Bab 7

608 46 5
                                    


BAB 7

Seroja melangkah masuk ke wad ICU yang menempatkan bapanya dengan perasaan yang bercampur aduk. Otaknya masih dibelenggu isu kewangan dan memberat dengan masalah kesihatan bapanya itu. Di saat matanya singgah ke arah wayar yang berselirat, mulut dan hidung abah yang ditekup dengan alat oksigen itu, jantungnya terasa berhenti berdegup buat seketika. Dia menarik nafas dalam sambil menggagahkan diri merapati tubuh bapanya yang terbaring lemah di atas tilam.

Berkaca-kaca matanya tatkala dia melihat wajah tua ayahnya itu. Tangan kanannya mencapai tangan abah yang dikepit dengan alat berserta wayar, mungkin saja bertujuan untuk mengawasi keadaan bapanya itu. Dia meramas lembut tangan kasar bapanya yang sedang tidur itu, masih agak lemah sejak menjalani prosedur angiogram beberapa hari lepas. Menurut doktor kondisinya sudah agak stabil, tetapi masih perlukan pengawasan rapi. Lama dia termenung melihat wajah uzur bapanya itu sebelum melangkah keluar dengan hati yang cukup berat.

Kelihatan Orked dan ibu sudah setia menanti giliran untuk melihat kondisi ayahnya itu. Jelas terpamer raut bimbang dan risau di wajah mereka berdua.

"Ibu jangan risau, ya. Keadaan abah semakin stabil. In sha Allah." Pujuk Seroja sambil memeluk tubuh ibunya yang kelihatan amat bimbangkan keadaan abah itu. Tangannya menggosok belakang badan ibu beberapa kali, cuba menghantar kekuatan ke dalam diri ibu. Ibunya merungkai pelukan Seroja dan mengagguk kepala beberapa kali.

"Syukur, alhamdulillah." Lemah suara ibu bersuara, menggambarkan rasa hatinya yang masih risaukan keadaan abah itu. Seroja menatap sinar mata ibunya yang berkaca-kaca itu sekejap sebelum tangannya naik mengesat titisan air mata yang membasahi pipi ibunya. Sekali lagi dia merangkul rapat tubuh kurus ibunya erat, sebagai tanda sokongan semuanya akan selamat selepas ini.

Dia merungkai pelukan di tubuh ibu dan kemudiannya berpaling menghadap Orked yang masih setia berdiri di sebelah ibu sedari tadi.

"Orked, kau masuk teman ibu ya. Akak gerak balik dulu." Ujar Seroja, meninggalkan pesan kepada adiknya itu.

"Ya akak, jangan risau. Kami akan tunggu abah kat sini. Petang nanti kau tukar giliran dengan aku, ya." Orked mengangguk kepala sambil meramas tangan kanan Seroja. Jelas terpamer riak bimbang bersalut keletihan di wajahnya itu. Pandangan Seroja jatuh ke arah perut buncit Orked itu sebelum kalih pandang meneliti muka adiknya seketika. Dia sedar Orked tidak cukup tidur kerana menolongnya memasak nasi lemak untuk dijual Seroja nanti. Langsung tidak terlintas di fikirannya untuk membuka gerai nasi lemak kerana keadaan tidak mengizinkan. Dia ingin menjaga abah di wad hospital. Namun, mendengar usul Orked agar dia meneruskan jualan nasi lemaknya jika dia ingin memastikan pelanggan tidak akan lari daripada gerainya yang baru bertapak itu.

"O.K, Orked. Ha, nasi lemak yang kau buat tu kau dah letak dalam bonet kereta ke?" Seroja menyoal Orked untuk mencari kepastian. Maklumlah tadi sedikit kalut bercerita tentang kondisi abah sehingga tidak sempat bertanya tentang butir terperinci yang perlu diketahuinya itu.

"Dah, akak. Tinggal kau pergi jual je. Nah, kunci kereta." Orked memberitahu sambil mengukir senyuman nipis serta menghulurkan kunci kereta kepada Seroja. Seroja menyambut kunci kereta dengan disertai dengan senyuman nipis juga. Sedar, mereka perlu kuat untuk meneruskan kehidupan. Sudah tiga hari abah ditahan di ICU. Keadaannya masih tidak banyak berubah.

***

Jemari kasar milik Wildan mengetuk meja kerjanya bertalu-talu tanpa irama sambil sebelah lagi tangannya memicit pelipis beberapa kali. Sesekali anak matanya naik memandang wajah ketat berkerut milik Tariq di depannya itu.

"Jadi apa yang kau dapat tahu pasal Seroja?" Kasar suara Wildan menyoal pembantunya yang berdiri kaku di depannya itu. Sungguh emosinya tidak menentu sejak dihantui bayangan gadis bernama Seroja yang cantik menawan itu. Jelas dia sudah gila bayang rindu untuk bertemu dengan gadis itu.

Cincin Untuk Seroja (READY STOCK)Where stories live. Discover now