Bab 13

570 43 4
                                    


BAB 13


BUNTANG mata Seroja memandang susuk tubuh tinggi adiknya itu. Mulutnya masih membentuk huruf 'O' tidak percaya dengan kehadiran adiknya di depan matanya itu. Bukankah Azran masih di lokap? Siapa yang ikat jamin adik? Pelbagai persoalan mula mengetuk mindanya. Namun, soalannya itu terbang melayang sewaktu Azran menarik tangan kanannya dan mengucup lembut belakang tangannya.

"Akak, Azran mintak maaf. Azran banyak buat salah. Maafkan Azran ya." Lirih adik bongsunya memohon ampun dan maaf. Terasa panas belakang tangan Seroja disirami air mata penyesalan adik bongsunya itu.

Azran mengangkat wajah dan turut membalas pandangan Seroja. Air matanya masih setia membasahi pipinya. Jelas terpamer segulung penyesalan di raut mukanya. Simpati dan kasih di hati Seroja melimpah ruah tanpa batasan di saat matanya menatap raut wajah adiknya itu. Kedua tangannya naik meraup kedua pipi adiknya itu dengan kelopak mata mula digenangi air mata gembira. Bergetar bibirnya menahan sendu yang ingin keluar dari mulutnya. Sungguh dia tidak percaya, keajaiban terjadi di dalam hidupnya.

"Azran! Alhamdulillah kau dah bebas." Lantas dia memeluk erat tubuh Azran dan melepaskan esakan yang ditahannya tadi. Lama dia memeluk tubuh adiknya melepaskan rasa sedih dan risau yang sering menghambat dirinya. Di celah-celah kekalutan, di saat abah terlantar di wad hospital, dia tiada kudrat untuk mencari duit demi membayar wang ikat jamin sehingga adiknya itu terpaksa bermalam di lokap polis.

Dia merungkai pelukannya dan menatap wajah Azran yang mula menghadiahkan senyuman nipis untuknya. Hatinya semakin bersimpati tatkala air mata Azran mengalir di pipi. Segera tangan kanannya naik mengesat air mata di pipi adiknya itu.

"Azran orang lelaki. Kena kuat. Dah jangan menangis." Pujuk Seroja lembut, persis memujuk anak kecil saja lagaknya.

"Habis, akak menangis tak apa pulak?" Azran mengesat rembesan air matanya dengan belakang tangan. Sekali lagi dia cuba mengukir senyuman nipis, cuba menutup segunung penyesalan yang berhimpun di dasar hatinya itu.

"Haha. Akak perempuan. Kau tu lelaki, adik!" Tukas Seroja separa tertawa sambil tangannya turut naik mengesat air mata yang masih basah di pipinya. Setelah dirasakan perasaannya semakin reda, dia kembali menatap sepasang mata adik bongsunya itu.

"Macam mana kau boleh keluar lokap? Siapa tolong bayar duit ikat jamin?" Soalan itulah yang ingin ditanyakan kepada Azran. Siapakah yang sanggup membayar duit ikat jamin untuk membebaskan Azran? Adakah Iris sudah sudi membantu Azran yang di dalam kesusahan? Benaknya sedari tadi ditujah beribu soalan. Kelihatan berlapis dahi Azran bagaikan tidak percaya dengan soalan yang ditanya oleh Seroja itu.

"Eh, takkan akak tak tahu? Tunang akak yang tolong bayar duit ikat jamin." Jawapan Azran membuatkan mulut Seroja ternganga luas. Kini dia pula yang diserbu rasa kurang percaya. Dia menelan air liur yang terasa berpasir secara tiba-tiba. Sementara si Azran terkebil-kebil melihat reaksi Seroja.

"Apa? Err...maksud kau si Wildan tu?" Barulah Seroja mampu bertanya, mencari kepastian setelah otaknya dapat mencerakin jawapan padu Azran sebentar tadi.

"Ya. Pagi tadi ada pekerja JK Holdings bayar duit tu. Apabila adik tanya siapa yang suruh bayar, dia cakaplah tunang akak yang arahkan." Azran mengangguk kepala dan mula bercerita dengan lebih lanjut tentang kebaikan yang dilakukan oleh Wildan. 

Kini, fikiran Seroja terasa semakin berserabut. Sandiwara apakah yang sedang digarap oleh Wildan sekarang? Kenapa dalam sekelip mata saja Wildan hadir di dalam setiap aspek hidupnya? Kenapa lelaki itu begitu senang saja mencampuri urusan penting di dalam hidupnya?. Bukannya dia tidak tahu untuk berterima kasih, namun nalurinya cukup kuat mengatakan bahawa lelaki itu ada agenda tersendiri. Cuma dia saja yang tidak dapat membaca maksud tersirat di dalam hati Wildan.

Cincin Untuk Seroja (READY STOCK)Where stories live. Discover now