BAB 34
CINCIN UNTUK SEROJA
MUKA Imran masam mencuka. Rahangnya dikacip rapat. Tegang urat lehernya menahan marah di hati. Darah panasnya menggelegak hingga ke kepala. Panggilan telefon yang diterima membawa khabar tidak enak di telinga. Terburu-buru dia berkejar ke balai polis untuk membayar ikat jamin Ariana. Bertambah bengang apabila dia mengetahui punca sebenar Ariana terpaksa meringkuk di dalam lokap. Sungguh dia tidak menyangka Ariana sanggup menyerang Seroja membabi buta. Hinggakan kontrak syarikat yang bernilai ratusan ribu ringgit itu ditamatkan oleh CEO JK Holdings. Apa yang bini dia tu fikir? Hilang akal buat onar di pejabat JK Holdings? Sebab cemburukan Seroja? Sebab dia menghubungi Seroja dua hari lepas?
Daun pintu rumah banglo yang dihuni sejak dua tahun lepas ditolak kasar. Laju dia bergerak ke ruang tamu dengan perasaan yang membara panas. Dia tahu Ariana membontoti langkahnya sebentar tadi. Dia merungkai tali leher yang dirasakan terlalu menjerut pernafasannya itu. Dia berpusing menghadap Ariana yang bagaikan terperanjat dengan aksinya itu.
"You dah gila ke Ariana?" Kasar dan tinggi suara Imran memecah kesunyian yang tercipta di antara mereka. Merah mukanya menahan marah dan geram. Matanya tajam bagaikan ingin menembusi anak mata Ariana yang meliar mencari alasan untuk membela diri.
"Ya! I dah gila! Gila sebab you!!" Ariana menjerit kuat. Turut melampiaskan rasa marah yang mencengkam hatinya itu. Matanya memancarkan api kemarahan dan sakit hati. Dia masih sakit hati dimalukan oleh Seroja dan juga Wildan. Seumur hidupnya dia tidak pernah meringkuk di dalam penjara. Semuanya kerana perempuan jalang itu! Bara dendam mula menjalar di dasar hatinya.
"Huh! You gila sebab I? Hei, tilik diri you tu Ariana? Siapa yang buat masalah sebenarnya?" Tukas Imran kembali. Tangannya naik bercekak pinggang. Kesabarannya tercabar. Berani sungguh Ariana menyerang kekasih hatinya itu. Entah bagaimana agaknya keadaan Seroja. Dia tahu Ariana memang gila. Sanggup berbuat apa saja untuk mencapai matlamatnya. Namun, dia tidak menyangka sehingga sanggup mencederakan Seroja!
"I buat tu semua sebab sakit hati dengan you! Semuanya berpunca daripada you!" Ariana menyerang balas dengan meletakkan segala kesalahan di pundak Imran.
"Huh! Senang you nak salahkan I? Siapa suruh you pergi serang Seroja? Cakap? Sekarang baru padan muka you. Kontrak bisnes koyak. You boleh merasa duduk dalam lokap!" Imran mencerlung geram. Hatinya semakin panas. Nampak kecik saja Ariana di depan mata. Mahu saja dia ketuk kepala Ariana dengan tukul, baru faham kot!
"Imran! Sampai hati you cakap kat I macam tu! I buat tu semua sebab sakit hati dengan you. You cheat on me! You yang contact betina sial tu dulu!" Nafas Ariana turun naik tidak sekata. Kepalanya hampir pecah di saat membayangkan si suami bermesra dengan Seroja! Hatinya membara geram sewaktu sedar suaminya itu tidak pernah cintakan dirinya. Lagi bertambah cemburu apabila sangkaannya tepat. Imran memang menghubungi semula bekas tunangnya itu. Huh! Sumpah dia tidak akan mengalah. Imran adalah miliknya. Haknya. Dia isteri Imran!
"Oh, sekarang semua yang you nampak salah I je? Salah you tak ambik kira?" Imran menempelak sinis. Tangannya naik menuding jari ke arah Ariana.
"I tak pernah buat salah dalam hal ni. You yang curang dengan I, Imran!" Ariana semakin berang. Mahu saja dia pukul suaminya dengan kasut tumit tinggi miliknya.
"Itu yang you nak sangat kan? Pantang you nampak I sembang dengan perempuan, semua you tuduh I curang. You sebenarnya takut dengan bayangan you sendiri!" si suami membuat serangan balas. Dua-dua insan itu tidak mahu mengalah. Puak-puak syaitan semakin berbisik hebat. Mengipas hati yang membara panas itu.
YOU ARE READING
Cincin Untuk Seroja (READY STOCK)
RomanceSinopsis "Blurb" Cincin Untuk Seroja Wildan, CEO JK Holdings diberi kata dua. Berkahwin atau pun harta pusakanya diwariskan ke badan amal. Terdesak. Dia ingin menyunting Seroja, gadis penjual nasi lemak yang viral di media sosial itu. Sangkanya, sam...