BAB 12
SEROJA melangkah keluar dari dewan SDCC dengan azam penuh di dada. Dia tidak mahu terlibat dengan lakonan dan sandiwara golongan kelas atasan. Dia sedar dia perlu berdepan dengan realiti kehidupan. Masalah di dalam hidupnya sudah cukup berat. Dia perlu mencari duit untuk membiayai pembedahan abah. Dia tidak ingin bergantung kepada ihsan dan simpati orang lain. Apatah lagi jika simpati itu datangnya daripada Wildan, lelaki yang memiliki beribu muslihat disebalik pertolongannya itu. Naluri Seroja cukup kuat mengatakan bahawa Wildan mempunyai agenda tersendiri sewaktu lelaki itu membayar bil hospital abah. Tapi, Seroja masih belum ketemu jawapan kenapakah pemuda itu tega mengaku dirinya sebagai tunang?
Apakah muslihat sebenar pemuda itu? Betulkah Wildan cintakan dirinya sejak di bangku sekolah lagi? Argh. Mustahil! Seroja menggeleng kepala beberapa kali, menolak kemungkinan yang sudah pasti tidak akan terjadi di dalam hidupnya itu. Dia amat sedar, cinta datang dan juga pergi. Perasaan itu tidak akan kekal seperti yang didambakan oleh semua insan di dunia. Jadi mustahil Wildan mencintainya sejak di bangku sekolah lagi. Itu semuanya ilusi dalam fantasi. Cinta tampak begitu indah kerana hanya cinta yang memberi harapan kepada manusia.
Hakikatnya cinta itu akan berakhir juga. Tidak akan kekal buat selamanya. Semua hakikat itu sudah dipelajarinya sewaktu impiannya untuk ke jinjang pelamin hancur bersama pudarnya cinta Imran terhadapnya. Hampir lima tahun bersama mengharungi suka duka sebagai pasangan kekasih, pemuda itu semakin hari mencipta ruang dan jarak dengannya. Pada mulanya dia tidak pernah mengesyaki apa-apa. Dia masih setia mencintai Imran.
Namun, semuanya hancur tatkala Imran meminta perpisahan daripadanya. Alasan Imran ialah dia sudah tidak cintakan Seroja. Lelaki itu sudah jatuh cinta dengan gadis dari keturunan orang berada. Sewaktu pertengkaran mereka, barulah dia tahu Imran sebenarnya memandang rendah status keluarganya yang miskin itu. Sungguh dia tidak menyangka, kekasih yang disangkanya sanggup berkongsi segala rasa sanggup menghina dirinya dan keluarganya. Patutlah setiap kali berjumpa dengan ahli keluarga Imran, mereka selalu saja menyindirnya.
Sangkanya cinta akan dapat mengatasi segalanya. Namun, itu hanyalah fantasi. Realitinya cukup pahit sekali. Dia sedar di mana dia berdiri di muka bumi ini. Dia sedar dia tidak mungkin diterima di dalam hidup golongan orang kaya. Maka, dia nekad, dia perlu mengukuhkan benteng hatinya. Dia tidak akan membenarkan Wildan menarik dirinya di dalam kancah sandiwara lelaki itu.
Lantas dia meneruskan langkah kakinya berjalan menyelusuri bahu jalan. Sesekali dia menekan telefonnya, menanti keajaiban akan terjadi. Dalam kekalutan, dia terlupa untuk menambah nilai prepaid telefonnya. Di saat genting itulah, semua benda kecil itu terjadi. Dia tidak dapat menelefon sesiapa. Hendak menaiki teksi pula, beg sandang dan purse tertinggal di dalam perut kereta Wildan. Jadi, dia terpaksa meneruskan langkah. Bukannya tidak ada mamat motor yang menegur dirinya yang sedang berjalan di tengah panas itu, namun dia buat bodoh saja. Dia mengabaikan usikan dan ajakan lelaki-lelaki gatal itu. Peluh mula merecik membasahi mukanya. Tumit kakinya sudah berasa sakit. Maklumlah dia tidak biasa memakai kasut tumit tinggi seperti itu. Hendak berjalan kaki ayam, dia tidak sanggup kerana jalan tar itu amat panas. Boleh membakar seluruh tapak kakinya. Dia mengetap bibir dan meneruskan langkahnya.
Dia tidak tahu sejauh mana dia telah berjalan. Tiba-tiba, ada hon yang kedengaran di belakangnya. Dia hanya mengabaikan saja bunyi hon itu. Kemudian, dia mendengar ada derap langkah orang menghampiri dirinya. Dia mula panik. Adakah Wildan sudah menemui dirinya? Dia mengetap bibir bawah sebelum memalingkan wajah mencari siapakah orang yang sedang mengekori dirinya. Matanya terpaku di saat terpandang senyuman lebar seorang lelaki yang amat dikenalinya itu. Dia turut tersenyum membalas senyuman lelaki itu.
YOU ARE READING
Cincin Untuk Seroja (READY STOCK)
RomanceSinopsis "Blurb" Cincin Untuk Seroja Wildan, CEO JK Holdings diberi kata dua. Berkahwin atau pun harta pusakanya diwariskan ke badan amal. Terdesak. Dia ingin menyunting Seroja, gadis penjual nasi lemak yang viral di media sosial itu. Sangkanya, sam...