
Puk!
"Argh! Sakitlah, hoi!"
"Awak ni kan... Boleh tak sekali je sebelum bertindak atau buat keputusan tu, fikir dulu baik buruknya guna otak udang awak tu?" Suara Aqeel memetir pada gegendang telinga Angela sambil giginya terketap rapat.
"Kau ni... Kalau aku cakap tak cerdik, kau marah. Masalahnya, memang kau ni otak udang!" Rania pula berbunyi.
"Awak tahu tak bahaya bila awak buat keputusan macam tu?!" Suara Zach juga boleh tahan lantang.
Ya, mereka semua berkumpul di kafe Rafiq sebaik sahaja insiden petang tadi selesai. Siapakah punca mereka berada di sini? Encik Rafiq!
Angela merenung Rafiq yang sedang berdiri dan bersandar di tepi kaunter dengan pandangan meminta simpati. Namun, hatinya hampa apabila Rafiq hanya menggeleng. Angela pula sudah duduk tertunduk di hadapan tiga orang pegawai penyiasat tak berbayar itu seperti seorang pesalah yang menunggu hukuman. Sempat hati kecilnya menggumam sendiri sambil kedua-dua telinganya menadah segala bebelan mereka.
'Buat baik pun kena marah. Apalah nasib aku?'
"Angela! Kau dengar tak ni?!"
Tersentak Angela apabila sedar daripada lamunan. Terkebil-kebil dia memandang Rania.
"Hah? Apa?"
Terlopong mulut mereka bertiga. Punya panjang lebar mereka meleteri Angela namun si gadis itu berani mengelamun ke alam lain? Tiga orang jejaka di situ sudah menggelengkan kepala mereka ke kiri dan ke kanan beberapa kali. Serentak keluhan terbit daripada bibir mereka bertiga. Berani lebih sangat pun susah juga si Angela ini.
"Err... Awak semua janganlah marah dia. Dia hanya tolong saya saja. Kalau dia tak ada tadi, entah-entah berita malam ni dah umumkan penemuan mayat saya dah."
Serentak kepala mereka berpaling ke arah suara itu. Suara yang lemah tidak bermaya. Suara itu milik wanita hamil yang diselamatkan oleh Angela sebentar tadi dengan pertolongan daripada Amirul. Wanita itu bangun daripada kerusi dan berjalan menuju ke arah mereka dengan perlahan-lahan. Perutnya yang semakin sarat membuatkan dia sedikit susah untuk bergerak laju.
Setibanya wanita itu di meja mereka, dia tersenyum kepada rakan-rakan Angela.
"Saya minta maaf sebab dah susahkan awak semua. Tapi, saya terdesak tadi. Saya dah tak ada tempat nak lari."
Berkerut Zach dan Aqeel memandang wajah wanita itu. Angela juga sama. Pandangan Angela dialihkan kepada dua orang jejaka itu sebelum dia kembali memandang wanita itu. Baru dia perasan, wanita itu tidak mengenakan sebarang kain untuk menutup rambutnya. Tersedar dengan kecuaiannya di situ, Angela bangun dan menuju ke loker staf di belakang.
Angela kembali dengan sehelai baju sejuk. Baju sejuk itu disarungkan pada tubuh wanita itu dan rambutnya ditutup menggunakan hud baju sejuk itu. Aqeel yang memandang tindak-tanduk si gadis tanpa sedar melebarkan senyumannya. Semakin hari, semakin dia jatuh hati pada si gadis. Perwatakannya beku namun perlakuannya tidak dapat menyembunyikan bahawa dia ialah seorang gadis yang lembut hatinya.
Sepanjang tempoh perkenalan mereka berempat, Aqeel selalu memerhatikan tindakan spontan Angela daripada memfokuskan pemerhatiannya pada sikap dingin si gadis. Angela bukanlah sedingin itu sikapnya namun ada sesuatu yang menarik perhatian Aqeel. Sikap dingin Angela seolah-olah ada sesuatu yang membuatkan dirinya bersikap begitu. Seperti sebuah tembok pertahanan.
"Sebenarnya apa yang jadi puan? Kenapa suami puan kejar puan?"
Terletus tawa halus daripada bibir wanita itu.
"Bekas."
"Hah?" Serentak mereka bersuara.
"Bekas suami. Dia bukan lagi suami saya. Dan, panggil saya Ana saja. Peliklah panggil puan bagai."
