BAB 3
CINCIN UNTUK SEROJA
"Awal akak bangun pagi ni...baru pukul 4 pagi..." Ujar Orked yang masih menguap beberapa kali sambil tangan kanannya menutup mulutnya yang ternganga luas itu. Matanya yang masih dikuasai kantuk dibesar celikkan beberapa kali. Dia bergerak ke sinki dapur dan membasuh mukanya dengan air paip.
Kelihatan Seroja, kakak sulungnya itu masih lincah di dapur, memasukkan bahan-bahan ke dalam kuali besar di atas dapur. Orked bergerak ke dapur dan memanjangkan lehernya untuk melihat sambal ikan bilis yang sedang dimasak oleh Seroja itu.
"Hmmm...bau sedap. Terus perut terasa lapar." Adu Orked sambil menjilat bibir. Terasa lapar secara tiba-tiba. Tangan kirinya turun mengusap perutnya yang sudah membulat itu.
"Baby dah lapar ya?" Seroja membongkokkan badannya sedikit, memastikan matanya sama aras dengan perut Orked yang sedang membesar itu. Dia mengukir senyuman lebar sewaktu matanya menatap perut Orked yang sudah mencecah lima bulan itu.
"Baby dah lapar maklong!" Balas Orked dengan suara halus, cuba mengajuk suara anak kecil. Segera Seroja mengekek ketawa dituruti gelak tawa Orked juga.
Seroja kembali meluruskan badan dan menyambung tugasannya yang tergendala sebentar tadi.
"Sekejap lagi masaklah sambal ikan bilis ni, Orked. Tunggu kejap ya." Seroja memberitahu Orked yang sudah berjalan ke arah meja yang terletak di penjuru dinding itu.
"Okay, akak." Orked melabuhkan punggungnya di atas kerusi dan tangannya mula mencapai daun pisang yang tersadai di atas meja. Segera dia membuka daun pisang dan mencarikkan daun pisang itu mengikut saiz yang bersesuaian untuk menjadi alas membungkus nasi lemak pagi nanti. Ini hari kedua mereka berdua bertungkus lumus menyiapkan juadah nasi lemak untuk dijual di bahu jalan, di depan Giant itu. Semalam, hasil jualan nasi lemak mereka agak lumayan.
Sementara Seroja masih ligat di dapur. Selesai memasak sambal ikan bilis, dia menggoreng telur mata dan juga ayam bersalut rempah di atas dapur pada masa yang sama. Tangannya lincah demi mengejar masa yang semakin suntuk itu.
Usai memasak, dia mula menyiapkan kelengkapan untuk bergerak ke tapak jualan yang baru ditemui di bahu jalan itu. Harapnya usahanya itu tidak diganggu pihak DBKL. Selesai menunaikan solat subuh dan berdoa panjang, Seroja sempat menjenguk ibunya yang masih berteleku di tikar sejadah itu. Dia menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan ibunya. Dia tunduk mencium belakang tangan ibunya sebelum menatap sinar mata ibunya itu.
"Ibu, Seroja pergi kerja dulu ya. Tolong doakan Seroja dapat jual banyak bungkus nasi lemak hari ni ya." Lirih suara Seroja memohon restu ibunya yang sudah lama mengalami sakit-sakit di sendi tuanya itu.
Cik Kuntum mengukir senyum nipis sambil menggosok bahu anak sulungnya itu, tanda merestui usaha Seroja untuk menyara hidup mereka sekeluarga di tengah kota raya itu.
"In sha Allah, ibu doakan Seroja. Seroja kena pandai jaga diri tau." Pesan Cik Kuntum lembut. Matanya tidak lepas menatap bening sinar mata Seroja, anak sulungnya yang banyak berkorban demi menampung perbelanjaan makan minum mereka sekeluarga. Terasa seketul air liurnya tersangkut di kerongkong tuanya secara tiba-tiba. Dia menolak rasa sebak dan sedih mengenang nasib malang anak gadisnya itu. 'Ya Allah, permudahkanlah hidup Seroja.' Doa Cik Kuntum di dalam hati.
"Seroja pergi dulu ya, ibu." Ujar Seroja sambil bangun berdiri meninggalkan ibunya itu sendirian, menjaga bapanya yang sudah demam dua tiga hari itu. Bapanya sudah lama berhenti kerja sebagai buruh kasar kerana masalah kesihatan. Sejak Seroja berumur 21 tahun, dia sudah membantu bapa dan ibunya mencari duit pendapatan demi meringankan bebanan kewangan yang mendesak kehidupan mereka. Demi menyara Orked, Iris dan Azran yang masih belajar di kolej dan sekolah menengah itu.
YOU ARE READING
Cincin Untuk Seroja (READY STOCK)
Lãng mạnSinopsis "Blurb" Cincin Untuk Seroja Wildan, CEO JK Holdings diberi kata dua. Berkahwin atau pun harta pusakanya diwariskan ke badan amal. Terdesak. Dia ingin menyunting Seroja, gadis penjual nasi lemak yang viral di media sosial itu. Sangkanya, sam...