BAB 21

284 31 8
                                    

           

BAB 21

CINCIN UNTUK SEROJA

SI GADIS terbaring lesu di atas katil usangnya sambil matanya sedari tadi menilik cincin berlian yang kembali tersarung di jari manisnya itu. sekali lagi dia mengeluh resah. Dia rasa cukup terperangkap dengan keputusannya itu. Ibu bapanya dan Tan Sri Jalil menyangka dia menerima lamaran Wildan kerana suka sama suka. Tapi semuanya itu hanyalah dusta. Dia menerima tawaran Wildan untuk menjadi isteri upahan demi membiayai pembedahan abah sementara si pemuda perlukan dirinya untuk mewarisi harta pusakanya. Jadi dia akan berlakon sebagai isteri Wildan selama 15 bulan demi melangsaikan hutangnya kepada Wildan sebanyak RM150k itu.

            Sesungguhnya bukan ini yang Seroja impikan sebelum menamatkan zaman bujangnya. Dia mengimpikan perkahwinan yang dipenuhi rasa cinta dan harapan. Tapi keputusannya ini bakal memakan dirinya sendiri. Resah memikirkan masa depannya itu, setitis air matanya gugur jua membasahi pipinya. Sebenarnya dia sudah penat menangisi nasib diri sebelum menerima tawaran lumayan yang dibuat oleh Wildan itu. Kelmarin, dia secara rasminya menjadi tunang Wildan. Di atas persetujuan bersama antara Seroja dan Wildan, mereka akhirnya bertunang di dalam majlis yang cukup kecil saja. Tiada majlis meriah seperti orang zaman sekarang bertunang. Dia lebih senang begitu kerana dia tahu majlis pertunangan itu hanya 'olok-olok' saja. Namun, kekadang dia sedikit tidak faham dengan ketawa riang si pemuda bagaikan dia memang ingin benar menyunting dirinya sebagai pasangan hidup lelaki itu. melalui lirikan mata pemuda dan senyuman mesra lelaki itu, dia hampir terlupa, hubungan yang tercipta itu adalah tidak bermakna apa-apa bagi lelaki itu. berkali-kali dia cuba mengingatkan diri, dia berbuat semua perkara ini demi menyelamatkan abah. Namun, jauh di sudut hati dia inginkan sesuatu yang lebih bermakna di dalam hidupnya.

            Kepalanya terasa sakit mencucuk-cucuk, mungkin kerana sudah beberapa hari dia sudah tidak cukup tidur sejak kebelakangan ini. Sejak pemuda itu membuat tawaran lumayan itu, sejak itulah Seroja tidak dapat tidur lena. Kini, seluruh tubuh badannya terasa cukup lenguh di setiap urat sendinya. Dia cuba untuk bangun berdiri, namun dunianya dirasakan berputar tiba-tiba. Pandangannya kabur dan berpinar-pinar. Dia terduduk lemah sambil memicit kepala beberapa kali. Lantas, dia memanjangkan tangan untuk mencari ubat panadol di dalam beg sandangnya. Laju dia menelan dua biji panadol dan kembali membaringkan badannya. Dia meraba dahinya dan menghela nafas berat. Dia tahu, tubuhnya lemah kerana diserang demam. Dia hanya perlukan rehat untuk kembali pulih seperti sedia kala.

            Lama dia tertidur sehinggalah dikejutkan oleh tangan ibunya. Kepalanya masih terasa berat untuk bangun dan menyahut seruan ibu. Dia kembali terlelap sebelum disedarkan oleh tuala lembap yang diletak oleh ibu di atas dahinya itu. Dunianya kembali gelap gelita dan dia kembali menyambung tidur yang panjang.

            "Seroja, bangun sayang. Pergi klinik..." Cik Kuntum menggoncang tubuh anaknya beberapa kali. Dia mengeluh hampa setelah mencuba beberapa kali. Sedari petang tadi dia cuba mengejutkan Seroja daripada tidurnya itu agar anaknya pergi ke klinik terdekat. Suhu panas di badan Seroja itu membuatkan Cik Kuntum semakin risau sekali. Kali ini, dia mencuba sekali lagi. Namun, masih tidak berjaya. Lalu dia bergerak ke ruang tamu untuk berdepan dengan tunang Seroja. Kelihatan Wildan resah menunggu di ruang tamu.

           

"Ibu, macam mana keadaan Seroja?" Panik sungguh muka Wildan melihat raut wajah bakal ibu mertuanya itu. adakah sesuatu yang buruk telah menimpa diri Seroja? Hampir putus nafasnya tatkala mendengar berita Seroja demam panas dan tidak bangun sejak petang tadi. Tanpa berfikir panjang dia terus memecut keretanya ke arah kediaman Seroja.

            "Dia demam panas tu. Huh, dah puas ibu cuba kejutkan dia sejak petang tadi, tapi dia masih tak sedar lagi." Ulas Cik Kuntum dengan suara yang amat risau sekali.

Cincin Untuk Seroja (READY STOCK)Where stories live. Discover now