Angela terus menegakkan badan dan mengesot sedikit rapat ke meja. Dia mahu mendengar cerita sebenar daripada wanita itu. Ana hanya tertawa melihat gelagat Angela yang seperti kanak-kanak itu. Sebentar tadi, bukan main serius lagi wajah Angela ketika membantunya menyembunyikan diri daripada bekas suaminya.
"Suami saya. Eh! Silap... Bekas suami saya paksa saya untuk kembali kepada dia."
Cincin emas yang tersarung pada jari runcing itu ditanggalkan lalu diletakkan di atas meja sebelum Ana menyambung semula ceritanya.
"Nama dia Airil. Airil dapat tahu yang Ana dah berkahwin lain. Jadi, dia intip Ana dekat tempat kerja. Ana keluar dari pejabat je tadi terus dia tarik masuk dalam kereta. Ana cuba nak lepaskan diri tapi dia mula pukul Ana."
'Dayus!'
Satu perkataan yang bermain di dalam hati Angela dan Rania.
"Ana sempat larikan diri dekat lampu isyarat depan tu tadi sebelum berlari masuk ke sini. Ana terlalu takut sampai tak ada perkataan yang mampu keluar daripada mulut. Sehinggalah Angela yang tolong. Angela cepat-cepat sorokkan Ana dekat tandas."
"Sekarang ni macam mana?"
"Ana dah telefon suami Ana. Nanti dia sampailah tu."
Anggukan menjadi balasan kepada kenyataan Ana.
"Sayang!"
Tertoleh wajah mereka ke pintu masuk kafe.
"Abang!"
Pasangan suami isteri itu berpelukan. Air mata mengalir laju termasuklah mereka yang menjadi penonton di situ. Suami wanita itu memandang ke arah Angela dengan mata yang bertakung. Berkali-kali si suami berterima kasih kepadanya. Serba salah pula Angela dibuatnya. Sebolehnya Angela tidak mahu Ana dan suaminya berasa terhutang budi kepadanya. Angela hanya tersenyum kepada suami Ana.
Zach yang berdiri di sebelah Angela menundukkan sedikit wajahnya sebelum dia berbisik ke telinga gadis itu.
"Great job. I'm proud of you."
Sekali lagi Angela tersenyum mendengar pujian itu. Dia memandang pula ke sebelah kirinya dan mengerdipkan mata beberapa kali kepada Rania dan Aqeel meminta dirinya dipuji. Rania dan Aqeel serentak memutarkan bebola mata mereka sebelum memuji Angela. Haih... Nasib sayang.
"Yalah. Great job. We're proud of you too."
Melihat reaksi teman-temannya, Angela mengekek ketawa sebelum tawanya tular kepada mereka yang lain. Tiba-tiba, ada tangan yang naik mengusap kepalanya membuatkan dia sedikit terkejut. Bukan sahaja Angela yang kaget, namun gerangan yang mengusap kepalanya juga terkedu dengan tindakannya sebentar tadi.
"Err... Maaf, saya tak sengaja."
"Berani kau sentuh buah hati aku?!"
"Argh! Aku tak sengajalah, Aqeel. Sakit!"
Aqeel mencengkam bahu tegap Zach sebelum menggoncang tubuh itu sedikit kuat. Berani dia menyentuh kepala pemilik hati Aqeel?
Angela pula sudah diam membisu. Wajahnya sedikit merah menahan malu. Tidak pernah dia menerima layanan yang seperti itu. Apabila dirinya rasa seperti ditenung, Angela memandang Rania dengan polos sebelum dia laju menggelengkan kepala. Takut melihat mata Rania sedang mencerlung tajam ke arahnya.
"Tak! Bukan salah aku, Rania. Aku tak tahu apa-apa. Kau pergi pukul Zach."
Rania sudah mencebik geram sebelum tangannya mencapai buku menu di atas meja sebelum bekerjasama dengan Aqeel memukul tubuh Zach. Angela menarik nafas lega. Kini, suasana sedih di dalam kafe itu dihiasi dengan gelak tawa daripada Ana dan suaminya bersama-sama dengan suara Rania, Aqeel, dan Zach yang terpekik-pekik menjerit.
ANDA SEDANG MEMBACA
THE DEATH EATER (C)
ActionKeluarga mati dibunuh ketika di usia remaja menjadikan dia seorang anggota tentera berpangkat kapten. Kapten Wang Zhen Wei, anak lelaki sulung bagi keluarga Wang yang dikenali sebagai sebuah keluarga yang sangat dihormati. Punca kematian ahli keluar...
