Bab 38

271 35 10
                                    




BAB 38


"Seroja, jom ikut Mak Su ke rumah Wil. Ada hal penting katanya. Pasal Rania." Mak Su mengeluh resah setelah mematikan talian telefonnya sebentar tadi. Mereka berdua berada di butik bagi menyiapkan persiapan terakhir majlis perkahwinan si anak dara di depannya itu.

"Err... Rania? Kenapa dengan Rania?" Berlapis-lapis dahi Seroja memikirkan si anak remaja yang begitu gedik dan secara terang-terangan menggatal dengan tunangnya itu. Kesannya, berhari-hari dia merajuk dan marah dengan Wildan. Sampai sekarang masih belum berbaik semula sepenuhnya. Cemburunya membara hebat di dasar hati. Dirasakan Wildan perlu tegas menolak godaan Rania itu. Tapi sayangnya, si teruna berpendapat tuduhannya itu langsung tidak berasas saja.

"Entah. Katanya ada masalah sikit dengan Rania. Jadi dia mahu Mak Su ke sana sekarang jugak. Seroja nak ikut Mak Su?" Soalan Mak Su kembali menarik Seroja ke alam realiti. Dia mengangguk kepala laju, tidak ingin menolak peluang untuk mengetahui cerita sebenar. Apakah masalah yang terjadi di antara Rania dan Wildan? Kenapakah gadis cilik itu pergi ke rumah Wildan pada waktu malam? Benaknya sudah memikirkan perkara yang bukan-bukan. Mula sangsi dengan personaliti Wildan. Adakah lelaki itu sebenarnya kaki perempuan? Sumbu api cemburunya semakin marak menyala di dada.

Mereka berdua bergerak ke rumah Wildan dengan menaiki kereta yang dipandu Mak Su. Sepanjang perjalanan, Mak Su membebel-bebel tentang perangai Rania. Seroja hanya memasang telinga. Tidak berani menyampuk bimbangkan kemarahan Mak Su semakin menjadi-jadi pula.

Setibanya mereka berdua di depan pintu rumah Wildan, lelaki itu segera membuka pintu rumahnya seluas-luasnya. Di saat pandangannya bersatu dengan Wildan, mulut lelaki itu tergamam kelu memandang dirinya yang terpacak di depan pintu. Mak Su menonong melangkah masuk ke dalam rumah tanpa menunggu pelawaan Wildan.

"Seroja...macam mana awak boleh datang...?" Gugup suara Wildan menyapa Seroja yang sedang menikam anak matanya itu dengan pandangan berapi-api. Sebal sungguh perasaannya kini. Sudahlah masalah si Rania belum selesai, kini ditambah pula dengan kehadiran Seroja. Semakin merumitkan masalah yang sedia ada.

"Mak Su yang ajak. Kami berada di butik semasa awak telefon Mak Su tadi." Dingin suara Seroja menjawab soalan tunangnya itu. Matanya masih mencerlung geram menikam sepasang mata Wildan yang kelihatan agak resah gelisah itu. Apa yang cuba disembunyikan oleh lelaki itu?

"Err... jom masuk." Wildan berbasa-basi mengajak Seroja dengan perasaan yang berbelah bahagi. Jauh di sudut hati, dia sudah dapat mengagak ribut taufan yang bakal melanda. Tunggu masa saja sebelum tunangnya itu akan meletup marah.

Seroja membontoti langkah kaki Wildan menuju ke ruang tamu. Hampir tersembul biji matanya di saat pandangannya jatuh ke arah tubuh Rania yang sedang terbaring longlai di pangkuan Mak Su itu. Kelihatan Mak Su sedang berusaha untuk menyedarkan anak gadisnya itu dengan menepuk-nepuk pipi Rania.

"Wil, apa yang jadi dengan Rania ni?" Resah suara Mak Su bertanya sambil matanya mula naik mencari sinar mata Wildan.

"Huh... Rania minum ubat tidur." Wildan menggaru kepala resah sebelum menyimpul bibir tanda geram.

"Apa? Apa yang kamu dah buat Wildan? Sampai hati kamu buat Rania macam ni!" Mak Su mula membuat kesimpulan sendiri. Fikirannya mula diasak prasangka buruk yang telah terjadi antara dua orang insan paling disayanginya itu. Anak matanya mula menghukum Wildan, membuatkan lelaki itu mengeluh resah. Sebelah tangan Wildan naik bercekak pinggang diikuti sebelah tangan lagi naik mengurut dagunya beberapa kali.

"Dengar dulu Mak Su. Rania datang rumah saya kononnya ada masalah cinta. Lepas tu dia mengadu dahaga. Dia ajak saya minum air jus oren tu tapi saya tak minum. Selepas dia minum air jus tu, tiba-tiba saja dia jatuh terjelepuk ke lantai." Wildan bersuara tegas membela dirinya. Dapat dirasakan panahan mata Mak Su yang bagaikan mula menaruh syak wasangka itu. Itu belum dikira pandangan tajam milik Seroja yang dirasakan tembus menembusi tempurung kepalanya. Hatinya semakin resah dan gelisah dengan apa yang telah terjadi.

Cincin Untuk Seroja (READY STOCK)Where stories live. Discover now