BAB 4
CINCIN UNTUK SEROJA
Seroja mundar mandir di depan pintu bilik pembedahan. Abah sudah berada hampir dua jam di dalam dewan bedah untuk menjalani prosedur angiogram untuk mengenal pasti sama ada terdapat sumbatan di dalam salur darah jantung. Dia semakin tidak senang duduk. Hatinya amat resah, bimbangkan keadaan abah yang sedang bertarung nyawa itu. Sesekali dia mengeluh nafas kecewa. Kecewa kerana abah selalu merokok sejak zaman muda lagi. Ditambah pula dengan penyakit tekanan darah tinggi, diabetes dan faktor umur yang semakin meningkat, abah memang telah mengalami serangan jantung sebelum ini. Kali ini, keadaan mungkin saja semakin teruk.
Mata Seroja tidak lepas memandang daun pintu bilik bedah yang masih kaku tidak bergerak itu. Terasa kolam air matanya sudah hampir pecah. Namun, dia mengebam bibir dan menarik nafas dalam. Sesekali bebola matanya mengerling jam di tangan. Iris yang dihubungi dua jam lepas masih belum menunjukkan wajah. Jarum jam sudah menginjak ke pukul 2 pagi. Sekali lagi pandangannya ditala ke arah pintu bilik bedah sebelum dia kembali meneruskan langkah ke hulu ke hilir. Langkahnya tiada arah tuju. Hatinya bergetar tanpa irama. Rasa takut juga turut bertandang ketika memikirkan nasib abah sekarang.
"Akak, duduklah dulu. In sha Allah, abah akan sihat." Suara garau Hazeem, adik iparnya itu berjaya membuatkan Seroja menghentikan langkah mundar mandirnya itu.
"Akak takutlah Hazeem..." Seroja memandang anak mata Hazeem yang duduk menunggu di atas kerusi di luar bilik bedah itu. Sinar matanya kelihatan resah seperti Seroja juga, namun cuba ditutup dengan ketenangan di raut wajahnya.
"Jangan risau akak...kita kena yakin dengan doktor. Mereka akan buat yang terbaik." Hazeem cuba meniup kekuatan kepada Seroja.
Seroja menarik nafas dalam, mencari kekuatan di dalam diri yang sudah tinggal sedikit itu. Dia perlu kuat, demi keluarga tercintanya. Dia perlu kuat demi ibu, Orked dan ahli keluarganya yang lain. Mujurlah Hazeem, adik iparnya itu banyak membantu. Dia amat berterima kasih kerana prosedur angiogram yang hampir mencecah sepuluh ribu ringgit itu ditanggung oleh Hazeem. Pemuda itu telah membuat pinjaman dengan adik beradiknya untuk memastikan abah akan mendapat rawatan yang diperlukannya. Namun, Seroja sedar, tanggungjawab itu tidak sepatutnya disandang oleh Hazeem. Sudah banyak budi yang ditabur oleh Hazseem di dalam hidup mereka. Lelaki itu benar-benar mencintai Orked. Kerana cintanya, dia sanggup berkorban dan berbudi dengan keluarga Seroja yang selalu dihimpit masalah kewangan dan kesihatan itu. Sekali lagi Seroja menarik nafas panjang dan dihembus perlahan-lahan. Dia kembali memanjat doa agar abah akan berjaya diselamatkan. Air mata yang bertakung ditubir mata disapu dengan jemari runcingnya.
Sesaat kemudian, pintu bilik bedah terbuka luas. Kelihatan seorang doktor separuh abad keluar menuju ke arah mereka berdua.
Segera Seroja dan Hazeem meluru ke arah doktor yang berwajah tenang itu. Mungkin dia sudah lali berdepan dengan kes-kes penting seperti kes ayahnya itu.
"Doktor... bagaimana keadaan abah saya?" Laju Seroja melontar soalan yang mengasak benaknya. Terasa nafasnya cukup singkat menanti jawapan dari mulut Doktor Aziz.
"Saya mintak maaf puan, encik... kita perlu berbincang dengan lebih lanjut tentang hal ini." Dengan suara yang amat tenang, Doktor Aziz memberitahu mereka berdua. Hampir gugur jantung Seroja mendengar lafaz maaf yang dituturkan oleh doktor di depannya itu. Setitis air matanya keluar daripada empangannya.
"Tapi...abah saya selamatkan, doktor?" Usul Seroja dengan perasaan yang cukup cemas sekali. Terasa beku, kebas seluruh urat sarafnya secara tiba-tiba.
"Ya. Alhamdulillah dia masih selamat. Sila ikut saya. Kita perlu berbincang tentang hasil prosedur tadi." Di saat syukur diucap oleh Doktor Aziz, barulah Seroja mampu menarik nafas lega. Bibirnya terkumat kamit turut melafazkan rasa syukur ke hadrat Ilahi. Kelihatan Hazeem turut menghela nafas lega. Segaris senyuman nipis terukir di bibirnya.
YOU ARE READING
Cincin Untuk Seroja (READY STOCK)
Любовные романыSinopsis "Blurb" Cincin Untuk Seroja Wildan, CEO JK Holdings diberi kata dua. Berkahwin atau pun harta pusakanya diwariskan ke badan amal. Terdesak. Dia ingin menyunting Seroja, gadis penjual nasi lemak yang viral di media sosial itu. Sangkanya, sam...