Bab 46

207 3 0
                                    

Sebulan berlalu. Hubungan Firdaus dan Annur Ayesha semakin keruh. Jurang diantara mereka semakin besar. Firdaus telah mengasingkan tempat tidur antara dia dan Annur Ayesha. Tinggal sebumbung tetapi seperti orang asing. Pulang dari kerja tempatnya hanyalah di dalam ruangan khas kerjanya.  Tanggungjawabnya sebagai seorang muslim, sebagai seorang suami entah ke mana. Annur Ayesha pula semakin sarat kandungannya. Hanya menunggu dan menanti hari untuk melahirkan buat dia semakin buntu dengan keadaan rumah tangganya sekarang.

Pernah dia cuba hendak berbincang secara baik dengan Firdaus hala tuju rumah tangga mereka, namun apa yang terjadi hanyalah perbalahan. Sudahnya, Annur Ayesha terpaksa berdiam diri, mengalah dan makan hati sahaja. Anak di dalam kandungan seolahnya mengerti saja apa yang dialami ibunya. Syukur dirinya sihat selama mengandung ini.

Hakim pula semakin rapat dengannya. Adakala bukan sengaja hendak bertemu pun. Tetapi ada saja terserempak di mana-mana. Tetapi yang pasti, tidak lah dia keluar berdua kerana Kak Hanim turut ada bersama. Hakim memahami keadaannya untuk elakkan fitnah berlaku pada mereka. Kadang-kadang ada juga mereka keluar bertiga bersama Dira seperti sebelum ini. 

Annur Ayesha ada lihat, Dira dan Hakim seperti semakin rapat. Tapi dia tidak mahu bertanya lebih, andai mereka ada jodoh apa salahnya. Dira juga sahabat baiknya sudah lama dia kenal hati dan budi. Dia bersyukur masih dikelilingi insan-insan sebaik Hakim dan Dira. Hakim yang dia kenal dulu bukanlah seperti yang dia kenal sekarang. Hakim nampak lebih matang sekarang segala perangai dan sifatnya sewaktu zaman belajar sudah lama ditinggalkan. Hakim benar-benar berubah, tidak tahu apa yang buat dia berubah sebegitu rupa.

Seminggu selepas kejadian di tapak parkir, Mama dan Abah ada datang menjenguknya dirumah. Apa yang mengejutkan Firdaus berlagak seperti tidak ada apa-apa yang berlaku antaranya suami isteri. "Lakonan" itu berjaya membuat Abah dan Mama percaya rumah tangga mereka hanya baik-baik sahaja. Annur Ayesha turut terpaksa "melakonkan" kemesraaannya suami isteri di hadapan Mama dan Abah. 

Tetapi dalam hatinya, walaupun begitu dia rasa sedikir syukur. Dia dapat merasakan Firdaus sebenar yang dia kenal, yang mengambil berat tentang dirinya seperti selalu. Sungguh dia rindu yang teramat sangat.

"Dah sarat sangat Sha ni, balik rumah mama nak?" soal Mama ketika mereka berempat sedang menikmati makan malam. Annur Ayesha memandang Firdaus, Firdaus merenungnya kembali.

"Tak apalah Mama. Mama jangan risau dari sini nak ke hospital tu tak jauh. Beberapa minit dah sampai. Fir boleh jaga Annur. Mama dah tak percaya pada Fir ke?" Soal Firdaus seolah-olah berjauh hati. 

Annur Ayesha hanya mampu mendiamkan diri. Mana tidaknya, sebelum Mama dan Abah datang awal-awal lagi sudah dipesan supaya tidak bercerita apa-apa. 

"Ish, bukanlah macam tu. Cuma sejak kebelakangan ni, Mama rasa tak sedap hati sangat. Mungkin perasaan mama saja." ujar Mama. Firdaus tersengih.

Abah Menyampuk.

"Biasalah mama ni, dah berjauhan dengan anak kesayangan macam itulah. Awak ni, pandailah Fir jaga isteri dia. Nanti dah bersalin dalam pantang awak jugak yang nak jaga dan membela anak dan cucu awak nanti." 

Annur Ayesha tertunduk. Di dalam hatinya meronta-ronta hendak bersetuju sahaja dengan cadangan Mama. Dia tidak sanggup lagi tinggal seperti orang asing bersama Firdaus. Mama...tolong Sha..

Mama merenung wajah Annur Ayesha lama. Hati seorang ibu...

"Mama janganlah risau. Nanti dah tiba masa Fir hantar ke rumah mama ya." Firdaus memujuk sambil menguis-nguis kaki Annur Ayesha. Dia tersentak.

"errr...ya ma. Ma jangan risau tau. Sha sihat je dekat sini. Abang pun jaga Sha baik-baik. Lagipun kesian pula abang kalau Sha tak ada dekat rumah nanti." 

Annur Ayesha menyakinkan Mama. Sudahnya Mama hanya mampu mengangguk perlahan. Firdaus tersenyum simpul.

* * *

Semasa di dapur, sebelum mama  dan Abah pulang..

Annur Ayesha sedang ralit mencuci pinggan. Mama pula membantu dia mengemas peralatan memasak tadi.

"Sha, kamu ada masalah kan? Mama bukan nak masuk campur urusan kamu berdua. Tapi, Fir dan Sha anak mama. Mama dah kenal dari kecil lagi. " Mama bersuara perlahan. Annur Ayesha terdiam. Pili air ditutup. Annur Ayesha mengesat tangan basahnya dan memusingkan badan ke arah mama sambil tersenyum manis.

"Alah mama, gaduh kecil suami isteri tu biasa kan? Mama pun tau. Mama janganlah risau tau. InshaaAllah sha okay je dengan abang." 

"Entahlah Sha, mama nampak sha macam tak happy je. Tengok air muka dah tahu."

"Mama, mungkin sebab Sha penat sejak kebelakangan ni. Rasa mengah dan penat sejak perut makin membesar ni." Annur Ayesha cuba berdalih.

Mama diam lalu menarik perlahan tangan Annur Ayesha.

"Mama tau. Tapi kalau ada apa-apa Sha kena ingat, mama dan abah sentiasa ada untuk Sha. Mama bagi ruang pada Sha untuk bertenang dan berfikir. Mama seorang ibu. Sha anak mama. Naluri seorang ibu ...sha pun akan rasa macam yang mama rasa juga nanti."

Hati Annur Ayesha rasa sebak. Ingin sahaja dia meluahkan segala-galanya pada mama. Maaf mama...situasi dan keadaan tidak mengizinkan sama sekali. Annur Ayesha menahan rasa di hati. Cuba berlagak tenang di hadapan mama. Mama, ketahuilah..Sha kuat kerana anak dalam kandungan ni! Sha lemah mama!

 Annur Ayesha tak berkata apa lagi lalu terus memaut tubuh mama erat. Mama membalasnya penuh kasih dan sayang.

Cinta AnnurWhere stories live. Discover now