BAB 39

57 2 0
                                        

"Janji, ya? Kau rahsiakan perkara ni daripada orang lain? Aku tak mahu ibu risau."

Tangan Angela terhenti daripada menyapu ubat pada luka Rania. Kepalanya tertunduk dan keluhan berat terbit di bibir.

"Dah jadi teruk sampai macam ni pun, kau masih lagi nak berdiam diri pasal perbuatan syaitan tu..."

Rania tersenyum lemah.

"If things like these ever happen again, we're going straight to the police station. Got it?" Tiada nada bergurau pada suara Angela.

Rania mengangguk.

Beberapa hari selepas insiden hitam itu, Rania membuat keputusan untuk kembali bekerja. Sudah banyak kali dia dihalang oleh Angela. Angela turut menawarkan diri untuk menghantarnya ke kafe namun Rania menolak.

"Kau yakin ke nak pergi kerja hari ni? Macam mana kalau Izhar datang kacau kau lagi?"

Rania hanya fokus menyarungkan kasut. Selesai memakai kasut, dia berpaling ke arah Angela. Senyuman kecil dihadiahkan kepada Angela.

"Kau jangan risau. Aku okey. Encik Rafiq pun dah bagitahu yang dia akan teman aku balik kalau aku balik lewat."

"Kau ni degil tahu tak? Yalah... Hati-hati."

Sepanjang Rania bekerja pada hari itu, telefon pintarnya tidak henti menerima pesanan teks daripada Izhar. Sedaya upaya dia cuba untuk tidak menghiraukan pesanan teks itu namun dia risau sekiranya ada apa-apa yang Izhar cuba lakukan kepada ibunya. Tangan dilap pada apron sebelum telefon pintar itu digesek skrinnya untuk membaca pesanan teks daripada Izhar.

"Kau tak bocorkan rahsia kita malam tu pada orang lain kan? Kalau kau beritahu orang lain, ibu kau pula yang akan jadi mangsa. Faham, Rania sayang?"

Rania kerap menerima pesanan teks berbaur ugutan daripada Izhar sejak malam yang ngeri itu. Sengaja dia merahsiakan perkara itu daripada pengetahuan Angela kerana tidak mahu Angela mengamuk. Rafiq terpaksa pulang awal kerana terdapat kecemasan. Rania akan ditemani oleh kawan sekerjanya sewaktu pulang nanti. Mata melirik pada jam tangan. Syifnya sudah hampir tamat pada malam itu.

Baru sahaja jari-jemari mahu membalas pesanan teks yang menjijikkan itu, satu notifikasi baharu masuk. Pesanan teks daripada nombor yang tidak dikenali. Pesanan teks itu ditekan dan mata mula membaca.

"Nak aku tolong?"

Kening Rania bertaut rapat. Dahi sudah berkerut seribu. Tolong apa? Siapa pula ini?

Tidak lama setelah itu, dia menerima satu gambar. Rania terpempan. Gambar yang dikongsi oleh individu tersebut adalah gambar Izhar yang sedang mabuk di sebuah kelab malam. Beberapa orang wanita turut berhibur di keliling pinggang. Teragak-agak Rania menaip untuk membalas pesanan teks itu.

"Berapa bayaran yang kau nak?"

"Senang sahaja bayarannya..."

Tergantung ayatnya sebelum disambung lagi.

"Hidup dengan bahagia. Itu bayarannya. Setuju?"

Rania memandang pelik pesanan teks itu.

"Itu saja ke bayarannya? Scam ke apa ni?"

Beberapa minit dihabiskan untuk memikirkan tawaran daripada individu yang tidak dikenali itu. Perlu ke dia beritahu kepada Angela dahulu? Kalau Angela tahu dia berurusan dengan orang yang tidak dikenali, silap hari bulan boleh dipancung kepalanya. Namun, dia sudah penat diugut oleh Izhar.

Dia risaukan keselamatan dirinya namun dia lebih merisaukan keselamatan ibunya yang sedang sakit di kampung. Setelah berfikir, dia akhirnya membuat keputusan.

"Okey, aku setuju."

"Wise choice. Anggap saja masalah kau dah selesai."

Rania terus matikan telefon pintarnya. Tiba-tiba rasa menyesal pula membuat keputusan secara terburu-buru. Melihat malam yang semakin lewat, dia tergesa-gesa mengemas dapur sebelum syifnya tamat dan mereka perlu menutup kafe.

Di sebuah kelab malam di ibu kota, Izhar sedang bersuka ria. Mabuk setelah meneguk air haram. Diri sedang berada di awangan dibuai maksiat dan dosa yang tidak pernah puas. Tidak ingat pada neraka yang sedang ternganga luas.

"Polis! Lari! Lari!"

Tersedar daripada khayalan, Izhar cuba untuk melarikan diri namun gagal. Dirinya sempat ditahan oleh seorang pegawai polis yang terlibat dalam serbuan kelab malam itu. Seorang demi seorang diarahkan untuk duduk dan pihak polis mula mengenal pasti identiti mereka yang berada di situ. Kini, tiba giliran Izhar.

"Bagi IC kau."

Dengan tidak rela, Izhar menghulurkan kad pengenalan berwarna biru kepada pegawai polis itu. Pegawai polis membelek kad pengenalan Izhar kemudian berbalas pandangan dengan rakan sekerjanya. Dua orang anggota polis itu merenung ke arah Izhar yang sedang tertunduk. Baru sahaja mereka mahu menangkap Izhar, lelaki itu terlebih dahulu bangun dan menghentakkan kepalanya ke wajah salah seorang pegawai tersebut sebelum melarikan diri ke luar kelab malam itu.

"Tangkap dia! Jangan bagi dia lari!" Pegawai polis itu memberi arahan sambil menahan sakit akibat hentakan tadi.

Izhar mempunyai jenayah penyalahgunaan dadah dan terlibat dalam sindiket yang menjual dadah dari negara jiran. Kegiatannya tidak pernah terbocor namun ada seseorang yang menganiayanya malam ini. Izhar berjaya melarikan diri dengan keretanya. Beberapa buah kereta polis turut meluncur laju untuk mengejar Izhar.

Kereta Izhar meluncur di lorong-lorong kecil sehingga terlanggar beberapa buah gerai makan tepi jalan. Stereng diputar ke kanan namun tiba-tiba keretanya seperti dikawal. Kereta itu menuju ke sebuah lorong gelap. Setibanya dia di lorong itu, enjin keretanya terus mati dengan sendiri. Mata Izhar melihat kereta polis yang memandu laju melintasi tempat dia berselindung.

Izhar menarik nafas lega. Dia sudah terlepas daripada diheret ke balai. Tangan sempat meneguk sebotol air minuman keras yang disimpan khas di dalam kereta. Telefon pakai buang dicapai dari poket belakang tempat duduk penumpang.

"Kau cakap malam ni line clear?! Macam mana polis boleh datang?!"

"Manalah aku tahu! Budak-budak kita semua kena tangkap dekat sana!"

"Bodoh!" Telefon bimbit pakai buang itu dihempas ke tempat duduk penumpang.

Tangan naik memicit pelipis mata. Baru teringat bahawa keretanya hilang kawalan sebentar tadi, dia cuba menghidupkan enjin kereta beberapa kali namun gagal. Sekali lagi enjin keretanya cuba dihidupkan dan dia berjaya. Baru sahaja dia mahu memandu keluar dari lorong gelap itu, telefon bimbitnya berbunyi. Panggilan itu dijawab.

"Kau nak apa?!"

"Tikus dah masuk perangkap."

"Hah?"

Si pemanggil membiarkan Izhar terpinga-pinga sendiri. Izhar menoleh ke kiri dan kanan. Ke hadapan dan juga ke belakang. Tiada sesiapa di situ melainkan keretanya. Enjin keretanya mati kemudian hidup kembali. Beberapa kali keretanya menjadi begitu menimbulkan rasa takut di dalam hati Izhar.

"Nak main satu permainan tak?"

"Permainan apa kau ni?! Kau siapa hah?!"

"Senang saja permainan ni. Bila aku cakap lari, kau kena lari secepat yang mungkin. Kalau aku dapat kau... Tsk! Game over."

Enjin kereta Izhar hidup kembali. Si pemanggil mula mengira.

"Satu."

"Dua."

"Tiga."

Tiba-tiba ada cahaya terang yang menyuluh dari belakang kereta Izhar. Terdengar bunyi deruman enjin kereta dari belakang namun tidak kelihatan sebarang kenderaan sehinggalah si pemandu memasang lampu di dalam kereta.

Tindakannya menarik perhatian Izhar.

"Run." Pemanggil itu bersuara sebelum mematikan panggilan.

Cepat-cepat Izhar memasukkan gear dan mula melarikan diri.

THE DEATH EATER (C)Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang