Bab 12

537 10 0
                                    

Firdaus hanya memerhatikan Annur Ayesha dari jauh. Gadis yang kini telah menjadi isterinya. Dia tahu, gadis itu masih belum dapat menerima apa yang berlaku. Dia juga tahu gadis itu hanya memberikan senyuman palsu kepada orang sekeliling.

"Amboi, tengok apa lama sangat tu? Dah jadi isteri dah pun Fir." Tiba-tiba Lutfi mengusik. Lamunannya terhenti. Firdaus tersengih dan menggaru kepalanya yang tidak gatal.

"Sebab tu la aku tengok. Bini aku bukan orang lain."

"Yalah. Tahniahlah sahabat. Menikah juga mu akhirnya. Alhamdulillah. Aku tumpang gembira." Ujar Lutfi sambil menepuk bahunya.

"Alhamdulillah. Terima kasih...berkat doamu juga. Lepas ni aku doakan kau pula bertemu jodoh. InShaaAllah."

"InShaaAllah mudahan-mudahan. Sampai waktu menikahlah aku. Kalau lambat, mungkin Allah nak bagi aku bahagiakan umi dan walid dulu. Apa-apa pun, aku doakan kau bahagia sampai syurga. Aku yakin mu boleh jadi imam yang terbaik untuk dia."

Firdaus mengangguk tanda terima kasih. Di dalam hati dia berdoa agar Allah melembutkan hati Annur Ayesha agar menerimanya satu hari nanti.

Malam itu, semasa dia masuk ke bilik dia lihat Annur Ayesha sedang tidur. Mungkin keletihan yang amat selepas majlis tadi. Pagi majlis akad nikah dan tengahari terus berlangsung majlis persandingan mereka. Baju yang dipakainya juga masih tak bertukar. Perlahan dia menghampiri Annur Ayesha. Wajah polos itu ditatap lama. Firdaus tersenyum sendiri. Siapa yang sangka, perancangan Allah itu maha hebat. Gadis yang dulu pernah menjadi adiknya kini telah menjadi sebahagian dari hidupnya.

Walaupun dia tahu gadis itu masih tak dapat menerimanya, tapi dia akan cuba menjadi seorang suami yang terbaik. Annur Ayesha adalah amanah Allah yang dititipkan kepadanya. Gadis itu juga amanah yang telah dipertanggungjawabkan oleh Abah dan Mama kepadanya.

"Annur...."

Perlahan dia bersuara. Mengejutkan Annur Ayesha. Tak sampai hati pula dia nak biarkan gadis itu tidur dengan baju songketnya. Tudung dikepala juga masih tak ditanggalkan.

Dia lihat gadis itu bergerak sedikit. Mungkin terasa ada orang disebelahnya. Ketika gadis itu membuka mata, dia terus terbangun seperti terkena kejutan elektrik. Firdaus juga terkejut dengan tindakan gadis itu.

"Err....kau buat apa ni?" Bergetar suara Annur Ayesha. Firdaus nampak tenang.

"Abang minta maaf. Abang nak kejutkan Annur. Annur dah solat?"

Annur Ayesha menggeleng kepalanya. Dia terlelap tadi. Sebenarnya dia hanya mahu berbaring sebentar saja. Tapi badannya terlalu letih. Tak sedar dia tertidur. Pada mulanya tadi, dia masuk ke dalam biliknya. Tapi telah 'dihalang' Mama. Hendak tak hendak dia masuk juga ke bilik pengantin yang telah disediakan. Mujurlah semasa dia masuk tadi Firdaus tak ada di dalam bilik.

"Annur pergi bersihkan diri dan solat ya. Lepas tu baru tidur."

Annur tak menjawab apa. Serta-merta dia teringat mimpinya semalam. Meremang bulu romanya. Dia tak selesa. Cepat-cepat dia bangun, mencapai tuala dan terus masuk ke dalam bilik mandi.

* * *

Annur Ayesha termenung lama di dalam bilik mandi. Dia sudah siap mandi dan berpakaian. Rambut basahnya dibiarkan terurai. Sebenarnya dia masih berkira-kira hendak keluar dari dalam bilik mandi. Dia malu. Rasa janggal kerana berkongsi bilik dengan Firdaus.

Annur Ayesha menutup kepalanya dengan tuala. Perlahan dia keluar dari bilik mandi. Kepalanya dijengahkan sedikit. Tak terlihat kelibat Firdaus. Dia menarik nafas lega. Cepat-cepat dia keluar. Dia lihat sejadah sudah terhampar di atas lantai dan telekungnya di atas katil. Pasti Firdaus yang menyediakannya.

Annur Ayesha terus menunaikan solat. Usai solat, dia terus berbaring. Firdaus masih lagi tak muncul. Itu sudah membuatnya lega yang teramat sangat! Annur Ayesha mencapai telefon bimbitnya.

"Penatnya jadi pengantin ni."

Dia mengomel sendirian. Akaun facebook dibuka. Dia lihat sudah berpuluh-puluh notifikasi. Dia buka satu persatu. Semuanya komen dan likes pada gambar pernikahannya. ini tak lain tak bukan kerja teman-temannyalah Dira, Misha dan Hana.

Sudah banyak ucapan tahniah yang dia terima. Ada yang terkejut dan tak menyangka yang dia sudah berkahwin. Dia hanya sempat menjemput rakan-rakan sekelasnya sahaja. Teringat pula dia pada mereka semua yang datang bersama ala-ala rombongan Cik Kiah siang tadi.

Namun, Annur Ayesha tak berminat hendak membalas komen-komen mereka. Lantas dia membuka chat untuk melihat ada atau tidak mesej balasan dari Cahaya Syurga. Langsung tak ada. Dia tarik nafas lega. Telefon diletakkan dan matanya terus terpejam. Dia benar-benar letih.

* * *

Firdaus menyisip sedikit secawan kopi ditangannya. Mama datang dari dapur dengan membawa sepiring kuih karipap lalu diletakkan di atas meja.

"Makan Fir." Ujar Mama. Dia hanya mengangguk-angguk saja.

"Alhamdulillah. Lega abah dapat satukan kamu dan Sha. Abah sangat bersyukur dan gembira." Abah bersuara kemudiannya. Mama disisi hanya tersenyum.

"Syukur Alhamdulillah abah."

"Abah harap kamu dapat jaga dan didik Sha sebaiknya. Mama dan Abah tahu kamu boleh jadi suami yang baik untuknya."

"InShaaAllah abah. Annur dah jadi tanggungjawab Fir sekarang ni. Fir akan jaga dia macam Mama dan Abah jaga." Balasnya. Direnung wajah abah yang penuh pengharapan. Kedua-dua orangnya tersenyum lega.

"Sha dah tidur ke?" Soal Mama tiba-tiba sambil tersenyum.

Firdaus hanya tersenyum dan mengangguk. Dia juga sudah keletihan sebenarnya. Ramai juga orang yang hadir. Tak menang tangan Mama dan Abah melayan tetamu yang hadir. Lutfi dan teman-teman Annur Ayesha semua sudah pulang selepas majlis tadi. Saudara maranya yang tinggal jauh juga sudah pulang. Hanya tinggal keluarga Mak Long saja yang akan berangkat pulang esok.

"Hmm..Mama nak cakap sikit ni Fir. Fir tahukan Sha tu macam mana. Mama harap Fir banyakkan bersabar. Dugaan rumah tangga ni macam-macam. InShaaAllah..mudah-mudahan hati dia lembut. Mama dan Abah sentiasa doakan yang terbaik untuk kamu berdua."

Firdaus tersenyum. Dia faham dengan apa yang Mama cuba sampaikan kepadanya. Dia memang sudah masak benar dengan perangai Annur Ayesha. Tanggungjawabnya juga bertambah berat. Kalau dahulu dia menjaga Annur Ayesha seperti adiknya, sekarang sebagai isteri. Bukan mudah seperti yang disangka. Lagi pula, gadis itu tak menerimanya sebagai suami.

Selepas berbual beberapa ketika, Firdaus meminta diri untuk tidur. Dia juga sudah keletihan. Semasa melangkah ke dalam bilik dia lihat sekujur tubuh yang sedang lena diulit mimpi. Firdaus memerhatikan dekorasi bilik pengantin yang dihias indah. Dia tersenyum sendiri.

Suram cahaya lampu menimbulkan suasana romantis. Tanpa sedar dia merenung wajah Annur Ayesha. Pertama kali dia melihat gadis itu tanpa tudung dikepala. Rambut Annur Ayesha yang ikal dan panjang. Wajahnya yang polos dan lembut. Cantik. Perlahan tangannya mengusap dan membelai rambut gadis itu. Turun ke pipinya. Nampaknya gadis itu benar-benar letih, nyenyak sekali dia tidur. Firdaus tersenyum sendiri.

"Selamat malam, Annur. Abang sayangkan Annur kerana Allah." Ucap Firdaus perlahan. Ubun-ubun Annur Ayesha dikucup lembut. Sebentar sahaja gusar jika gadis itu tersedar. Dan kemudiannya, Firdaus terus memejamkan mata.

Cinta AnnurWhere stories live. Discover now