Bab 10

738 51 6
                                    


BAB 10


WILDAN tersenyum nipis melihat aksi marah Seroja di sebelahnya. Segera tangannya membebaskan jemari runcing Seroja. Sesungguhnya, jantungnya berdegup kencang bagai ingin melompat keluar dari sangkarnya. Rasa bergetar tulang rusuknya kerana dapat berdepan dengan gadis yang telah mencuri hatinya sejak di bangku sekolahj itu. Dia berdehem beberapa kali dan menyorong bingkai cermin matanya naik ke atas pangkal hidung. Namun, bebola matanya masih tidak mampu dilarikan daripada terus mengamati raut wajah yang amat dirinduinya itu.

Sementara Seroja meluruskan pandangannya ke depan. Dia mengengsot, menjarakkan diri daripada terus berada rapat di sisi Wildan. Mukanya memerah menahan marah dan sakit hati. Jelas dia tidak suka dilayan sebegitu rupa oleh pemuda itu. Suasana kembali sunyi dan sepi. Hanya kedengaran helaan nafas yang mengisi ruang yang dikongsi mereka.

Sampai di depan sebuah butik terkenal di tengah-tengah kota raya, Wildan mula menapak keluar. Belum sempat dia bergerak ke sebelah sana untuk membuka pintu kereta, Seroja sudahpun keluar dari perut kereta. Dia menyandang beg sandang ke bahu kanannya.

Di saat mata Wildan menangkap tindakan Seroja yang sudah mengorak langkah untuk pergi meninggalkan dirinya itu, segera dia memanjangkan langkah mengejar derap langkah Seroja. Beberapa derap melangkah, dia sudahpun menyaingi langkah Seroja.

"Seroja, awak nak pergi ke mana?" Soal Wildan sedikit cuak. Kedua tangannya menyeluk poket seluar. Matanya tidak lepas memandang wajah memerah gadis itu.

"Huh. Balik rumahlah. Buat apa saya duduk kat sini lagi? Saya ada banyak kerja nak buat!" Seroja mendengus marah sambil berjalan lurus ke depan. Dapat dirasakan pemuda itu masih berada di sebelahnya, menyaingi setiap langkah kakinya itu.

"Tapi Seroja, saya perlukan awak untuk temankan saya ke majlis resepsi tu." Wildan masih bersungguh-sungguh untuk mengajak Seroja ke majlis resepsi perkahwinan teman rapatnya itu. Masa sudah semakin suntuk. Dia perlukan Seroja sebagai calon isterinya. Dia perlukan Seroja untuk menyelamatkan dirinya dan masa depannya daripada terus berada di bawah telunjuk datuknya itu. Dia perlukan Seroja untuk melengkapi hidupnya. Harapannya untuk menggapai cinta pertamanya itu sudah kembali berbunga sejak ketemu Seroja.

"En. Wildan, CEO JK Holdings." Sementara si gadis mengeluh resah. Rimas dan gelisah dikejar lelaki yang tidak dikenalinya itu.

"Ya, saya." Sahut Wildan ceria. Bibirnya tidak lekang menguntum senyum. Bersinar-sinar matanya menari keriangan biarpun dia sedar nada suara Seroja masih berbaur amarah dan geram.

Seroja mencemik bibir tanda sedikit jengkel dengan keceriaan yang terpamer di wajah pemuda itu. Dia memberhentikan langkahnya dan merenung tajam muka Wildan. Si pemuda turut berhenti dan berpaling menghadap dirinya. Sepasang mata lelaki itu berkedip-kedip memandang wajahnya.

Sekali lagi Seroja mengeluh kasar. Dia menyilang tangan ke dadanya.

"Buat pengetahuan awak, saya tak ada niat sebesar kumanpun untuk temankan awak. Saya tak tahu apa tujuan awak mengaku saya ni sebagai kekasih awak, tunang awak. So, back off. Saya nak balik." Serius suara Seroja sedikit kasar menerjah pendengaran Wildan. Terasa bulu roma di belakang lehernya menegak naik berdiri. Cuping telinganya memerah, air mukanya berubah. Tidak pernah ada orang lain yang berani bercakap kasar dengannya sejak dia menyandang jawatan CEO JK Holdings. Semua orang menghormati dirinya. Air mukanya mula berubah keruh. Dua keningnya mula berkerut, hampir bersatu dengan pasangannya. Sepasang matanya yang tadinya memancar sinar bahagia menjadi malap serta merta. Dia mengacip rahang bawah dan bercekak pinggang.

Cincin Untuk Seroja (READY STOCK)Where stories live. Discover now