Bab 5

639 48 3
                                    



BAB 5

CINCIN UNTUK SEROJA


KAKI panjang Wildan menapak ke bilik studi datuknya itu. Dia terpaksa menghadap amarah datuknya kerana dia telah mematahkan sekeping hati Azalea semalam. Huh! Nampak gayanya terpaksalah Wildan menadah telinga mendengar bebelan dan ugutan keras datuknya itu nanti. Dia berhenti sejenak di depan muka pintu bilik studi datuknya untuk mempersiapkan diri membela nasibnya. Apa yang pasti, keputusannya tidak akan berganjak. Dia nekad tidak akan mengikut telunjuk datuknya di dalam hal kerja kahwin dirinya itu. Dia menolak daun pintu bilik studi datuknya itu dengan keyakinan penuh di dada.

Di saat matanya singgah memandang muka masam mencuka datuknya itu, keyakinan yang menggunung di dalam dirinya mula menurun sedikit demi sedikit. Terasa kecut perutnya melihat sorotan tajam sinar mata datuknya yang sudah berapi-rapi itu.

"Err... Assalamualaikum, datuk... sihat?" Wildan cuba berbasa-basi dan berlagak selamba, biarpun hanya tuhan yang tahu debaran di dalam dadanya itu. Sepasang mata datuknya masih mencerlung tajam ke arahnya bagaikan mahu menelan dirinya saja. Dia menelan air liur kelat. Terasa kecut perutnya berdepan dengan datuknya yang bermuka merah padam itu.

"Atuk tak suka perangai kamu sekarang, Wil! Berapa lama kamu nak lawan cakap atuk?" Mendengar suara tinggi datuknya itu membuatkan Wildan mula berkisar tempat duduk. Dia membetulkan duduk di sofa empuk itu sambil menelan air liur kesat. Rasanya dia tidak pernah memandang raut wajah datuknya yang amat marahkan dirinya itu.

"Err... Wil memang tak ada perasaan istimewa untuk Azalea." Dia masih berani berterus terang dengan datuknya itu. Cinta bukannya boleh dipaksa sesuka hati.

"Memanglah kamu tak ada perasaan kepada gadis tu kalau kamu tak sudi pun nak pandang muka dia. Spend masa dengan dia." Tukas Jalil agak keras, semakin kurang sabar dengan kerenah cucu kesayangannya itu. Terasa ugutannya dua minggu lepas langsung tidak menyuntik benak Wildan. Mata tuanya masih tidak lepas mengamati riak wajah cucunya itu. Entah apa lagi yang perlu dia lakukan untuk memastikan cucunya itu membuka hati untuk mendirikan rumah tangga.

"Atuk... jawapan Wil tetap sama. Wil masih belum bersedia untuk berkahwin. Dan kalaupun Wil dah bersedia untuk kahwin sekalipun, Wil nak cari sendiri calon isteri Wil." Wildan masih berani mengutarakan pendapat dirinya. Dia tidak mahu terus-terusan dikongkong oleh datuknya itu. Dia sudah cukup rimas terpaksa menggalas tanggungjawab berat demi meneruskan legasi perniagaan syarikat konglomerat datuknya itu. Terasa dirinya terikat dengan protokol dan bebanan tugas yang amat butuh perhatiannya. Dia selalu saja sibuk memanjang sehinggakan dia tiada masa dan ruang peribadi untuk mencari suri hidupnya. Sedar-sedar dia sudahpun mencecah umur 33 tahun, masih lagi solo dan menyandang gelaran jejaka idaman gadis Malaysia seperti dipaparkan di dada-dada majalah hiburan dan pelaburan sejak kebelakangan ini.

Jalil menarik nafas panjang dan mengemaskan pegangan tangannya di hulu tongkatnya itu.

"Atuk tak main-main dengan keputusan atuk, Wil! Kamu kena kahwin sebelum bulan June ni. Kalau tidak atuk akan wariskan semua bahagian kamu kepada badan kebajikan!"

Tegas Jalil mengulang kembali ugutan terakhir yang terpaksa dilontarkan kepada cucunya itu. Demi impiannya untuk melihat Wildan hidup berumah tangga seperti anak teruna lain, dia terpaksa membuat keputusan drastik. Dia pasti Wildan tidak akan melepaskan syarikat konglomerat itu sebegitu mudah. Cucunya itu amat berdedikasi dalam memastikan syarikat Jaya Kurnia (JK) Holdings terus utuh mengembangkan sayap sehingga ke luar negara. Sesungguhnya dia amat berbangga dengan kejayaan Wildan di dalam arena perniagaan. Namun, kejayaan itu tidak akan lengkap tanpa keluarga di sisi. Wildan perlukan seorang isteri dan anak-anak untuk mengecapi kebahagiaan sebenar hidup di muka bumi ini. Cucunya itu perlukan keturunan untuk meneruskan legasi perniagaannya suatu hari nanti. Sebelum dia menutup mata, ingin dia pastikan Wildan berkahwin dan mempunyai anak pinak, barulah dia akan tersenyum lega. Barulah tugasannya membesarkan Wildan akan sempurna.

Cincin Untuk Seroja (READY STOCK)Where stories live. Discover now