BAB 17

129 7 0
                                        

Bang! Bang! Bang!

Meja berwarna biru gelap itu ditumbuk berkali-kali. Darah sudah mula menggelegak. Leher juga sudah menjadi tegang menampakkan urat-urat. Mata dipejam rapat menahan amarah. Dia sudah muak! Tangan dikepal menjadi penumbuk dan ditekan kuat ke atas meja. Lelaki yang duduk di hadapannya masih dengan wajah tanpa riak itu. Jika sabarnya sudah tiada, pasti lelaki ini akan dicekik sehingga mati sekarang juga. Namun, kesabarannya juga sudah mula menipis.

Jari-jemari naik memicit pelipis mata. Keluhan dilepaskan kuat menunjukkan rasa sebal yang mendalam. Badan ditundukkan sedikit dan kedua-dua tangan ditongkatkan pada meja. Mata merenung tajam suspek dihadapannya yang perlu dia hadap selagi kes penculikan dan pembunuhan ini tidak selesai.

"Sekali lagi aku tanya kau... Apa motif kau buat semua ni? Jawablah soalan aku, apa yang susah sangat?!"

Lelaki itu menguap sebelum dia memejamkan mata seperti sedang tidur. Kepala didaratkan ke atas meja.

"Man... Rileks. Jangan ikut emosi." Tegur salah seorang pegawai yang memerhati di luar bilik soal siasat itu.

"Betul kata lelaki tu. Cuba bawa bersabar sikit... Main jerkah-jerkah orang pula. Bingit kau tahu tak?" Wajah diangkat lalu didongak memandang pegawai polis itu.

Sekali lagi keluhan dilepaskan. Kini, dia kembali bersikap profesional.

"Apa motif kau culik mereka semua?" soal seorang pegawai penyiasat PDRM yang bertugas untuk sesi soal siasat bagi kes penculikan beramai-ramai itu. Sudah naik muak pegawai tersebut bertanyakan soalan yang sama kepada lelaki itu. Namun, lelaki itu hanya memaparkan riak mendatar dan melontarkan pandangan kosong ke setiap penjuru bilik. Melihat tindakan lelaki itu, pegawai itu bersuara untuk memberikan amaran.

"Kau tak akan mampu untuk keluar daripada sini, TDE. Sekali kami dah cekup kau, kami tak akan sesekali lepaskan penjenayah kejam macam kau ni. Penjenayah yang tak ada hati perut." Tajam mata mencerlung ke arah lelaki itu.

Tawa sinis kedengaran. Senyuman mengejek diberikan kepada pegawai itu sambil sebelah keningnya terjungkit ke atas. Mulutnya bersiul. Siulan itu menaikkan bulu roma setiap orang yang berada di situ.

"Siapa kata aku nak lari?"

Lelaki itu menyulamkan jari-jemarinya lalu kedua-dua tangan yang digarinya mendarat di atas meja berwarna biru gelap itu. Badan turut dibongkokkan ke hadapan dan siku ditongkatkan di atas meja. Senyuman yang samar-samar dilorekkan pada wajah.

"Aku cuma culik 5 orang. Oh, lupa... Tambah seorang lagi yang aku bunuh masa di hotel hari itu. Jadi, keseluruhannya adalah 6 orang yang aku cabut nyawa mereka. Hahaha..."

"Mana mayat mereka? Di mana kau sorokkan mayat-mayat mereka?!"

"Erm... Dekat mana ya aku tanam mereka?" Jari telunjuk naik menggaru kepala yang tidak gatal. Tindakan yang sengaja dilakukan untuk memprovok pegawai itu.

"Jawab!" Tegas pegawai itu lagi.

Badan lelaki itu kembali disandarkan pada kerusi. Soalan itu dibiarkan berlalu begitu sahaja. Pegawai itu mengeluh lalu berjalan untuk keluar daripada bilik soal siasat itu. Dia perlukan masa untuk meredakan kemarahannya dan berada jauh daripada lelaki itu. Jika tidak, otaknya bakal bertukar gila seperti lelaki itu. Sebaik sahaja tangan kiri mencapai tombol pintu, lelaki yang duduk di kerusi itu bersuara untuk menarik perhatian pegawai itu.

"Mereka ada dalam hutan. Aku kuburkan mereka berdekatan dengan sungai. Pada setiap kubur mereka, ada tanda batu yang aku letakkan. Kalau kau orang mahu mayat mereka, aku akan tunjukkan." Senada ayat itu dituturkan.

