Tangan lincah menekan mesin pengisar kopi. Kemudian dia bergerak pula ke kiri dan kanan. Tidak sampai beberapa minit, pesanan pelanggan sudah siap. Pesanan yang baru pula masuk. Angela berhenti seketika untuk menarik nafas dalam sebelum kembali menyiapkan pesanan pelanggan yang mengunjungi kafe pada hari itu. Peluh di dahi dilap pada lengan baju. Semakin maju kafe Rafiq, semakin banyak kerjanya di kafe itu.
"Hai, dah boleh order ke ni?"
Angela menoleh ke arah suara pelanggan itu. Sebelum sempat dia bergerak mendekati pelanggan itu, kakinya seakan-akan terpaku di atas lantai. Terkejut melihat manusia yang berdiri di depannya sekarang. Musuh abadinya sejak di zaman persekolahan lagi. Lelaki yang menyebar fitnah sehingga sahabat baiknya perlu berpindah sekolah akibat mengalami kemurungan.
"Izhar?"
"Angela? Aku dah agak yang kau pun kerja dekat sini. Rania mana?"
"Kau cari dia kenapa?"
Izhar menayang sengih. Dia tidak berani untuk bersuara lebih-lebih dengan Angela. Risau si harimau putih ini mengaum seperti di sekolah dahulu. Hampir sahaja wajahnya pecah akibat ditumbuk oleh si gadis pendiam itu.
"Err... Aku saja je tanya. Aku nak order ni... Boleh?"
Kalau diikutkan hati, mahu sahaja Angela mengabaikan kewujudan Izhar di situ namun dia tahu bahawa dia perlu bersikap profesional sewaktu bekerja. Pada saat itu, di kafe milik Rafiq, lelaki itu ialah seorang pelanggan. Dengan hati yang tidak rela, Angela mula mengambil pesanan Izhar.
Selesai mengambil pesanan, Angela mula menyiapkan pesanan Izhar dengan senyap tanpa sepatah kata. Wajahnya yang tersenyum melayan pelanggan sebentar tadi sudah terbang dibawa angin setelah kedatangan lelaki itu. Wajah beku kembali ditayang. Diri sudah mula menyampah apabila Izhar tidak mahu beredar daripada kaunter. Izhar mula membuka buah bicara.
"Aku dapat tahu kau kerja sini pun sebab Rania. Aku teka saja. Tak sangka pula betul tekaan aku. Aku mesej Rania untuk ajak keluar makan tapi dia selalu tolak."
Tidak cukup dengan kata-kata, Izhar berdiri semakin dekat dengan kaunter menambahkan rasa menyampah di dalam hati Angela. Rania yang baru sahaja ingin keluar dari dapur untuk berbual dengan Angela di kaunter dihentikan langkahnya apabila dia mendapat isyarat daripada Rafiq yang sudah memerhati sejak awal perbualan Angela dan Izhar.
Rafiq menggelengkan kepala supaya Rania tidak melangkah keluar daripada pintu dapur itu sekiranya dia sayangkan nyawa sendiri. Rania sempat melirik ke arah dua orang manusia itu. Dia dapat merasakan bahawa ada ketegangan antara mereka. Perlahan-lahan Rania kembali melangkah masuk ke bahagian dapur sambil air liur ditelan sedikit payah. Bala apa yang bakal dia tempuhi ketika perjalanan pulang nanti.
"Kau pujuklah Rania untuk keluar dengan aku. Boleh?"
"Mana kau dapat nombor Rania?" Tanpa reaksi, Angela membuka mulut untuk bertanya kepada Izhar. Permintaan Izhar sebentar tadi dibiarkan berlalu dibawa angin.
"Rania bagi hari tu masa aku datang kafe ni."
"Kau selalu mesej dia ke?"
Izhar menganggukan kepala beberapa kali. Angela mengetap bibir. Angela angguk beberapa kali sebelum menyerahkan secawan kopi yang dipesan oleh Izhar. Cawan itu dicapai oleh Izhar sebelum dia berjalan meninggalkan kafe itu.
"Okeylah, aku gerak dulu. Nanti aku datang lagi. Sampaikan salam aku pada Rania. Suruh dia rajin sikit balas mesej aku. Bye, Angela!" Dengan penuh keriangan Izhar berkata-kata.
Angela hanya mengikut pergerakan Izhar dari ekor matanya. Rahang diketap kuat. Tangan mula dikepal menjadi penumbuk. Angela terus menjalankan tugasnya. Rafiq pula hanya diam memerhati. Dia turut berasa tidak senang dengan kedatangan Izhar yang sesuka hati menganggu dua gadis itu.
Setelah tamat sahaja syif, Angela terus mengemas barangnya dan mula berjalan laju meninggalkan kafe. Langkah laju dengan mulut yang membisu meninggalkan Rania jauh di belakang. Sejak pertemuannya dengan Izhar petang tadi, Angela hanya diam membisu. Dia langsung tidak berbicara kepada Rania.
Rania sudah tahu lebih awal bahawa Angela akan melancarkan perang dinginnya. Angela memang seorang yang pendiam. Namun, diamnya Angela ketika marah adalah lebih diam daripada dewan peperiksaan. Jika ada jarum yang jatuh di atas lantai, pasti akan bergema bunyinya memenuhi ruang alam.
Dengan segala keberanian yang dikumpul sejak petang tadi, Rania mempercepatkan langkahnya supaya seiring dengan Angela. Bahu Angela dicuit perlahan untuk menarik perhatiannya namun cuitan itu langsung tidak diendahkan oleh Angela. Bibir Rania mula mencebik.
"Weh... Kau marah aku ke? Aku ada buat salah ke?"
"Kau ada buat salah dengan aku ke?" Mendatar suara Angela.
"Pasal Izhar ke?"
"Entah."
Rania hanya mampu mengucap di dalam hati.
"Aku terpaksalah. Dia minta nombor telefon aku. Aku tak ada pilihan masa tu."
"Kau bukan tak ada pilihan. Kau ada pilihan untuk tolak permintaan tu tapi kau yang tak nak."
Rania mula menggaru kepala yang tidak gatal. Tidak tahu mahu memberi alasan apa lagi pada sahabatnya ini.
"Sejak bila kau rahsiakan benda ni daripada pengetahuan aku?"
"Tak lama pun... Baru saja. Angela, kau janganlah marah. Okey? Aku janji tak akan rahsiakan daripada kau lagi."
"Haih... Kau tahu yang dia bukan lelaki yang baik."
"Aku janji tak akan layan dia dah lepas ni. Janji?"
Angela berhenti melangkah dan merenung Rania yang berdiri di sebelahnya. Rania mengerdipkan mata berkali-kali menyebabkan keluhan berat dilepaskan oleh Angela sebelum dia kembali melangkah.
"Lantak kaulah. Kalau jadi apa-apa, jangan cakap aku tak bagi amaran."
"Aye aye, bos!" Rania melakukan tabik hormat kepada Angela seperti seorang tentera.
"Dahlah, malas aku nak melayan kau. Kau bukan kawan aku. Nyah kau dari sini!" Angela menghalau Rania.
"Kau kata kau dah tak marah aku! Kenapa kau nak merajuk lagi?" Rania melaung sedikit geram.
"Sejak bila aku kata yang aku dah tak marah? Aku nak merajuk dengan kau sebulan. Tak, setahun! Siapa suruh kau rahsiakan benda ni daripada sahabat kau? Aku tak nak kawan dengan kau."
"Aku bagitahu ibu yang kau dah tak nak kawan dengan aku!"
"Bagitahulah. Ibu sayang aku lagi daripada kau. Wuek!" Angela mula berlari setelah mengucapkan kata-kata itu kerana Rania sudah menanggalkan kasutnya dan mula mengejar Angela.
Sibuk berbalah mulut antara satu sama lain, mereka berdua tidak sedar bahawa mereka sedang diekori oleh seorang lelaki asing. Lelaki itu telah mengekori mereka sebaik sahaja mereka berdua meninggalkan kafe. Senyuman sinis terhias pada bibir lelaki itu. Dua orang gadis itu terlalu leka dan tidak peka dengan keadaan sekeliling. Kesalahan terbesar yang dilakukan oleh mereka berdua.
Sebaik sahaja tiba di rumah, Angela dan Rania terus masuk dan mengunci pagar dan pintu rumah. Setelah mengetahui tempat tinggal mereka berdua, lelaki itu meninggalkan kawasan perumahan itu.
ANDA SEDANG MEMBACA
THE DEATH EATER (C)
ActionKeluarga mati dibunuh ketika di usia remaja menjadikan dia seorang anggota tentera berpangkat kapten. Kapten Wang Zhen Wei, anak lelaki sulung bagi keluarga Wang yang dikenali sebagai sebuah keluarga yang sangat dihormati. Punca kematian ahli keluar...
