Setelah beberapa hari mereka berada di rumah ibu Rania, nasib baik nyawa mereka masih panjang. Sebaik sahaja mereka menjawab pertanyaan daripada ibu, terus sahaja batang penyapu terbang. Tidak cukup tanah mereka berdua berlari mengelilingi rumah kayu itu.
Bukan main laju lagi ibu Rania yang berkerusi roda mengejar di belakang mereka. Macam Fast and Furious. Adik-adik kembar Rania hanya sibuk mentertawakan dua orang kakak mereka yang sedang berlari menyelamatkan diri. Jarang sekali mereka dapat melihat aksi kejar-mengejar antara kakak-kakak mereka.
"Ibu, Angela keluar kejap ya? Ibu jangan lupa kunci pintu." Angela meminta izin untuk keluar sebentar.
"Anak ibu nak pergi mana seorang diri ni? Dah petang ni. Sikit lagi matahari dah nak turun."
"Angela kena balik rumah kejap. Ada barang yang tertinggal. Apa-apa nanti, Angela telefon ibu ya?" Angela menjawab sambil mengikat tali kasut di tangga rumah.
Wajah ibu sedikit risau. Mata tua itu merenung matahari yang semakin terbenam membawa cahayanya pergi. Tambahan pula, banyak kes penculikan yang berlaku sekarang.
"Kamu balik bila?"
"Esok Angela datang balik. Ibu jaga diri ya? Angela pergi dulu." Angela bersalaman dengan ibu yang duduk di atas kerusi roda.
Angela melambai sebelum menaiki kenderaan e-hailing yang ditempahnya untuk pulang ke rumah. Ibu melambai semula sehingga kelibat Angela hilang sepenuhnya daripada pandangan. Kerusi rodanya didorong ke belakang sebelum pintu kayu itu ditutup rapat.
Rania tiada di rumah ibunya sewaktu siang kerana dipaksa oleh ibunya untuk terus mencari kerja baru. Rania terpaksa akur kerana hutang pinjaman sewaktu belajar dahulu masih belum habis dibayar. Pulang sahaja daripada sesi temuduga di sebuah restoran, Rania pulang ke rumah ibunya. Dia sampai di rumah sedikit lewat kerana jalan di bandar yang terlalu sesak.
Rania merenung ke setiap penjuru di dalam rumah sebelum menghampiri ibunya yang berada di dapur bersama-sama adik kembarnya. Hatinya tertanya-tanya.
"Ibu... Angela mana?" Rania bertanya sambil beg galasnya diletakkan di atas kerusi sebelum dia mengambil tempat di sebelah adiknya, Amir.
"Angela balik ke rumah sewa kakak. Dia bagitahu ibu yang dia ada tertinggal barang. Angela tak mesej kakak ke?"
Telefon pintar di dalam beg dicapai oleh Rania.
"Tak ada pula dia bagitahu kakak. Kejap, kakak pergi telefon dia."
Rania berlalu ke ruang tamu dan mula menelefon Angela.
"Helo?" Suara serak Angela kedengaran.
"Hoi. Kau balik tak bagitahu aku eh? Kenapa suara kau lain?"
"Aku sakit tekak. Aku lupa nak bagitahu kau. Esok aku balik ke rumah ibu balik." Angela membalas dengan suara yang dipaksa untuk keluar daripada anak tekaknya.
"Hmm... Okeylah, hati-hati."
Baru sahaja Rania mahu mematikan panggilan, Angela menyeru namanya.
"Rania."
"Ya? Kau nak apa?"
"Hmm..."
Jeda.
"Aku nak minta maaf kalau selalu buat kau sedih."
"Eh, makcik. Kau jangan nak mengarut. Aku tunggu kau balik esok. Memang aku sebat kau cukup-cukup guna batang penyapu ibu."
ANDA SEDANG MEMBACA
THE DEATH EATER (C)
AcciónKeluarga mati dibunuh ketika di usia remaja menjadikan dia seorang anggota tentera berpangkat kapten. Kapten Wang Zhen Wei, anak lelaki sulung bagi keluarga Wang yang dikenali sebagai sebuah keluarga yang sangat dihormati. Punca kematian ahli keluar...