"Kau bercakap dengan jujur ke ni?"

Kepala lelaki itu dilentokkan ke belakang memandang pegawai yang menyoal siasatnya itu. Kepala digelengkan beberapa kali sambil tertawa sinis.

"Taklah. Aku saja nak tengok reaksi kau."

"Bodoh! Buang masa aku saja." Kaki dimajukan untuk keluar sebelum langkahnya mati lagi.

"Ya. Kali ni aku tak tipu. Aku pun dah penat nak main permainan dengan kau orang. Bosan. Asyik nak marah saja. Tak ada keseronokan langsung."

Pegawai itu terus berpaling melihat lelaki yang sedang menunduk itu. Tergesa-gesa kaki melangkah keluar untuk menghubungi anggota-anggotanya. Mereka perlu menyelesaikan kes ini secepat mungkin.

Setelah selesai dengan siasatan, pihak polis membawa lelaki itu ke kawasan jenayahnya. Di situ, mereka menggali beberapa kawasan di mana mayat mangsa-mangsa ditimbuskan. Setelah kesemua mayat-mayat itu dijumpai, mereka di bawa untuk siasatan lanjut. Beberapa hari kemudian, lakonan semula telah dilaksanakan. Setiap perbuatan jahat lelaki itu ditunjukkan satu per satu sehingga selesai. Ngeri. Apa yang para anggota lihat pada masa itu adalah sangat mengerikan.

Mangsa-mangsa itu dikebumikan dengan upacara pengebumian mengikut agama masing-masing. Setelah itu, mahkamah telah menjatuhkan hukuman mandatori gantung sampai mati kepada lelaki yang digelar sebagai The Death Eater itu.

Di rumah milik Zach, televisyen dihidupkan. Langkah dibawa ke dapur. Pintu peti sejuk dibuka lalu sebotol air kosong dicapai. Penutup botol dibuka lalu diteguk rakus air sejuk itu. Botol air yang sudah kosong itu dilemparkan ke dalam tong sampah. Dia berjalan ke arah ruang tamu. Dibiarkan suara televisyen itu menyapa gegendang telinganya tanpa mata melihat ke arah skrin televisyen itu.

"Mangsa-mangsa yang merupakan 3 orang lelaki dan 2 orang wanita telah dijumpai ditanam di sebuah kawasan hutan. Kesemua mangsa telah disahkan mempunyai rekod jenayah lampau iaitu jenayah gangguan seksual dan juga keganasan rumah tangga. Mahkamah telah menjatuhkan hukuman mandatori gantung sampai mati terhadap suspek yang merupakan seorang lelaki berusia 30 tahun." Suara pembaca berita wanita kedengaran.

Zach berjalan menuju ke arah mejanya lalu gambar keluarga Wang dicapai. Kemudian, dia berjalan pula ke arah sofa. Duduk dilabuhkan dan mata terus merenung lembut ke arah gambar itu. Hati mula terasa kosong. The Death Eater sudah ditangkap. Tekaannya salah. Lelaki itu bukan dalang disebalik tragedi yang menimpa keluarganya.

"Abang penat.... Mama... Papa... Weiwei... Berapa lama lagi abang perlu hadap perkara ni? Abang buntu..."

Badan sasa itu direbahkan ke atas sofa. Jaket kulit berwarna hitam sudah dilemparkan di atas lantai. Keadaan rumah berada dalam keadaan agak tidak terurus. Semak seperti mindanya sekarang ini. Tangan kanan diletakkan atas mata menutup cahaya lampu yang terang itu daripada terus masuk ke dalam kornea matanya. Televisyen sudah ditutup. Keadaan menjadi sunyi sepi.

Badan komando itu sudah bergetar kuat. Air mata mula membasahi wajahnya namun tiada suara yang keluar daripada mulut. Hati mahu meraung sekuat hati. Dendam semakin membuak-buak. Kenapa tiada langsung maklumat yang dapat dia cari mengenai pembunuh itu? Sudah bertahun-tahun lamanya dia mencari tetapi tetap tiada hasilnya.

'Sampai mati pun aku tak akan lepaskan kau. Sedalam mana pun kau menyorok, aku akan tetap cari kau sampai dapat. Itu janji aku pada keluarga aku. Lari selagi kau boleh.'

THE DEATH EATER (C)Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang