BAB 29

111 6 0
                                        

"Abang nak pergi mana malam-malam macam ni? Dah pukul 11 malam ni." Si isteri bertanya kepada sang suami yang sedang sibuk menggayakan pakaian pada tubuh.

"Kau jangan sibuklah! Kau duduk rumah saja jaga anak-anak. Aku tak balik malam ni."

"Abang... Tak boleh ke sekali saja abang laksanakan tanggungjawab abang sebagai seorang bapa? Saya pun penatlah!"

"Kau ingat aku tak penat ke? Aku sibuk kerja. Kau kan ibu mereka? Itu tanggungjawab kau!"

"Habis tu, abang ni siapa? Bukan ke abang pun ada tanggungjawab sebagai seorang bapa? Sebagai seorang suami. Saya pun bekerja. Abang cakap abang bekerja tapi nafkah langsung tak dihiraukan. Abang sibuk langgan perempuan-perempuan lorong tu!"

Si suami sudah berombak dada menahan kemarahan yang membuak-buak. Tangan kasar itu terus mencengkam rambut si isteri dengan kuat. Si isteri pula hanya mampu menangis menahan kesakitan yang tidak lagi asing baginya selama bertahun-tahun menjalani kehidupan berumah tangga.

"Kau jangan nak masuk campur hal akulah! Sekarang ni, aku nak kau duduk rumah diam-diam. Kalau kau buat hal, aku tak teragak-agak nak seksa kau. Kau nak macam tu?"

Penat mahu melawan maka si isteri hanya terangguk lemah.

Ting!

Cengkaman pada rambut si isteri dilepaskan sebaik sahaja mendengar nada dering telefon pintar. Pesanan teks itu dibaca lalu bibir tersenyum lebar. Kekasih gelapnya sudah berkongsi lokasi di mana mereka bakal bertemu malam ini. Baju yang berada di atas lantai dicapai dan disarungkan pada badan sebelum dia meninggalkan si isteri begitu sahaja.

Anak lelaki sulung mereka yang terdengar perbalahan antara kedua-dua ibu bapanya menghampiri si ibu setelah bapanya meninggalkan perkarangan rumah.

"Mama... Mama okey tak ni? Kita pergi klinik ya?"

Si ibu tersenyum lemah sambil mengusap lembut kepala si anak dengan penuh kasih sayang lalu dia menggeleng.

"Mama okey... Abang jangan risau. Sudah, pergi tidur. Mama temankan abang dengan adik-adik tidur ya? Esok nak sekolah."

Si anak hanya akur dan mula memapah si ibu perlahan-lahan menuju ke bilik tidur mereka adik-beradik.

Beberapa jam pemanduan menimbulkan sedikit tanda tanya di dalam hati si suami itu. Jalan yang digunakan untuk ke lokasi itu semakin gelap dan dikelilingi hutan rimba. Tidak lama kemudian, dia mendapat pesanan teks daripada si dia yang bertanyakan keberadaan lelaki itu.

"You dah sampai ke? Kenapa lama sangat? Lama dah I tunggu ni!"

"Sekejap sayang, I dah nak sampai."

Akhirnya, kereta yang dipandu berhenti di sebuah bangunan yang sedikit menyeramkan. Bangunan itu gelap gelita. Namun, ada satu bilik yang bercahaya ditangkap oleh kornea matanya. Tanpa keraguan, kaki berjalan pantas ke bilik yang berada di aras tiga itu. Hati sudah berdebar-debar tidak sabar mahu melakukan dosa yang jijik bersama-sama si kekasih gelap.

Pintu bilik itu ditolak perlahan dan wajah dijengukkan ke dalam. Tiada sesiapa di situ. Sebaik sahaja dia melangkah masuk ke dalam, pintu bilik terhempas kuat dan terkunci. Lampu yang cerah terpadam. Tiba-tiba ada satu tangan yang naik menekup mulutnya dan di lehernya diacu sebilah pisau lipat. Baru sahaja dia mahu menjerit, gerangan itu memberi amaran terlebih dahulu.

"Kalau kau sayang nyawa kau, lebih baik kau diam." Suara garau menyapa gegendang telinga.

Pisau lipat itu menari-nari pada leher lelaki itu. Gerangan itu tertawa sinis.

"You love to torture the weak ones, right? Well, I love to torture the ignorants. So, fair and square."

Tangan yang menekup mulut mangsanya ditekan kuat.

"Your playtime has ended. Now, it's my time to shine."

Si suami mula menjerit dengan kuat meminta pertolongan. Si penculik mula menjerkah dengan kuat.

"Kau menjerit kuat macam mana sekali pun, kau tak akan mampu diselamatkan sebab tak ada orang yang akan dengar kau menjerit. Kau bodoh sebab masih terus datang ke tempat yang macam ni semata-mata nak lakukan perkara jijik."

Penculik itu mengheret si suami lalu tubuh itu diikat ketat pada sebuah kerusi besi. Kemudian, si penculik mula menderanya. Tamparan kuat berkali-kali dilayangkan pada wajah itu. Setelah tiada lagi kudrat setelah diseksa, si suami akhirnya pengsan tidak menyedarkan diri.

Beberapa jam selepas itu, si suami kembali tersedar dari pengsan. Kedua-dua belah mata sudah lebam. Wajah sudah bengkak akibat dipukul berkali-kali. Bibir sudah pecah. Mata yang bengkak dipaksa untuk dibuka. Sosok seorang lelaki memakai topeng hitam yang hanya menampakkan kedua-dua belah matanya.

Pandangan lelaki itu tajam dan dingin. Si suami tidak dapat menebak perasaan si penculik itu. Pandangan matanya kosong. Ia seolah-olah dia memantulkan kembali ketakutan si suami ibarat sebuah cermin. Penculiknya sedang duduk tersandar pada kerusi di penjuru bilik itu. Tangan yang memakai sarung tangan hitam sedang bermain-main dengan pisau lipat.

"Dah bangun?"

Lelaki itu bangun mendekati si mangsa yang diculiknya.

"Lapar?"

Si suami itu hanya menangis tersedu-sedan.

"Aku tanya kau ni... Lapar ke tak?! Jawablah!"

Si suami mengangguk sambil wajah dibasahi dengan tangisan. Dia takut.

Lelaki bertopeng itu berjalan ke sebuah meja. Di atasnya terdapat sebuah mangkuk. Mangkuk itu dicapai lalu dibawa ke hadapan si suami.

"Nak makan?"

Anggukan diberikan kepada lelaki itu. Penculik itu sudah tersenyum sinis di sebalik topeng muka itu.

"Very well... Enjoy your dinner, sir."

Sup panas di dalam mangkuk itu dituang ke atas kepala si suami. Si suami meraung kesakitan. Kulit terasa terbakar. Si penculik pula sudah mengilai seperti orang gila. Rahang si suami dicengkam kuat diarahkan supaya memandang wajah penculiknya.

"Kenapa? Sakit? Ini baru sikit. Ada hukuman yang lebih hebat yang aku dah sediakan untuk kau."

Tidak cukup dengan semangkuk sup panas, dicapai pula cerek air di atas meja itu. Wap panas keluar daripada corongnya. Air di dalam cerek itu baru sahaja dipanaskan. Tanpa belas kasihan, air panas itu dituang perlahan-lahan ke atas tubuh si suami.

Raungan dan rayuan daripada si suami itu langsung tidak dihiraukan. Dia terus-menerus meraung dan meminta pertolongan namun hampa. Tiada sesiapa yang mendengar rayuannya di situ. Cerek air itu dilempar ke atas lantai kemudian tangan naik mencengkam rambut si suami sehingga wajah yang sudah kemerahan akibat melecur itu terdongak ke atas. Si lelaki itu menjadi bengis.

"Sekarang kau dah rasa macam mana sakitnya isteri kau bila kau seksa dia macam ni?"

Si penculik bersuara dengan suara yang tertahan sambil gigi diketap kuat. Cengkaman pada rambut si suami semakin kuat.

"Kau ciptakan neraka dunia bagi isteri kau... Sekarang, kau akan hidup di dalam neraka yang aku cipta pula."

Si suami memberanikan diri untuk bertanya.

"Siapa kau yang sebenarnya?"

"Aku?"

Si penculik tertawa sinis.

"I am The Death Eater."

THE DEATH EATER (C)Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang